Wednesday, 29 December 2010

PMS 2010


Mengikuti program Perhimpunan Musim Sejuk 2010 yang pertama setelah setahun di sini memberi pengalaman yang berbeza. Dengan tempoh perjalanan yang memakan masa hampir 5 jam, dan akan berada di sana selama 4 hari, banyak jugalah persiapan yang perlu dibuat. Bermula 24 Disember hingga 27 Disember 2010, pengisian yang disediakan bersesuaian mengisi setiap jiwa yang inginkan kekuatan dalaman yang berpanjangan.

Bertolak awal pagi Jumaat dengan suhu -13 darjah, perjalanan ke Sheffield penuh hati-hati kerana ketebalan salji yang turun 3 hari sebelumnya masih belum reda. Selesai pendaftaran, anak-anak yang paling seronok kerana aktiviti khas untuk mereka telah tersedia. Semua boleh mengambil bahagian, termasuklah Nada, puteri paling kecil. Semua yang hadir mengikuti slot yang dirancang dengan baik dan jayanya hingga ke acara penutup.

Tiada perkara yang amat membahagiakan, melainkan dengan pertemuan yang diizinkan oleh Allah SWT. Terikatlah tali ukhuwwah semata-mata mengharapkan keredhaanNya. Terharu melihat kesungguhan adik-adik yang hadir, datang dari jauh dan dekat, mengharungi pelbagai bentuk ujian, terutama dalam cuaca yang sangat sejuk ini. Tergambar semangat untuk menyerapkan ruh Islami ke dalam diri, walau dilingkungi suasana persekitaran yang sangat mencabar. Menyediakan diri untuk meneguk titisan ilmu buat bekalan dalam perjalanan.

Begitu juga dengan anak-anak, terpancar kepuasan dalam diri masing-masing. Bukan hanya mengikuti program yang disusun, anak-anak juga belajar menyesuaikan diri dengan menerima kawan-kawan baru. Dengan aktiviti pengisian ilmu, minda dan pelbagai bentuk permainan yang menyeronokkan, semuanya bersemangat untuk mengikuti program seterusnya… Kemuncaknya adalah persembahan anak-anak pada malam terakhir, iaitu bacaan surah-surah al-Quran, nasyid, drama pendek, ucapan dan bercerita. Syabas buat anak-anak mama yang memberanikan diri mengambil bahagian. Moga pengalaman baru ini menyuntik semangat anak-anak untuk memahami erti tarbiyah.

Tahniah kepada pihak yang bertungkus lumus daripada persediaan awal hinggal ke akhir program. Semoga pengorbanan tenaga, masa dan segalanya diganjari dengan pahala yang berterusan oleh Allah SWT. Semoga keikhlasan yang menjadi tunggak segala usaha akan sentiasa menjadi teras dalam setiap gerak kerja.


Hanya Allah Matlamat Hati Ini.
Ummu Balqis.

Tuesday, 28 December 2010

Ingatkah kita … atau ...

“Mama, boleh tak kalau lepas mati, kita nak hidup balik sekejap nak tambah apa-apa perkara baik yang tak cukup sebelum kita mati.?” Tanya Wardah, puteri ketiga saya semasa sesi tazkirah santai bersama anak-anak selepas solat maghrib.

Tajuk perbincangan yang terpilih tanpa dirancang apabila anak-anak menyebut dan mengingat insan-insan tersayang yang meninggalkan kami satu persatu sepanjang tempoh lima tahun terakhir ini.

Terdiam seketika, sambil memikirkan bahasa yang terbaik yang mudah difahami oleh anak-anak.

Masya Allah...Lupakah kita?

Tentang hakikat alam selepas berlakunya kematian.

Benarlah manusia itu sentiasa dalam keadaan lupa. Benarlah perutusan Baginda Ar-Rasul Sallallahu ‘Alai wa Sallam adalah untuk memberi peringatan buat manusia yang selalu lupa. Betapa tebalnya kegerunan mengingati hakikat kematian, namun kegerunan itu semakin malap dan pudar dengan segala perlakuan yang semakin jauh daripada hakikat mentaati Ilahi.

Malap dengan kesibukan yang tiada hujungnya…

Seolah-olah ada perjanjian dengan kematian. Bahawa ianya tidak akan hadir ketika ini.

Allahu Allah…

Firman Allah SWT :
“(Maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui ( hakikat ini tentu kamu segera beriman). (Nuh:4)Lupa agaknya kita..

Lupakah kita juga...

Bahawa tiada peraturan kematian untuk kita.

Bahawa tiada perjanjian, kematian akan mendatangi kita hanya apabila kita bersedia menghadapinya.

Bahawa selepas ini kita akan berada di alam barzakh sehingga berlakunya kiamat.

Firman Allah SWT:
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia; Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku ( hidup semula di dunia) – Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahak yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). (al-Mukminun:99-100)Alam Barzakh

Maha Berkuasa Allah, tiada seorangpun yang terlepas melalui alam ini walau bagaimanapun keadaan jasadnya. Semuanya akan melalui seperti yang dilalui oleh mereka yang dikebumikan di dalam kubur. Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala ehwal kubur, walaupun jasad mereka berkecai dalam bentuk debu sekalipun.

Firman Allah SWT :
“Binasalah hendaknya mereka(yang engkar) itu, betapa besar kekufurannya? (Tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? – Dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan tanggungjawab; Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang dia pilih); Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya dia dikuburkan; Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula). (Abasa:17-22)

Berbezanya hakikat kehidupan di alam barzakh dengan kehidupan kita di saat ini. Ianya hakikat yang di luar kemampuan akal manusia untuk memahami dan membayangkannya. Justeru adanya penghadang antara dua alam tersebut, alam dunia dan alam barzakh.

Itulah kematian.

Sebagaimana terhadangnya kehidupan alam rahim seorang bayi dengan alam dunia, yang ditembusi dengan satu kelahiran.

Namun begitu, sebagaimana berimannya kita dengan perutusan Baginda Rasulullah SAW sebagai Rasul terakhir. Begitulah berimannya kita dengan segala berita yang dibawa oleh Baginda SAW.

Sebagaimana kita membenarkan segala ajaran yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW, begitulah kita membenarkan segala yang disampaikan oleh Baginda SAW.

Sebagaimana berimannya para sahabat dan generasi yang terdahulu terhadap Baginda SAW. Semoga begitulah kita mengimani dan meyakininya….Insya Allah..

Sucikanlah hatimu....

Bukan mudah mengikat diri dengan hakikat alam yang tidak nyata ini. Kekuatan dalam diri perlu dibina, dan seterusnya dibaja, agar kesedaran dan ingatan mengenainya akan sentiasa subur. Dengan itu, hati akan sentiasa berwaspada terhadap semua arus yang mendatang bersimpang siur.

Bajailah kekuatan yang Allah telah sediakan untuk kita semaksima mungkin, justeru kita adalah makhluk terpilih, yang diberi anugerah memakmurkan dunia dengan peranan khalifah, yang pada masa yang sama mengikat diri sebagai hamba kepada Khaliqnya yang Maha Bijaksana.

Hanya Allah Matlamat Hati Ini.

Ummu Balqis.

Thursday, 18 November 2010

Selamat Hari Lahir Buat Puteri-puteri Mama

Sekembali dari tanahair, diri ini masih tercari-cari sekelumit semangat untuk mencoretkan sesuatu dengan penuh makna. Fikiran masih belum fokus untuk mencatat sesuatu dengan bermakna, kosong dan berat.. sehinggalah berlalunya beberapa perkara penting yang ditunggu…



Selamat Ulangtahun Kelahiran ke 10 puteri mama.. Nik Wardah Afifah bt Abdul Aziz. 27 September 2010 tarikh yang kak lang tunggu-tunggu.. sama dengan waktu ketibaan mama kembali dari tanahair.. setelah meninggalkan anak-anak selama 8 hari,. Waktu itu, dengan keletihan dan kesedihan yang masih diruang mata dengan peristiwa pemergian Ayah Ngah yang dikasihi.., mama mampu menghulurkan kad untuk puteri mama, kita raikan seadanya seperti biasa, tapi penuh makna. Namun tiada kesempatan waktu untuk mama mencoretkan sesuatu di dalam blog ini.. Namun senyuman dan keceriaan kak lang menjadi pengubat duka di hati mama …



Selamat Ulangtahun Kelahiran ke 8 juga buat puteri mama.. Nik Najwa Alifah bt Abdul Aziz. Tak jauh senggangnya dengan kak lang.. hari lahir Wawa pula menyusul… tanggal 6 Oktober 2010.. Anak mama yang sentiasa “cool”, sabar dengan telatah adik yang suka menyakat.. kan wawa..? Syukur mama panjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaanNya yang berharga ini.









Beberapa hari yang lalu pula.. 15 November 2010, genaplah usia puteri sulong mama, Nik Balqis Athirah bt Abdul Aziz beranjak ke angka 13. Usia remaja yang sentiasa dicanang-canang. Moga anak mama memahami maksudnya dengan pandangan yang sebenar..

Walau apapun cerita.. telatah anak-anak sentiasa memberi berbagai macam warna dalam hidup mama. Dalam mendidik anak-anak, sebenarnya mendidik juga mama untuk sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu dan kesabaran. Ya.. kalau anak-anak nak tau, mama juga banyak belajar dari anak-anak mama ini.. Along.. sentiasa cekap membantu mama, samada di dapur ataupun menguruskan adik-adik. Kak Lang..sentiasa riang dan ceria, cergas membantu apa sahaja. Wawa pula, tenang dan rajin membaca… Sesungguhnya.. mama bahagia dan bangga dengan kalian.

Salam kasih dari mama untuk puteri-puteri mama yang disayangi. Semoga perjalanan sepanjang laluan hidup kita, kini dan selamanya, akan sentiasa dipayungi rahmat Allah Yang Maha Luas KasihNya. Semoga Allah meletakkan kita bersama hamba-hambaNya yang terpilih hingga ke saat kita bertemu denganNya kelak. Amin Ya Rabbal ‘Alamiin.

Hanya Allah Matlamat Hati Ini.

Ummu Balqis.

Friday, 1 October 2010

Coretan rindu buatmu adindaku….Engku Mohd Azri yang kembali ke pangkuan Ilahi pada 20 September 2010

Perjalanan selama hampir 20 jam terlalu lama rasanya dalam debaran hati yang penuh bimbang dan harap… mengharapkan belasMu Ya Allah..agar dipertemukan aku dengan insan yang sangat dikasihi ini. Selama itulah.. terimbau kembali segala peristiwa, kenangan dan dialog bersamanya.. seawal usia mengenal dunia… ye lah, beza kita cuma 14 bulan.. dari dulu kita sentiasa bersama… Sama-sama bermain, sama-sama ke sekolah, sama-sama nakal, sama-sama dimarahi che dan abah, sama-sama memahami ilmu… dan sama-sama juga mengharungi suka duka hidup mencari rezeki dan berkeluarga di rantau orang… anak-anak kita juga..membesar bersama…

Oh..banyaknya kenangan yang tidak terucap… semuanya tercatat dalam diari kehidupan kita… kasih yang berterusan bersama darah yang mengalir… Terasa benar kerdilnya diri..siapalah kita untuk menidakkan qada’Nya… siapalah kita untuk menahan qadar yang telah ditetapkanNya….

Tepat jam 6.50 petang, kapalterbang Airasia mendarat di Lapangan terbang Kuala Terengganu, ditunggu oleh ahli keluarga, terus aku bergegas ke ICU Hospital Kuala Terengganu… Masya Allah… tidak terucap perasaan.. bercampur baur.. melihat jasadmu tidak bermaya, namun terpancar seri yang entah dari mana…. Tenang disamping pelbagai mesin yang ada…

Sungguh… tidak pernah aku melihatmu begitu… seorang yang terkenal lincah dan lasak sedari kecil… sakit macamanapun.. tidak pernah terbaring di katil.. paling tidak.. mesti bercakap.. mengingatkanmu.. membuatkan aku, malah sesiapa saja tersenyum sendiri. Hadirmu sering diiring tawa dan gurauan mesra…. Mengikat kasih yang telah sedia ada… Katamu susah menggamit duka… Sentiasa bersemangat, walau apapun cerita yang dibawa…

Sekali lagi fikiran ini terbang menerawang.. mengingat kembali detik-detik pemergian ayahanda yang dipanggil Ilahi lima tahun yang lalu…terkejut tanpa kata, terkesannya dirimu, hingga akhirnya terhasil karya dan buah fikiran, hasil didikan ayahanda dan bonda tercinta…” Rahman Self Theraphy”…Terkenang juga saat-saat sukar kita sembilan bersaudara… menghadapi bonda yang menerima ujian kesakitan.. bersama-sama kita memberi sumbangan demi bonda yang dikasihi.. hingga akhirnya bonda dijemput Rabbul Izzati… Allahu Rabbi….kau lakarkan memori berharga bersama dalam tulisanmu "Kenangan Bonda". Terbit tawa bersama airmata membacanya...

Singkatnya terasa masa yang berlalu… terkenang kita sentiasa bertemu dan berbincang, dengan pelbagai tajuk pilihan… Emm… dengan aku, apa lagi..biasanya mestilah topik mendidik anak-anak dan menuntut ilmu…dua topik kesukaan Allahyarhamhuma… Ayahanda dan Bonda kita…..

Tersentak dengan ujian Allah ini, namun hati ini tetap bersyukur.. lantaran hasratku untuk bertemu denganmu diizinkan Allah..walaupun tika itu..selama dua hari yang terakhir itu…matamu tertutup rapat…jasadmu tidak bergerak…. Namun..degup jantung dan nadimu meyakinkan aku..bahawa dirimu masih mendengar suara dan bacaan ayat-ayat suci yang dibaca….

Tenanglah dirimu di sana.. adindaku… moga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa mengiringi kembaramu di alam SANA… moga rantaian amalmu di sini menjadi menguat untukmu di daerah SANA… Ya dik… kami di sini, akan mengikut jejak langkahmu sebagaimana yang dijanjikan Ilahi… Segala kenangan bersamamu akan sentiasa tersemat kukuh di hati… Segala nilai kebaikan yang engkau taburkan akan kami sebarkan semampu dan daya yang kami miliki…

Ya Ilahi..insan ini..teramat kami sayangi… limpahilah rahmat dan kasihMu padanya…. Ampunilah segala kekurangan yang ada pada dirinya..sessungguhnya Ya Allah… engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang….

Hanya Allah jua matlamat hati ini.

Ummu Balqis.

Tuesday, 24 August 2010

Catatan Ramadhan

Hampir separuh Ramadhan telah berlalu. Begitu pantas. Semoga yang berbaki dapat dimanafaatkan semaksimum yang terdaya dengan melipatgandakan usaha mempertingkatkan amalan yang sedia ada. Walaupun pernah melalui suasana puasa di perantauan ketika merantau menuntut ilmu dulu, pastinya kali ini memberi pengalaman berbeza kerana bersama keluarga. Alhamdulillah, dengan kadar waktu siang yang melebihi malam, merasalah ni’mat berpuasa yang panjang, iaitu lebih kurang 16 jam lamanya.

Pada mulanya, risau juga mengenangkan anak-anak berempat ini, oleh itu, sebelum bermula Ramadhan lagi, awal-awal lagi mama cuba positifkan anak-anak dengan situasi yang bakal dihadapi. Kelebihannya tahun ini, 3 minggu berpuasa adalah dalam waktu cuti sekolah, ditambah dengan cuaca yang tidak terlalu panas, kadang-kadang hujan, paling tidak mengurangkan letih dan dahaga anak-anak.

Alhamdulillah, hari pertama dilalui dengan sedikit keletihan, kadang-kadang bersungut lapar, tapi semangat anak-anak cukup mengkagumkan. Sabar betul semuanya, terutamanya Wawa (nama timangan Najwa) menunggu waktu berbuka, sambil kejap-kejap meninjau jarum jam berada pada nombor berapa. Hari kedua dan seterusnya, anak-anak kembali bertenaga dan ceria, dan melakukan aktiviti harian seperti biasa. Dalam mood cuti sekolah, waktu boleh diurus dengan agak santai, dipenuhi dengan aktiviti tadarrus seperti biasa, membaca, menonton televisyen (dengan pemantauan SIRIM waktu dan cerita ), meneroka komputer secara bergilir (pc cuma ada satu saja, jadi kena pandai-pandai susun jadual sendiri )serta indoor game hasil dapatan daripada carboot. Sarah dan Wardah masih boleh bermain kasut roda keliling rumah sambil tolong mama angkat kain di ampaian.... memang aktif. Along Balqis pula, seperti biasa, leka dengan bukunya….

Jom la makan

Lucu pula dengan karenah si kecil mama ni…Nada … susah hati betul dia bila semua orang tak memberi respon. Sibuk mengajak kakak-kakak makan, agaknya hairan kenapa semua orang tak nak apabila dia menyuakan makanan kegemaran masing-masing.

“Mama, nak makanlah, lapar..kakak pun lapar tu..bagi la kakak yogurt tu” Keletah Nada memberitahu ketika mama sibuk di dapur.

“Sedap ni..ambil lah..rasalah..” pandai pula dia memujuk. Sabar sajalah kakak-kakak ye..waktu Nada nak menyuapkan kuih ke mulut kakak-kakak.

Menjelang waktu berbuka, semuanya ringan tulang, menyediakan apa yang patut. Suasana yang paling meriah menandakan kegembiraan dan kemenangan sebagaimana yang Allah janjikan bagi mereka yang melaksanakannya. Walaupun hidangannya tidaklah sehebat mana, cukup dengan sejenis dua pemanis dan hidangan utama mengikut menu kegemaran dan pilihan anak-anak. Alhamdulillah….

Rupanya, mama yang kurang yakin dengan anak-anak, padahal semuanya bersemangat tanpa keluh kesah. Lupa mama, bahawa Allah SWT tidak membebankan seseorang tanpa kemampuan yang dibekalkan. Ujian disediakan pada yang layak menghadapinya. Nasib baik juga anak-anak mama ni tak dibiasakan dengan bazar Ramadhan. Terharu juga mama, tidak ada pula kerenah nak makan itu ini, yang susah-susah, kalau tidak, jenuh juga nak membuatnya. Maklumlah, manalah nak dicari roti bom, roti john, kuih muih yang bermacam nama, warna dan rasa kalau tak dibuat sendiri. Lagipun, mama ni baru nak belajar-belajar buat kuih kat sini.

Di perantauan ini

Seronoknya di sini, suasana puasa, iftar, tarawikh dan berbagai aktiviti Ramadhan masih terasa walaupun tidak semeriah di tanahair. Kalau ketika di tanahair, kita selalu bertarawikh dan tadarrus di surau dan masjid, suasananya masih ada di sini walaupun dalam ruang dan komuniti yang terhad. Masih berpeluang untuk iftar seminggu dua kali di masjid bersama masuarakat muslim yang ada. Walau kelas agama ditangguhkan ketika cuti, masa masih terisi dengan perbincangan, cerita dan kisah yang bermanafaat. Terasa sungguh mama keseronokan yang anak-anak rasai. Terasa sungguh mama anugerah Allah kita tercampak ke sini….

Syukur anak-anak…Allah menyediakan ruang untuk kita merasai Ramadhan, belajar mengenal hikmah Ramadhan, walau bukan kemampuan kalian untuk menghadam semuanya ketika ini…

Doa mama semoga ruang Ramadhan ini mampu menjadi titik penerus mama dan baba untuk lebih berperanan sebagai ibubapa yang memberi didikan bermakna untuk puteri-puteri mama yang dikasihi. Dan… menjadikan kalian menjiwai titisan kasih dan didikan mama dan baba, untuk merasai kasih dan sayangNya, Yang Maha Pengasih dan Penyayang kepada kita semua..

Salam Kasih..

Ummu Balqis

Friday, 6 August 2010

Ahlan Ya Ramadhan Kareem

“Ramadhan is coming soon, isn’t it?” Terkejut juga saya dengan sikap ambil tahu yang ditunjukkan oleh John dan Betti, pasangan suami isteri, merangkap bapa kepada tuanrumah saya yang tinggal berjiran dengan kami. Bukan sekali dua bertanya, tak mampu pula menduga apa tujuannya. Yang pasti, keduanya sangat ramah dan prihatin, dan seolah mengingatkan pula kepada kami tarikhnya dari semasa ke semasa.

“What about the children?” Tanya Betti pula. Saya menjelaskan seadanya, anak-anak tidak dipaksa, tetapi dilatih sekadar kemampuan yang ada. Betti mengangguk sambil tersenyum. Memang tak disangka, dalam pekan sekecil ini, pengetahuan warganya tidaklah begitu asing tentang Islam.

Tinggal beberapa hari lagi, Syaaban bakal berlalu, dan untuk kesekian kalinya Ramadhan akan menyusul lagi. Ramadhan yang terisi penuh dengan barakah dan gandaan pahala bagi yang beramal soleh. Ramadhan yang menyajikan peluang memaksimumkan pencarian ilmu yang bermanafaat. Ramadhan yang menyediakan ruang mentadabbur dan mengislah diri dengan mengurangkan pengisian jasmani dengan kelazatan juadah yang pelbagai rasa.

Ramadhan kali ini pastinya sangat berbeza bagi kami sekeluarga, melaksanakan ibadah puasa dengan suasana yang lain daripada sebelumnya. Lebih mencabar lagi untuk melatih anak-anak dalam musim yang siang lebih panjang daripada malamnya. Nampaknya, mentaliti anak-anak perlu dipositifkan dengan meniupkan sirah nabawiyyah dan kisah para sahabat, disamping menyampaikan ganjaran yang Allah sediakan bagi yang berjaya melaksanakannya dengan jaya. Tambahan pula anak-anak dalam musim cuti sekolah hingga menjelang akhir Ramadhan, jadi masa perlu diisi dengan aktiviti yang mampu mencelikkan ruh, akal dan jiwa, bukan sekadar menonton segala macam program televisyen demi melepaskan rasa bosan di dada.

Siapalah Kita…

Hanya Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang, sentiasa memberi ampun kepada hambaNya yang sering lupa. Merasakan Ramadhan seperti tiada beza dengan bulan-bulan sebelumnya. Melakukan urusan dunia bersungguh-sungguh, manakala urusan Allah dilaksanakan seadanya. Allah…Beratnya mendidik nafsu yang sentiasa alpa, susahnya meninggalkan kelaziman yang berakar umbi sekian lama.

Mengenangkan bagaimana terisinya Ramadhan di kalangan Salafussoleh terdahulu, apatah lagi para Sahabah, generasi Rabbani didikan Kekasih Ilahi, terasa jauh benar bagai langit dengan bumi . Setiap detiknya terisi dengan amalan kerinduan seorang hamba kepada Khaliqnya. Tak sampai iman kita agaknya, untuk menghargai kedatangannya dan menangisi pemergiannya. Tak terasa kita hadiah yang disediakan oleh Allah SWT untuk hambanya yang sering lupa.

Walau di mana pun kita tercampak, nilai Ramadhan tetap sama. Tidak ternilai untuk diukur dengan apa yang ada di dunia, dengan peluang kali ini melaluinya lagi. Moga ini menjadi madrasah untuk mendidik diri, mengekang nafsu jasadiah yang tidak pernah padam. Madrasah untuk mendidik diri dan keluarga, juga setiap sahabat seaqidah di luar sana, untuk menghargai ruang tersedia dengan melangkah setingkat lebih tinggi daripada Ramadhan yang telah berlalu pergi...Biarlah Ramadhan kali ini, mampu menjadi benteng pertahanan yang kuat untuk menempuh 11 bulan yang berikutnya.

Namun begitu, jangan pula di kala ini kita menjadi hamba kepada Ramadhan. Mengumpul segala kebaikan dan kebajikan semata-mata kerana ianya bulan yang mulia. Akan tetapi setelah Ramadhan berlalu, semuanya turut sama pergi. Tiada lagi sedekah, tiada lagi, tadarrus dan tadabbur, tiada lagi nawafil yang menghias diri... hilang di telan bulan. Semoga kita terdidik, menjadi hamba kepada Pemilik Ramadhan Kareem...

Kasihnya Rasulullah pada kita, memberi pesan hingga ke hujung hayat Baginda. Kasihnya Allah SWT pada kita, membuka seluas-luasnya pintu Rahmat dan Rahim tanpa berhajat balasannya. Cukuplah itu sebagai penggerak, untuk kita menuju ke arah redha dan cintaNya….Allah Rabbul Jalil…

Salam Ramadhan.

ummu Balqis.

Wednesday, 28 July 2010

Peringatan Terbaik Buat Insan

Catatan pertama saya di ruang rehlah imaniyyah ini, moga menjadi ingatan buat diri saya yang sering lupa. Peringatan yang sering ingin dihindari oleh yang bergelar insan, kerana takut terhentinya kelazatan yang dinikmati sepanjang berkelana di daerah yang disangka sangat indah ini.

Setiap yang bernyawa akan menempuhi kematian. Dan sebaik-baik peringatan adalah mengingati mati. Bagi setiap mu'min, mengingati kematian seharusnya melahirkan keinginan untuk melakukan yang terbaik selagi diberikan ruang bernafas di muka bumi ini. Tidak lain kerana, hasil amalan di sini, akan tertuai di daerah sana.

Namun begitu, mengoptimumkan peluang kehidupan semestinya tanggungjawab insan. Memberikan yang terbaik adalah tanda syukur seorang insan terhadap Khaliqnya. Kegerunan saat berhadapan dengan kematian bukanlah alasan untuk membiarkan diri malas berusaha dan berserah sahaja dengan ketentuanNya. Justeru, mengingati kematian adalah cara yang terbaik untuk meluruskan laluan sepanjang kehidupan. Agar jalan sentiasa lurus, destinasi yang terakhir akan mampu dicapai dengan selamat.

Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; Dia menghidupkan dan mematikan; dan Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (al-Hadid;2)

Hakikat Kematian

Allah swt yang menghidup dan mematikan kita telah memberitahu bahawa hikmah daripada kematian adalah perpindahan dari tempat berlakunya amal ke tempat mendapat balasan. Di sana, kita diberi balasan bagi setiap amalan yang dilakukan sepanjang kehidupan yang lalu.

Firman Allah swt bermaksud:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah Berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi prang yang terpedaya.” (Ali Imran:185)

Siapalah kita untuk menafikan hakikat ini.

Siapalah kita untuk melarikan diri dari saat ini.

Lemahnya kita..Masya Allah.

Kita melihat dan mendengar tentang kematian. Namun enggan mengingatinya dan mempersiapkan diri menghadapinya. Kita melupakannya sedangkan kita pasti akan menemuinya. Kita membutakan mata dari melihatnya, sedangkan ia semakin menghampiri…

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “ Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu dia memberitahu kamu apa yang kamu telah lakukan ( serta membalasnya)”. (al-Jumu’ah:8)

Ketetapan Yang Pasti

Andainya nyawa terletak dalam kekuasaan manusia, pasti tiada seorang pun manusia di muka bumi ini yang akan mati. Yang pasti, setiap di kalangan kita mempunyai janji yang tersendiri. Oleh itu, dengan keyakinan bahawa ia pasti akan mendatangi kita, moga ianya menjadi tanda aras dalam perlaksanaan tanggungjawab kita sebagai hambaNya dan khalifah di muka bumi ini. Mencari peluang dan melakukan yang terbaik kerana meyakini, setiap yang tertunai di sini, akan dihitung dan dipersoalkan di hari yang sangat adil perhitungannya.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis