Monday, 30 April 2012

Bisikkan padaNya....




Simpanlah ia kejap di hati..

Walau apapun ciri yang kau hajati..

Yang kukuh iman, sopan dan merendah diri

Atau penyayang dan pandai berkongsi

Bisikkan segalanya kepada Yang Maha Mengetahui

Jangan ditabur segalanya di muka buku...

Walau kelihatan sekadar perkongsian

Kerana itu gambaran siapa gerangan dirimu....

Adakah murah, mudah diteka oleh siapa sahaja

Atau begitu berharga, hingga menjadi rahsia

Antara dirimu dengan Dia Yang Maha Esa...


Sungguh... anakku...

Jangan begitu murah engkau berkongsi..

Walau sekadar cebisan luahan ikhlas isi hati

Kerana itu hiasan syaitan yang pintar menipu

Membenarkan apa sahaja difikiranmu....

Mengiakan harapan dilubuk hatimu

Agar terhakis rasa malu..

Secebis demi secebis

Sehiris demi sehiris

Hingga akhirnya, segalanya tersingkap

Tanpa hijab...

Ketika itu..

Hilanglah harga dirimu,

Tatkala itu....

Ketawa bahagialah syaitan dan segala kuncunya...

Bahawa padamu sudah terungkai segalanya...

Hilang... ditelan rakus jahiliah moden...

Dengan alasan...

Yang dinamakan kemajuan...


Ayuh anakku....

Gempur syahwat yang beraja dihati....

Buktikan..

Bahawa kalian adalah mawar berduri...

Yang tahu harga diri....

Demi mencari sekelumit kasih Ilahi

Dalam perjalanan menuju redhaNya yang abadi...


Salam sayang

Hanya Allah matlamat hati ini

Ummu Balqis

Sunday, 22 April 2012

Jom anak-anak


“Silapkah cara aku dalam menyalurkan ilmu kepada anak-anak?” hati saya tiba-tiba terasak dengan persoalan yang ditanya oleh anak kedua saya tadi.

Ada timbul sedikit perasaan malu pada diri sendiri tatkala menerima lontaran persoalan anak-anak.

“Mama, apa ye teori big bang dalam Islam?” Angah Sarah bertanya. Persoalan yang timbul hasil pertanyaan dan perbincangan dengan kawannya di sekolah

“Betul ke Kiamat tahun depan, Mama? Along tengok internet, ramai orang post tentang tanda-tanda kiamat semakin banyak.

“Apa beza binatang yang disembelih dengan yang tak disembelih?” soal Along pula.

Banyak lagi persoalan yang sentiasa mewarnai hari anak-anak, di celahan ruang interaksi antara kami.

Bila ruang bertanya dibuka. Maka ruang berfikir semakin melebar.

Pertanyaan yang bukan sekadar menginginkan jawapan ya atau tidak, betul atau salah, halal atau haram.

Pertanyaan yang tidak boleh dihentikan dengan jawapan, “nanti dah besar, taulah jawapannya...”

Pertanyaan yang tidak boleh dimatikan dengan jawapan, "jangan fikir yang bukan-bukan."

Bahkan persoalan yang menuntut keyakinan dan kefahaman orang yang ditanya terlebih dahulu, sebelum memberi huraian dengan kadar kemampuan yang diterima akal anak-anak yang sedang berkembang.

Begitu juga ruang berbincang merentasi pelbagai tajuk.

Ditambah dengan suasana persekitaran di sekolah yang sentiasa meraikan
pertanyaan dan perbezaan pendapat dengan penuh semangat dan ilmiah.

Macam mama

Setiap kali anak-anak bertanya, fikiran saya cepat melayang mengingati sikap saya dulu-dulu.

Juga suka bertanya, namun hampir semua jawapan yang saya inginkan, diperolehi dengan pencarian sendiri.

Sukar mencari orang yang sudi melayan kerenah saya waktu itu. Yalah.. banyak persoalan yang bukan-bukan. Itu agaknya tanggapan orang yang ditanya.

Teringat ketika di tingkatan satu, ketika Ustaz mengajar tentang Isra' Mi'raj, dikisahkan tentang perjalanan Rasulullah saw hingga kepada pertemuan Baginda saw dengan Kekasihnya, Allah Rabbul Jalil tanpa hijab.

Fikiran singkat saya yang baru berusia 13 tahun menyoal, "Ustaz, kalau Nabi Muhammad dah jumpa, mesti boleh bayangkan ustaz, Allah tu macamana. Lepas tu, mesti la boleh gambarkan Allah tu macamana."

Tersentak Ustaz yang sedang baru selesai memberi penerangan.

Tak sangka agaknya pertanyaan saya yang spontan.

"Dah.. dah.. tak payah fikir jauh-jauh, memang tak boleh, tak boleh la." Balas Ustaz cepat-cepat.

Agaknya bimbang, banyak lagi pertanyaan saya yang tak masuk akal yang sukar dijelaskan.

Jom anak-anak



Jujurnya, saya bersyukur anak-anak meluahkan rasa ingin tahu mereka dengan tulus.

Walaupun sebenarnya, kadangkala saya sendiri terkedu memikirkan jawapan ilmiah yang perlu disediakan.

Sebenarnya juga, ada di antara persoalan yang anak-anak ajukan, saya sendiri tidak terfikir untuk mendalaminya secara ilmiah.

Saya akur. Banyak yang saya perlu belajar. Bukan sekadar tahu untuk diri sendiri. Perlu juga diteliti jawapan yang tidak mengkusutkan rasa ingin
tahu yang meruap.

Jom anak-anak, sama-sama kita menyelongkar khazanah ilmu yang tidak bertepi ini.

Mama bukan serba tahu, mama cuma mampu menjadi perantara untuk anak-anak menyalurkan rasa ingin tahu kepada cara yang betul agar tidak tergelincir dengan permainan dan rasa hebat secebis kurniaan akal yang Allah beri.

Setiap persoalan anak-anak, bukan sahaja membuka ruang ingin tahu anak-anak, juga menggerakkan rasa ingin meluaskan ruang faham yang ada pada Mama.

Kita cari sama-sama jawapannya dalam ruang lingkup kajian akal manusia.

Kita cari sama-sama juga jawapannya dengan sandaran khazanah yang dibekalkan oleh Rasulullah SAW, iaitu, al-Quran yang melaut tak terhitung ilmu di dalamnya, juga al-Hadis yang menyokong sebagai panduan hidup kita yang sementara.

Panduan yang mensejahterakan akal dan mententeramkan jiwa.

Panduan yang selari dengan fitrah asal kejadian manusia.

Supaya terhapus rasa ujub dan kagum pada diri. Lantas timbul rasa rendah dan tunduk pada kebesaran Ilahi.

Allahu Akbar.


Hanya Allah matlamat hati kita.

Ummu Balqis

Friday, 20 April 2012

Mungkinkah dia orangnya...




Mungkinkah dia orangnya...

Yang bakal mewarnai liku hidupmu...

Tiada siapa yang tahu..

Rahsia yang tersembunyi.. tersimpan kemas dalam ilmuNya.

Di dalam hati si teruna berkira-kira... mahu yang memikat, anggun bergaya.

Diam-diam si dara menyimpan rasa...ingin yang romantik , tampan mempersona.

Neraca yang menguntungkan nafsu semata...

Semakin hari kita semakin lupa..

Pertimbangan apakah yang sewajarnya menjadi sandaran?

Yang terzahir berbentuk material yang mengasyikkan.. .

Tak kira di ceruk pelusuk mana,

Kaya atau miskin, buruk atau rupawan,..

Bertahun-tahun memadu janji, rupa akhirnya berpaling

Sekian lama ke sana ke mari, rupa akhirnya dia pergi

Bersekang mata menagih rindu, rupanya segalanya hanya palsu....

Hati-hatilah duhai anakku...

Semua yang indah di mata, pasti menghancurkan

Semua yang menarik di hati, pasti merosakkan.

Letakkanlah iman sebagai timbangan...

Yakinlah janji Dia Yang Maha Penyusun segala urusan...

Usah digadai harga diri..

Semata-mata bimbang tiada yang sudi...

Jangan!!!!

Laluilah jalan yang sedikit bilangannya...

Kerana itu janji Allah yang pasti..

Pasti manisnya akan kau kecapi...



Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis

Monday, 16 April 2012

Mutiara kasih Ayahanda...

Masa terus beredar. Namun titisan mutiara kasih yang ayahanda tinggalkan tetap basah segar menyirami hati ini. Menjadi penyuluh dalam meneruskan sisa masa yang masih dipinjamkan oleh Ilahi.

Termenung saya di dalam kereta mengingati abah yang telah pergi, genap tujuh tahun hari ini, 17 April 2012.

Terkenang apabila berkumpul bersama adik beradik yang menjadi rutin sekurang-kurangnya sebulan sekali. Bersama-sama menyubur kasih tika masih hayat bonda, mengingati ayahanda dan menghadiahkan doa, memohon rahmat dan kasih Allah yang Maha Pengampun untuknya.

Rindu tidak terucap dengan kata ketika menziarahi pusara ayahanda dan bonda kali terakhir sebelum bermusafir di sini. Walau pusara keduanya jarang sekali mampu saya ziarahi, iringan doa tidak akan putus buat penerang keduanya di alam sana.

Menjelajah setiap ruang di dalam rumah peninggalan keduanya, mengundang sebak yang tidak berpenghujung.

Ruang atas yang membangkit nostalgia.

Di sudut kiri ruang membaca ayahanda yang masih sedia tersusun rapi senaskhah al-Quran yang sentiasa dibacanya, juga fail-fail peribadi pelbagai urusan. Di dalam laci mejanya, masih tersimpan baik cenderahati berupa ‘key chain’, pen dan macam-macam lagi. Kenangan daripada anak-anak dari pelbagai tempat pengajian.

Manakala di sudut kanannya pula ruang tempat bonda sentiasa menunaikan solat dhuha dan membaca al-Quran. Di tepi dinding, ada almari kecil yang tersusun di dalamnya majalah dan album yang sentiasa menjadi tatapan bonda usai solat dan membaca al-Quran.

Ayahanda yang teliti

“Lain kali, kalau tulis surat, tarikh mesti ada. Jangan lupa tu.” Pesan Ayahanda ketika saya balik bercuti akhir tahun daripada Kolej Islam Kelang, Selangor

Saya mengangguk tanpa kata. Tak sangka itu pesanan Ayahanda. Cuba mengingat apa yang saya tulis sebelumnya.

Ayahanda sangat teliti orangnya.

Menjadi rutinnya menulis surat kepada setiap anak pada tahun-tahun tersebut,1987-1990 Ketika anak-anaknya bertebaran , seorang di utara, seorang di selatan dan seorang lagi tengah tanahair.

Surat Ayahanda ditulis dengan tulisan jawi yang sangat unik dan cantik.

Dan lagi, Ayahanda menulis dengan format surat rasmi kepada anak-anaknya.

Latihan membaca tidak formal untuk kami. Oleh kerana jurusan pengajian yang tidak sama, bersusah payah juga abang dan kakak saya untuk membacanya. walaubagaimanapun, jawapan ditulis dengan tulisan rumi.

Alhamdulillah, saya membalasnya dengan tulisan yang sama, cuma selalu kurang peka dengan format. Tidak seperti Ayahanda.

*****************

“Berapa kilometer jarak tempat An tinggal dengan kejadian gempa bumi tu?” Soal Ayahanda setelah saya berjaya menghubungi keluarga selepas 2 minggu tiba di bumi Kaherah.

3 hari selepas saya tiba di Mesir, berlaku gempa bumi yang sangat dahsyat, meruntuhkan banyak bangunan dengan bilangan korban yang sangat tinggi.

Tak sangka itu soalan Ayahanda.

“Ehm... lebih kurang 20 minit naik kereta, Abah.” Jawab saya tersekat-sekat.

Kurang peka lagi.

*******************

Banyak peristiwa yang mengingatkan saya tentang tegas dan telitinya Ayahanda.

Tegasnya Ayahanda, setiap pertanyaan daripadanya, seboleh mungkin tidak akan dibalas dengan jawapan yang negatif.

“Ada sesiapa alihkan kunci kereta Abah kat sini tadi?”

“Kat mana fail Abah letak atas meja semalam?”

Bukan saya sahaja, malah semua adik beradik, walaupun tidak tahu, tidak ada yang akan memberi jawapan...

“Tak tahu”. “Tak nampak pun”. “Entahlah..”

Walaupun sangat jarang marah, pandangan mata Ayahanda sudah cukup memberitahu.. jangan ada jawapan sebegitu...

Meraikan

Pun begitu, disebalik tegasnya ayahanda, ada kelebihan yang mengendurkan kegerunan anak-anak kepadanya.

Dengan bilangan anak seramai 9 orang, Ayahanda pandai meraikan setiap anak mengikut kecenderungan dan minat masing-masing.

Yang suka membaca, Ayahanda pun bercerita tentang buku.

Yang suka menonton tv, Ayahanda bercerita tentang tv.

Yang suka merantau, Ayahanda bercerita tentang tempat-tempat yang telah dilawatinya.

Yang pasti. Ayahanda memang pandai bercerita dan menarik minat kami untuk mendengar.

Cerita yang terlekat kuat di ingatan setiap kami hingga kini.

Arwah Bonda adalah pendengar dan penggemar setia Ayahanda.

Susuk peribadi Ayahanda yang tiada ganti. Didikannya yang tersurat dan yang tersirat sentiasa kemas di dalam diri ini.

Ya Allah... moga rahmatMu sentiasa memayungi perjalanan Ayahanda di alam sana.

Kurniakanlah tempat terbaik untuknya, bersama para syuhada’ dan solihin.


Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis

Tuesday, 27 March 2012

Seharum Kasihmu

“Mama, yang ni nak baca macamana?” suara Wawa memecah lamunan.

Allah.... Astaghfirullah...tersentak saya seketika. Tiba-tiba fikiran melayang mengingati insan yang tidak terucap kasih, jasa dan pengorbanannya di dalam hidup ini.

Perhatian saya kepada bacaan Al-Quran Wawa terlayang jauh apabila sampai kepada ayat ke 15 daripada surah Al-Ahqaaf:

Firman Allah swt yang mengetuk rasa sayu, bermaksud:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan bersusah payah, dan melahirkannya dengan bersusah payah. Masa mengandung dan menyusukannya selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia (si anak) telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa; “Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri ni’matMu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai; dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku termasuk golongan muslimin.”

Ralit saya menghayati ayat tersebut beserta maknanya, mengundang sebak tiba-tiba.

Masih terbayang lagi senyum tawa bonda yang tidak banyak cakapnya. Sentiasa melayani kehendak anak-anak dan menyantuni kesemuanya dengan penuh kasih, namun ketegasannya tetap ada.

Tanpa sebarang rungutan dan keluh kesah.

Oh.. Esok rupanya sudah 3 tahun bonda pergi menemui Ilahi.

Seakan baru semalam bersama Bonda, adik beradik serta ahli keluarga yang lain menyantuni Bonda yang uzur di pembaringan.

Kasih Bonda dan cita-cita

“An nak pergi ke Mesir?” Tanya Bonda apabila melihat saya mengelamun di birai katil sambil memegang surat tawaran ke UKM selepas habis pengajian di KUSZA.

Saya diam membisu.

Hati berbelah bahagi antara keinginan dan cita-cita yang telah lama tersimpan, dengan situasi yang ada ketika itu.

Cita-cita yang tidak pernah padam ingin menjejakkan kaki dan mencari hikmah di bumi anbiya’.

Ketika yang sama, ayahanda baru diuji dengan serangan jantung buat pertama kali. Masih dalam rawatan berkala dari semasa ke semasa.

Walaupun tidak kritikal, tetapi cukup mengejutkan kami sekeluarga.

Dada saya berat memikirkannya.

Pendaftaran ke UKM dalam tempoh dua bulan, manakala permohonan ke Mesir akan dibuka selepas 3 bulan.

Salah satu akan dilepaskan.

Rupanya, Ayahanda dan Bonda tahu, borang permohonan masuk ke universiti tempatan yang diisi hanyalah untuk menggembirakan hati mereka, bagi menebus sikap saya yang sedikit mengecewakan mereka apabila tidak berbuat demikian selepas SPM dahulu.

Ayahanda dan Bonda tahu, hati saya tidak di situ.

“Pergilah... Insya Allah Abah tak apa-apa.” Sambung Bonda seakan tahu apa yang berada di kotak fikiran saya.

Ada nada sayu yang sukar digambarkan. Sayu melepaskan anak di rantau orang.

Cuma saya waktu itu, tak mampu menyelami jauh rasa hati seorang ibu.

Saya memandang Bonda dengan genangan air mata.

Hanya redha keduanya yang saya harapkan.

Sungguh... keduanya sangat memahami desakan hati saya. Tiada keinginan yang lain selain mencari sekelumit ilmu. Walaupun dikenali dengan sifat tegas, namun dalam urusan kehidupan anak-anak, mereka sentiasa memberi dorongan dan sokongan.

Walaupun tidak pernah saya luahkan keinginan yang satu ini, mereka sedia mampu membacanya sejak di zaman persekolahan lagi.

Keputusan nekad saya buat, melepaskan tawaran ke universiti tempatan. Pada masa yang sama berdoa kesembuhan untuk ayahanda. Andai kesihatannya semakin baik, tawaran ke Timur Tengah saya sambut, jika tidak, mungkin hanya di sini rezeki saya.

Saya redha dengan apa jua yang mendatang.

Ya... Penyusunan Allah swt mengatasi sangkaan manusia.

Alhamdulillah, selang beberapa bulan, Ayahanda kembali sihat. Tawaran ke bumi Anbiya' akhirnya saya sambut dengan penuh syukur. Pada masa yang sama, walaupun berat, hati saya sedikit tenang meninggalkan mereka.

“An jaga diri baik-baik, sampai nanti jangan lupa telefon ya.” Pesan Bonda. Saya mengangguk sambil memeluk dan mencium keduanya.

Kasih yang tidak ternilai

Merenung kasih dan pengorbanan Bonda, menyebabkan saya merenung ke dalam diri sendiri.

Merenung diri yang kini juga memikul tanggungjawab sebagai ibu. Masih teringat kata-kata bonda:

“Perasaan menjadi ibu tidak mampu dicerita dengan kata-kata, kalau ada panjang umur, ada jodoh dan ada rezeki, Che doakan semua anak-anak akan menjadi seorang ibu.”

Sesungguhnya diri ini teramat merinduimu.

Ya Allah.. padaMu kupohon keampunan buat insan mulia ini atas segala kekurangan dan kekhilafannya.

Semoga redha Allah sentiasa mengiringi perjalanan Bonda dan Ayanda di alam barzakh.

Semoga Bonda dan Ayahanda dikumpulkan bersama para solihin.


Kasih Ibu

Engkau yang aku rindu

Engkau bertakhta dihatiku

Segalanya hanya tinggal kenangan

Pergi seorang insan yang amat ku sayang

Limpahan kasih sayangmu selautan rinduku

Yang pasti kau takkan kembali

Ya Tuhanku tabahkanlah menghadapi dugaanMu

Rahmatilah oh ibu

Seharum semerbak kasturi sedingin air di kali

Curahan kasih suci yang kau beri

Selamatlah ibu di SANA mengadap Allah Yang Esa

Doaku agar engkau bahagia

Engkau lah permata hati mendidik mengasuh mendidik kami

Bertarung nyawa demi kasih suci

Sungguh murni hati ibu menempuh onak berliku

Peritmu tiada siapa yang tahu

Oleh: Far East




Hanya Allah matlamat hati ini

Ummu Balqis

Friday, 13 January 2012

Uruskanlah amarahmu....




“Allah.... “ Berat sungguh menahan rasa hati. Perasaan sedih, geram dan marah bercampur baur. Air mata masih belum mampu di tahan daripada empangannya terus mengalir tanpa henti hingga ke malam hari.

Mata masih terbayang-bayang peristiwa pagi itu. Pagi Ramadhan yang barakah.

Telinga masih terngiang-ngiang mendengar kata-kata yang dilontarkan.

“Ustazah tau tak apa yang ustazah dah buat? Pelajar di luar dewan tu bertebaran, nak masuk dalam dewan ni. Ustazah kalau nak guna dewan, mesti tempah awal, ini tidak, menyusahkan orang! ” hambur rakan sejawat lelaki yang hanya saya kenal namanya sahaja sebelum ini.

Terkebil-kebil saya memandangnya. Mulut seolah terkunci tanpa sempat menyusun jawapan. Beberapa orang pelajar yang sedang berbincang dengan saya sedikit tergamam.

Nun di bahagian hadapan dewan, ceramah baru bermula.

“Saya memang dah kenal, macam nilah selalunya ustaz/ ustazah buat kerja.” Katanya sinis sebelum berlalu, diiringi dengan berbagai kata pahit dan pedas yang tak sanggup saya lakarkan.

Semuanya masih kukuh di lipatan ingatan.

Terasa darah menyirap ke bahagian muka. Mata menjadi semakin kabur. Marah dan geram berpadu, saya cuba menahan diri, melawan rasa hati yang teruji.

Saya tewas. Takungan sudah pecah. Malunya! Lemahnya! Ditenangkan oleh anak didik sendiri.

“Ustazah, sebelum ustazah sampai, kami pun kena marah juga tadi.” Pujuk seorang pelajar puteri setelah melihat saya bergegas ke bilik air sebelum empangan air mata melimpah di hadapan anak-anak pelajar yang dikasihi.

Kecoh pagi itu kerana dikatakan pelajar-pelajar saya tidak mengikut prosedur menjalankan program ceramah bagi kursus mata pelajaran hadis yang saya ajar.

Sedangkan prosesnya sudah berjalan lancar sebulan sebelumnya.

Keesokan hari, setelah diteliti perjalanan prosedur dan disahkan, ternyata, tiada kesilapan di pihak pelajar, tetapi silap faham di pihak pentadbiran. Pihak yang bertanggungjawab memohon maaf bagi pihak rakan sejawat yang saya hormati.

“Saya harap ustazah tidak ambil hati dengan sikap beliau.Mungkin waktu itu, dia sedang tertekan.” Nasihatnya kepada saya.

Astaghfirullahal ‘Azim.

Perkara sudah berlaku. Tiada dendam dan sakit di hati.

Namun sangat-sangat memberi pengajaran kepada saya.

Walau terasa ketika itu maruah bagai dirobek-robek dengan kata-kata yang kurang berhikmah dan menyentap harga diri.

Harga diri seorang insan. Harga diri seorang pendidik.

Uruskanlah amarahmu

“Keluar sekarang wahai Fatimah! Aku tahu engkau telah menganut agama Muhammad”. Jerit Umar al-Khattab daripada luar rumah. Fatimah dan suaminya, Saed bin Zaid,yang sedang tekun mentadabbur kalimah wahyu terkejut ketakutan.

Tiba-tiba ditendangnya pintu rumah, terus meluru masuk sambil menghunus pedangnya kepada Saed dan adik yang dikasihinya. Bertaburan cebisan –cebisan tulisan ayat suci yang dibaca. Wajahnya yang berang kemarahan tiba-tiba terpaku pada sepotong ayat, segera ingin di ambil, dengan pantas dihalang oleh Fatimah.

"Engkau tidak boleh menyentuhnya." tegas Fatimah.

Terpegun Umar dengan keberanian adiknya,. Merenung titisan darah yang mengalir di wajah adik kesayangan. Tanpa disedari, ada perasaan halus yang melunakkan hati dan kata-katanya. Hidayah Ilahi menyerap dihatinya.

“Apa yang harus aku lakukan?” Umar bertanya lemah.

“Sucikanlah dirimu.” Fatimah menjawab penuh yakin.

Allah....

Peristiwa masyhur yang berlaku di awal Islam.

Allah memakbulkan doa kekasihNya dengan mengirimkan Umar al-Khattab yang digeruni masyarakat.

Umar yang terkenal dengan sifat garang dan tegasnya. Setelah menerima iman, menguruskan amarah dan tegasnya selari dengan keimanannya kepada Yang Maha Esa.

Ketegasan yang menjadi pendorong dan penguat semangat muslimin yang masih kecil jumlahnya ketika itu.

Janji kita...




Setelah berlakunya perjanjian syahadah, maka bermula detik setiap kita sebagai pendokong risalah Islam yang mulia ini.

Islam bukan hanya milik ustaz/ustazah. Tidak hanya kepada golongan yang mengkhususkan diri di dalam pengajian agama.

Islam adalah milik semua.

Iman berpaut kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Setiap yang mengaku beriman, dialah duta yang menggenggam seluruh risalah mulia ini. Iaitu dengan menzahirkan diri sebagai seorang muslim yang menyerapkan isi wahyu yang diturunkan ke dalam hati dan jiwa, melaksanakan tuntutannya dengan kekuatan jasad yang dibekalkan.

Tiada yang sempurna, kerana kita adalah manusia yang dibekalkan ruh, akal dan nafsu.

Uruskanlah segalanya dengan kurniaan iman. Melorongkan akal, ruh dan jiwa ke arah pengakhiran yang sejahtera.

Sesungguhnya amarah itu kesukaan syaitan andai tanpa dorongan iman. Maka lahirlah kata-kata di luar batas sedar yang akhirnya membuka keaiban sendiri.

Kekangilah api kemarahan dengan memupuk sifat tenang dan sabar.

Salurkan kemarahan pada tempat dan situasi yang wajar.

Marah dengan kemaksiatan. Marah dengan segala kemungkaran.

Pasti bukan mudah, kerana syaitan berada bersama aliran darah.

Kerana itulah tingginya nilai mujahadah.

Bagaimana?

Ya... Siramilah api kemarahan itu.

Sucikanlah dirimu... berwudhu’ lah..

Moga ia mampu menghapus amarahmu.

Sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang sentiasa berwaspada.


Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis

Saturday, 17 December 2011

Tiada paksaan bagimu...


“Macamana nak study ‘medic’ dengan result macam ni? Papa dulu best student tau, tak pernah dapat result macam ni, daripada waktu sekolah,hingga tamat universiti.” Syarah si bapa kepada anak perempuannya dengan nada penuh geram.

Merah bola matanya melihat markah subjek-subjek utama untuk aliran sains diisi dengan warna merah.

Si anak tunduk, sesekali terkebil-kebil memandang si bapa. Kosong.

Saya memandang dan membiarkan si bapa melepaskan rasa terbukunya dengan penuh sabar. Tak sampai rasa hati melihat si anak dimalukan begitu dihadapan saya, guru kelasnya.

Perjumpaan ibubapa dan guru adalah pertemuan yang dijadualkan oleh pihak sekolah untuk berbincang tentang prestasi anak-anak, dan memaklumkan langkah-langkah yang diambil oleh pihak sekolah untuk penambahbaikan dalam meningkatkan prestasi anak-anak yang akan menduduki SPM tidak berapa lama lagi.

“Ustazah tau tak, saya doktor pakar di Hospital ***, isteri saya pun doktor pakar juga di Hospital ***. Kami berdua lulusan universiti luar negara. Kami sangat sibuk, ni isteri saya tak dapat datang pun sebab ada di luar negara atas urusan rasmi. Kakak dan Abangnya sekarang pun di luar negara, masuk jurusan perubatan juga, takkan dia tak boleh. Sepatutnya Ros (bukan nama sebenar) kena lebih usaha lagi ni.” Sambung si bapa sambil memandang dengan serius kepada saya.

Saya mengangguk tanda faham. Si anak masih tunduk , sesekali memandang saya.

Ros sememangnya berada di kelas aliran sains, aliran yang boleh menyambung cita-cita bapanya itu. Namun saya tahu kecenderungan Ros lebih kepada senireka dalaman. Bakatnya terserlah apabila melibatkan aktiviti menceriakan kelas atau pertandingan melukis poster dan banner. Pasti keghairahan ibubapa yang mengharapkannya mengikut jejak langkah mereka menggusarkan hati Ros.

Dilema si anak. Kecenderungan dan keupayaannya bukan ke arah yang diingini oleh ibubapa. Walaupun saya tau Ros seorang yang sangat tekun berusaha dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

“Encik, anak Encik ni rajin dan sudah berusaha bersungguh-sungguh. Setiap anak ni berbeza. Mungkin kecenderungannya lebih kepada bidang lain dan bukan dalam aliran sains. Walaubagaimanapun, masih ada masa lagi untuk dia meningkatkan lagi prestasi yang ada. Kan Ros?” Saya menyebut penuh hati-hati, risau juga melihat nafas kencangnya turun naik menahan rasa marah.

Ros mengangguk takut-takut. Kasihan saya melihat keadaannya,lesu tanpa rasa yakin pada diri.

“Takkan nak jadi pereka fesyen kot?” kata bapa Ros lagi dengan nada yang agak sinis.. Agaknya sudah ada perbincangan tentang perkara tersebut di antara mereka.

“Tak apalah.” Hati saya berbisik. Saya memandang dan mengukir sedikit senyum. Agak kelat sekadar berbahasa. Sukar menjelaskan andai hati tidak terbuka untuk menerima. Hajat untuk memberi penerangan lanjut tentang anaknya saya pendam sahaja.

Lagipun, apalah yang penting sangat dengan nasihat seorang guru sekolah, ditambah dengan usia yang jauh lebih muda dengan pengalaman yang jauh lebih cetek darinya.

Tiada paksaan bagimu....

“Keluarga kita belum ada lagi dalam bidang perubatan. Keputusan An memang layak sangat untuk ke aliran sains. Abang dah terlepas peluang ni, adik beradik yang lain belum tentu dapat peluang yang sama. An fikirlah, Abang harap sangat An masuk aliran sains ni. Tapi apapun, An pilihlah yang terbaik untuk An.” Antara ayat terakhir di dalam surat abang sulong saya, Engku Md Azmi selepas mendapat keputusan SRP.

Panjang lebar surat Abang, menjelaskan pro dan kontra berada dalam aliran sains dan sastera. Hampir 4 helai kertas A4! Masih saya ingat dengan jelas isinya, terutama barisan ayat-ayat terakhir.

Abang memang menjadi rujukan dan sumber inspirasi kami sekeluarga selepas ayahanda dan bonda, terutama tentang pelajaran. Orangnya sangat tegas, namun tidak mengongkong. Ketika itu Abang sedang menyambung pengajiannya di UTM Skudai dalam bidang arkitek.

“Abah dan Che tak kisah, An pilih la yang terbaik.” Kata ayahanda lembut menenangkan hati saya.

Kecintaan saya kepada Bahasa Arab tak dapat dibendung walaupun ianya agak asing di kalangan ahli keluarga. Meskipun jaminan dan peluang pekerjaan belum menampakkan kecenderungan menyebelahi pelajar aliran agama di waktu itu, hati saya tetap terpaut pada keindahannya.

Setelah ditimbang-timbang, dengan kemampuan dan kecenderungan pada diri, saya memilih aliran sastera agama, dan seterusnya menerima tawaran ke Kolej Islam Kelang.

Pilihan yang diterima dengan penuh sokongan oleh orang-orang yang saya sayang. Inilah penguat untuk saya melangkah ke depan tanpa perlu menoleh dan menyesali apa yang telah ditinggalkan.

Walaupun tidak belajar tinggi, namun ayahanda dan bonda menanam rasa yakin dalam diri setiap anak, bahawa Allah tidak akan menutup rezeki bagi orang yang berilmu.

Bumi Allah ini luas dengan lautan ilmuNya yang tidak bertepi. Halakanlah wajah ke mana sahaja. Carilah ia di mana sahaja. Selagimana ada kesungguhan menuntut ilmu, selagi itu barakah mengiringi hidupmu.

Tiada paksaan.

Mukmin Hebat

Itulah yang menjadi bekalan untuk saya menghadapi hari-hari yang mendatang, meyakini bahawa setiap kesusahan dan kesenangan dalam kehidupan adalah ujian untuk setiap hambaNya yang beriman.

Itu jugalah yang sepatutnya menjadi keyakinan pada setiap ibubapa yang diamanahkan zuriat penyambung warisan.

Anak-anak bukanlah hak milik mutlak kita yang boleh dijamin hasilnya sebagaimana yang diinginkan.

Anak-anak bukanlah sekadar jasad yang boleh dipastikan bentuknya setelah dicanai mindanya.

Setiap satu di antara mereka tiada yang serupa. Hatta si kembar yang berkongsi uri yang sama.

Mereka adalah individu yang tersendiri dengan perwatakan yang tersendiri, yang mengharapkan tangan-tangan kita untuk memimpin mereka ke jalan yang di redhai Ilahi.

Berilah ruang kepada mereka untuk mengenali diri, mencari kekuatan dan membina keyakinan diri sebagai muslim mukmin yang hebat dalam setiap tindakan.

Mudah-mudahan merekalah salah satu batu bata yang akan mengukuhkan binaan ummah akhir zaman.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis.