Wednesday, 28 July 2010

Peringatan Terbaik Buat Insan

Catatan pertama saya di ruang rehlah imaniyyah ini, moga menjadi ingatan buat diri saya yang sering lupa. Peringatan yang sering ingin dihindari oleh yang bergelar insan, kerana takut terhentinya kelazatan yang dinikmati sepanjang berkelana di daerah yang disangka sangat indah ini.

Setiap yang bernyawa akan menempuhi kematian. Dan sebaik-baik peringatan adalah mengingati mati. Bagi setiap mu'min, mengingati kematian seharusnya melahirkan keinginan untuk melakukan yang terbaik selagi diberikan ruang bernafas di muka bumi ini. Tidak lain kerana, hasil amalan di sini, akan tertuai di daerah sana.

Namun begitu, mengoptimumkan peluang kehidupan semestinya tanggungjawab insan. Memberikan yang terbaik adalah tanda syukur seorang insan terhadap Khaliqnya. Kegerunan saat berhadapan dengan kematian bukanlah alasan untuk membiarkan diri malas berusaha dan berserah sahaja dengan ketentuanNya. Justeru, mengingati kematian adalah cara yang terbaik untuk meluruskan laluan sepanjang kehidupan. Agar jalan sentiasa lurus, destinasi yang terakhir akan mampu dicapai dengan selamat.

Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; Dia menghidupkan dan mematikan; dan Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (al-Hadid;2)

Hakikat Kematian

Allah swt yang menghidup dan mematikan kita telah memberitahu bahawa hikmah daripada kematian adalah perpindahan dari tempat berlakunya amal ke tempat mendapat balasan. Di sana, kita diberi balasan bagi setiap amalan yang dilakukan sepanjang kehidupan yang lalu.

Firman Allah swt bermaksud:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah Berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi prang yang terpedaya.” (Ali Imran:185)

Siapalah kita untuk menafikan hakikat ini.

Siapalah kita untuk melarikan diri dari saat ini.

Lemahnya kita..Masya Allah.

Kita melihat dan mendengar tentang kematian. Namun enggan mengingatinya dan mempersiapkan diri menghadapinya. Kita melupakannya sedangkan kita pasti akan menemuinya. Kita membutakan mata dari melihatnya, sedangkan ia semakin menghampiri…

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “ Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu dia memberitahu kamu apa yang kamu telah lakukan ( serta membalasnya)”. (al-Jumu’ah:8)

Ketetapan Yang Pasti

Andainya nyawa terletak dalam kekuasaan manusia, pasti tiada seorang pun manusia di muka bumi ini yang akan mati. Yang pasti, setiap di kalangan kita mempunyai janji yang tersendiri. Oleh itu, dengan keyakinan bahawa ia pasti akan mendatangi kita, moga ianya menjadi tanda aras dalam perlaksanaan tanggungjawab kita sebagai hambaNya dan khalifah di muka bumi ini. Mencari peluang dan melakukan yang terbaik kerana meyakini, setiap yang tertunai di sini, akan dihitung dan dipersoalkan di hari yang sangat adil perhitungannya.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis

Saturday, 24 July 2010

Puteri Mama Sudah Besar




Selamat ulang tahun kelahiran buat puteri mama, Nik Nada Safiyah binti Abdul Aziz. Hari ini, genap Nada 3 tahun. Cepatnya masa berlalu. Terasa seolah baru semalam mama ke Hospital An-Nur, Bandar Baru Bangi untuk melahirkanmu.

Bermakna juga, usia mama dan baba pun makin bertambah.

Masih mama ingat, Disember 2006, ketika di kota Makkah, sehari sebelum berangkat untuk wukuf di Arafah, baru mama dapat pengesahan berita Nada sudah berada dua bulan di dalam kandungan mama. Itupun kerana mama batuk-batuk, kemudian kakak-kakak sebilik menasihatkan mama berjumpa doktor sebelum mengambil ubat. Alhamdulillah… gembira mama dan baba dengan anugerah ke lima ini.. Mama bawa Nada bersama ketika wukuf.. seribu doa dipanjatkan ditempat yang penuh barakah itu.. Kemudian mengutip batu di Muzdalifah, sebelum berangkat ke Mina. Esoknya selepas melontar, kita pulang ke Makkah untuk menyempurnakan tawaf, saie dan bercukur… Menjelang waktu Asar, semuanya selesai dilaksanakan. Selepas berehat dan menunggu solat Maghrib, mama, baba dan kawan-kawan bergerak pulang ke Mina untuk menyempurnakan ibadah yang lain. Alhamdulillah. Walaupun berjalan kaki hampir 3 jam hari itu, semangat mama cukup kuat. Sehinggalah selesai melontar ke tiga-tiga Jamrah, kita berangkat pulang ke Makkah, mama demam seminggu, tak mampu bangun dan ke masjid. Apapun, syukur, dan semoga amal diterima oleh Allah SWT.

Sepanjang Nada di dalam kandungan, dua kali mama diuji dengan sakit belakang yang amat sangat.. Masya Allah, sukar sekali mama mengalirkan air mata, walau ketika sakit melahirkan kakak-kakak yang terdahulu, tapi sakit yang ini, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui… Tak mampu mama menahan kesakitan, hingga terpaksa menghubungi baba yang ketika itu ada urusan kerja di luar daerah.. Kelam kabut juga baba dibuatnya.

Namun begitu, setinggi kesyukuran, Allah mudahkan laluan untuk mama melahirkan dan membesarkan Nada hingga ke saat ini.

Insya Allah, September nanti, Nada akan mula bersekolah bersama kakak-kakak. Seronoklah nanti, Nada akan dapat guru dan kawan-kawan baru. Meneroka berbagai perkara baru yang pasti memberi seribu satu pengajaran dan kenangan di masa akan datang.

Moga hari-hari yang mendatang, anak mama ini akan sentiasa di dalam rahmat dan kasih Allah SWT, membesar sebagai anak yang solehah, penyejuk hati mama dan baba.

Salam sayang,
Mama

Thursday, 8 July 2010

Selaut Kasihmu…

Membesar tanpa kasih seorang ibu adalah perjuangan hidup yang amat payah. Bayangkan sekecil usia 5 tahun, hanya dibesarkan oleh seorang ayah bersama 3 beradik yang lain. Ditambah lagi berkahwin dalam usia yang sangat muda, bonda belajar satu persatu dalam hidup melalui pengalaman yang ditempuhi, tanpa ajaran, tanpa pesanan seorang ibu.

Namun begitu, bonda punyai semangat yang tinggi, dikurniakan kemahiran berniaga yang bagi saya sangat hebat, bonda tak pernah putus idea berniaga demi membantu ayahanda, menampung keperluan dalam keluarga yang agak besar. Merantau hingga ke Singapura, mendapatkan kain ela yang baik kualitinya. Bersekang mata, berjaga malam, membuat jualan nasi untuk paginya… Menguli tepung untuk jualan roti bila petang menjelma...

Oh.. mana mungkin akan saya lupa… bonda … yang melalui alam persekolahan cuma hingga ke tahun tiga, tetap punyai wawasan tinggi dalam mendidik anak-anak.. Cukup gigih berazam memberi laluan ilmu untuk anak-anak ke peringkat yang selagi mampu di gapai. Bonda mendidik, tidak banyak dengan kata-kata, tetapi menzahirkan dalam bentuk tindakan yang sukar dilupa...

Masih saya ingat, ketika di sekolah rendah, waktu membuat kerja sekolah bersama adik, bonda akan ke dapur membancuh minuman, kemudian tekun memerhati kerja sekolah kami walau tidak memahami. Waktu anak-anak berkumpul, bercerita itu dan ini, senyum bonda akan mengiringi. Waktu sakit menimpa, bonda bersekang mata, tangan tak henti mengelap kepala hingga terlena. Waktu di sekolah menengah, saya di asrama, setiap minggu, bonda dan ayahanda pasti muncul, sejam dua bersama saya, membawa bekalan nasi, lauk pauk, dan tidak ketinggalan, sambal tumis ikan bilis kesukaan saya. Bahagia terpancar diwajahnya ...

Tanggal 28 Mac 2009, walaupun bonda telah pergi buat selamanya, senyuman bonda akan sentiasa terbayang di ruang mata. Dalam kepayahan melawan kesakitan, walau tanpa sepatah kata, wajah bonda selalu ceria dan tenang, moga itu menggambarkan kebahagiaan bonda dikelilingi anak-anak dan cucu-cucu tersayang, diwaktu suami tercinta sudah tiada disisi untuk menemani...

Bonda...Tidak terbanding kasihmu buat kami, anak-anakmu.Tidak terakam gigihmu mendidik dan membesarkan kami.

Banyaknya memori indah bersamamu.... Namun segalanya kini hanya tinggal kenangan, buat seorang insan yang sangat saya kasihi. Bonda… moga dirimu tenang di sana, selaut kasihmu akan sentiasa ku rindu, selamatlah bonda di sana, bertemu Allah Yang Esa, moga bahagia mengiringimu hingga ke akhirnya..

Alllahumma… sesungguhnya, kasihMu mengatasi kasih sesama makhluk.. rahmatMu meluas tanpa batas sempadan dan takluk, limpahkanlah Ya Allah, segala kasih dan rahmatMu buat insan yang sangat bermakna buatku ini, insan yang mencurahkan segala yang dimilikinya untuk kami, anak-anaknya..Ya Allah, tempatkanlah dia, bersama hambaMu yang terpilih…minassolihin…Amin.





Aidilfitri terakhir bersama bonda tersayang..1 Syawal 1429

Ummu Balqis

Wednesday, 7 July 2010

Ahlan Wa Sahlan

Hujung minggu yang lalu agak padat untuk kami sekeluarga. Petang Jumaat, selesai sessi persekolahan anak-anak, kami terus bertolak ke Birmingham atas urusan kerja suami. Perjalanan mengambil masa 3 jam, tidak terlalu jauh, Cuma keadaan jalan yang agak kecil dan berliku menyebabkan perlu berwaspada sentiasa. Seharian suami berurusan, Alhamdulillah, masa dapat dimafaatkan bersama anak-anak dengan aktiviti yang berfaedah. Selesai tugasan pada esoknya, tepat jam 4.30 petang kami terus bergegas pulang ke Lampeter.

Pada hari Ahad yang sama juga, 4 Julai 2010, jam 10.45 pagi, Dr Aderi bin Mohd Noh dan keluarga selamat tiba di lapanganterbang Cardiff. Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum ke bumi Lampeter, menambah keceriaan warga yang sedia ada.

Insya Allah, Dr Aderi akan membuat kajian “post-doctorate” selama 2 tahun di University of Lampeter, Wales. Beliau juga merangkap “supervisor” saya dalam pengajian yang baru bermula Julai ini. Semoga dipermudahkan segala urusan, Insya Allah.

Ummu Balqis

Tuesday, 29 June 2010

Hujung minggu di Legoland

Hujung minggu yang lalu memang detik yang sangat ditunggu-tunggu. Terpancar kegembiraan di wajah anak-anak mama, tak sabar…

Jumaat petang, selesai sesi persekolahan dan kelas agama, semua bergotong royong membersihkan kereta baba, kemudian masing-masing packing pakaian yang perlu dibawa, tak banyak, Cuma untuk 2 hari satu malam saja. Emm..rajin dan bersemangat sungguh anak-anak mama. Mama pula apa lagi, bertungkus lumus menyiapkan bekalan untuk 2 hari ni..yelah kan..kat sini tak semudah Malaysia untuk nak dapatkan makanan yang bersesuaian dengan kita..

Pagi Sabtu, 26 Julai 2010, tepat jam 6.30 pagi, kami bertolak menuju destinasi.. Legoland Windsor, tak begitu jauh dengan London. Perjalanan yang mengambil masa hampir 5 jam berakhir sebaik saja papan tanda Legoland tertera.. Meriah sungguh bila 3 keluarga besar berkumpul..

Berkampung di sana dua hari memang memenatkan dan menguji sejauh mana stamina anak-anak mama. Memang tahan lasak, kan. Berbagai permainan yang hendak diteroka. Semuanya tak kenal erti penat, berlari ke sana sini, dan sabar menunggu giliran dalam cuaca yang begitu panas. Namun suasana ceria dan kemudahan yang ada menyebabkan masa begitu pantas berlalu. Tepat jam 6 petang, semua permainan dihentikan dan kami bersiap untuk pulang. Semuanya keletihan, tapi Baba bersedia menempuh perjalanan pulang yang agak panjang.

Alhamdulillah… bahagia melihat keseronokan anak-anak. Terima kasih juga buat Ida sekeluarga dan Iza sekeluarga.. Moga ukhuwwah sentiasa dan terus erat, Insya Allah…






Ummu Balqis

Permata hati mama...





Anakku..

Permata hati mama…masih terasa gerakanmu tika di alam rahim. Bahagianya..takjub dengan kebesaranNya, bersyukur atas rahmat dan kurniaNya..diberi peluang…bersama nyawa ada nyawa…bersama jasad ada jasad…untuk dibawa…dikasih..dibelai…dan dipertanggungjawabkan. Masih terbayang di ruang mata mama, tangis dan tawamu..aduh..comelnya. Namun….mama tahu..hadirmu bukan untuk disuap cuma. Bukan juga untuk disogok dengan harta semata… malah… untuk di isi ruh dan jiwa..

Maafkan mama sayang.. dalam mendidikmu, terlalu banyak yang tersasar dari landasan. .Lantaran kurangnya sabar, kurangnya ilmu, kurangnya iman dan juga amal…

Anakku..terlalu banyak mama bermonolog dalam hati, terasa lemahnya mama dalam menjadi qudwah…sebagai bekalanmu dewasa nanti.. anakku….

Anakku… kasih mama tiada penghujung.. namun..kasih Ar-Rahman.. tiada tandingan nilainya…Anakku..selagi nafas belum terhenti.. selagi nyawa belum di panggil Ilahi…azam mama tetap satu…. memelukmu dengan ilmu.. membelaimu dengan iman…memimpinmu dengan amal…bersama mama..untuk mengerti hikmah perjalanan yang entah bila penghujungnya ini…

Puteri-puteriku...

Sambutlah tangan mamamu ini, kerana inilah laluannya. Biarpun payah, kita harungi bersama, biarpun pahit, kita telan bersama.. kerana setiap jalan menuju iman.. maharnya adalah mujahadah yang panjang… menuju kasih dan redha Ilahi.. Rabbul Izzati..

Ummu Balqis

Monday, 28 June 2010

Syukur....Ya Allah





Rasa setinggi syukur yang tidak terucap, terasa benar senggang waktu terpisah dari suasana kerja yang hampir 14 tahun rupanya penyusunan yang sangat rapi dan indah daripada Dia Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Ye lah…Allah beri apa yang kita patut dapat, bukan apa yang kita mahu..Sebab kemahuan kita sebagai manusia.. tidak terbatas..tidak pernah puas…Alhamdulillah…


Bersama keluarga tercinta dalam tempoh masa yang terbatas ini ..adalah satu ruang yang sangat tidak ternilai harganya..seolah memberi peluang untuk saya menebus kembali segala kekurangan sebelum ini dalam membahagi waktu antara keluarga dengan tugas yang sangat saya cintai..sebagai pendidik…

Berada di perantauan ketika menuntut ilmu di bumi Mesir suatu ketika dulu, ketika belum berumahtangga, belum memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, rupanya berbeza benar dengan merantau dengan tanggungjawab yang pelbagai ini.…isteri dan ibu, dan sekarang.. tambah lagi satu..sebagai pelajar lagi…

Tak perlu disenarai apa jadual harian yang mesti dilakukan, tugas yang nampak remeh.. namun tanpa kekuatan mental, semuanya boleh terbengkalai.. boleh rebah tanpa sokongan. Justeru.. kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah bukan sekadar jasad yang sempurna lahirnya, tapi jauh lebih bermakna dengan kurniaan ruh yang sentiasa dahagakan iman dan ilmu sebagai bekalan. Buat panduan meniti jalan yang tidak terduga dengan halangan yang mendatang. Mengimbangi diri agar tidak tersasar dari landasan.

“Huuh..larat ke nak pikul semua tu?” Hati berbisik sendiri.
“Insya Allah…Allah beri kemampuan tenaga dan masa..jika ada keinginan” kata-kata membakar semangat yang kadang-kadang malap ini..

Ya Allah… Moga peluang masa dan usia yang disediakan ini..menjadi jalan untuk diri ini membuat persiapan.
Ya Allah.. Moga perjalanan yang penuh ujian ini sentiasa dalam kasih dan rahmatMu
Ya Allah.. Moga pengakhiran perjalanan yang entah bila penghujungnya ini jua.. dengan rahmat dan kasihMu…

Ummu Balqis