Thursday 21 April 2011

Titisan kasihmu yang dirindu...

Ye.... Abah balik..! Jerit saya dan adik (arwah Engku Mohd Azri) sebaik saja mendengar deruman enjin kereta Toyota TB 668 memasuki ruang pagar rumah. Siaran kartun "Wait till your father gets home" yang ke udara jam 5 petang itu sudah tak dihiraukan lagi. Terlompat-lompat menunggu abah masuk, kemudian berebut menanggalkan stokin setelah abah duduk bersandar di kerusi ruang tamu...

Abah hanya tersenyum melihat gelagat kami berdua. Sambil menikmati hidangan minuman dan juadah yang mak sediakan, kami berdua masih ‘melekat’ sambil memicit betis abah pula. Tujuannya bukan apa, sabar menunggu abah bercerita.

Setelah beberapa ketika, kami pun mula ‘menyerang’ abah bertubi-tubi dengan berbagai soalan yang biasanya akan dijawab dengan penuh sabar. Seronok mendengar bermacam-macam peristiwa yang abah utarakan, tersemat setiap satunya di dalam hati. Puas.

Dalam waktu yang lain, jika perbuatan kami mengundang natijah yang tidak baik, abah lebih banyak menasihat, lembut namun ada ketegasan yang menyebabkan kami serik untuk mengulanginya.

"Jangan suka berjalan waktu pagi.." kata abah dengan iringan rotan di bahagian kaki adik setelah beberapa kali nasihatnya diabaikan. Saya tahu, ianya tidak terlalu sakit, tapi cukup membuatkan kami serik. Memang nakal sekali kami waktu itu... Meronda meninjau kawasan permainan di sekitar perumahan adalah hobi kami pada waktu lapang.

Seingat saya, itulah kali pertama dan terakhir saya melihat abah memegang rotan.

Tersenyum sendiri dan tanpa sedar, mata menjadi kabur dengan genangan air yang tak mampu ditahan.

Meminjamkan telinga dan Memberi ruang masaD

Dalam kesibukan tuntutan tanggungjawab yang pelbagai hari ini, peristiwa sebegini sentiasa menjadi titik untuk saya membuat penilaian diri, bahawa anak-anak sentiasa dahagakan perhatian daripada kita sebagai ibubapa. Jika cara yang baik tidak diperolehi, tidak mustahil mereka sanggup mendapatkannya walau dengan sesuatu yang mengundang kemarahan kita.

“Ayah tengah sibuk ni, nampak tak?
“Tak habis-habis nak ganggu, pergi buat kerja sendiri.”

Berilah hak yang sepatutnya anak-anak perolehi walau sesibuk manapun kita dengan urusan dunia ini. Mendengar dan berkongsi cerita akan menambah kasih dan rasa percaya mereka kepada kita, insan yang paling hampir dengan mereka.

Walaubagaimanapun, dalam masa menonjolkan unsur targhib sebagai tanda kasih kita kepada anak-anak, jangan diabaikan pula hukuman sebagai kaedah yang diterima pakai untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan dengan cara yang tidak keterlaluan. Inilah sempadan yang mampu mendisiplinkan anak-anak terutama dalam pelaksanaan tanggungjawab sebagai fardh muslim.

Ya... Saya adalah seorang ibu yang jauh dari kesempurnaan dalam melaksanakan tanggungjawab besar ini. Mengakui sejujurnya kekurangan diri adalah lebih baik dari menonjolkan kepada anak-anak bahawa kita adalah ibubapa yang sempurna dan tiada tolok bandingnya. Oleh itu, saya sentiasa belajar dan mencari resepi daripada pelbagai sumber dalam menangani peranan sangat hebat ini. Merenung kehidupan masa lalu dan mengadunkannya dengan kefahaman dan ilmu yang diperolehi.

Bekalan yang berharga

Kejutan pemergian ayahanda yang masih bermain segar di ruang mata, menuntut tabah yang sebenarnya dalam memahami erti kehilangan.

Setiap kenangan bersamanya tak mungkin dilupa, bahkan semakin hari semakin segar di ingatan. Lebih-lebih lagi apabila menghadapi hari-hari dengan menggalas tanggungjawab yang semakin mencabar kemampuan diri... sebagai ibu kepada anak-anak di era globalisasi...

17 April 2011 yang lalu, genap enam tahun ayahanda pergi memenuhi janji bertemu pencipta yang maha Agung.. perjanjian yang pasti dipenuhi oleh setiap yang bergelar makhluk... 34 tahun bersama hayat ayahanda terasa begitu cepat berlalu. Lumrah manusia yang tidak pernah puas, seakan mahu diulang semua yang berlalu.
Namun begitu, pengajaran yang ayahanda berikan, serta pengalaman yang ayahanda bekalkan, membuatkan saya semakin merenung ke dalam diri. ..untuk menghadam segalanya dalam menempuh laluan dalam hidup ini. Tiada harta yang menjadi kebanggaan, namun mutiara peninggalan yang diwasiatkan menjadi azimat yang akan tersemat kukuh dalam hati ini.

Semoga tempat ayahanda di alam SANA sentiasa bersinar bersama golongan yang meraih kasih dan keampunan Allah Yang Maha Pengasih kepada seluruh hambaNya.
Hanya Allah Matlamat Hati Ini.
Ummu Balqis