Wednesday 13 June 2012


Ketetapan Iman vs Perubahan Zaman


“Mama.. jom la kita pergi kat London Dungeon tu... best tau..” pujuk  Angah dan Along, sekaligus meminta izin.

Melalui kawasan tersebut ketika mengiringi Tok dan Wan melawat kota London cuti persekolahan April lalu menyebabkan keinginan yang terpendam dan suram sebelumnya kembali cerah.

Isyarat tanda ‘tidak’ telah diberikan oleh Baba sebelum itu. Namun, dek kuatnya keinginan dan rasa ingin tau, dipujuknya pula saya.

“Hm.. kalau dah Baba bagi jawapan tak boleh, agak-agak, apa ye jawapan Mama?” Tanya saya pula.

“Alaa... tak boleh la tu.”Angah cepat menjawab. Diiringi wajah yang kelat-kelat masam.

Along pun sama. Ada riak kecewa yang agak dalam.

“Apa yang anak-anak seronok nak tengok sangat kat situ?” Tanya saya mengalihkan topik persoalan, sekadar menghilangkan rasa sebal kerana permintaan tidak diluluskan.

“Macam-macam ada Mama. Best... Scary....Tengok la ni..” ulas Along cepat sambil mengunjukkan pamphlet yang dipegangnya sejak semalam.

Saya meneliti pamphlet yang diberi. Memang banyak unsur seram yang menyeronokkan jiwa yang sukakan cabaran dan dahagakan pengisian.

“Ni.. kalau dah scary, mesti ada unsur hantu. Hantu tu, adik beradik syaitan la... Kalau nak tengok tu, tak payah pergi kat situ, bersama kita pun ada syaitan tau...” jawab saya sambil tersenyum, menyebabkan mereka separuh menjerit kerana terkejut.

“Mama ni... jangan la cakap macam tu..”

“La.. baru sebut dah takut, belum pergi lagi tu...” Saya dan suami ketawa melihat gelagat mereka.

“Kalau dengan pergi ke satu-satu tempat tu, anak-anak jadi orang yang lebih baik, lebih ingat Allah, lebih berani, kuat, memang Mama takkan halang. Ini, tengok kat televisyen pun menyorok, apa lagi kalau dah secara 'live'. Nanti akhirnya, nak ke mana-mana berteman, nak masuk tandas pun tak berani.”Tambah saya lagi.

“Anak-anak nak tahu, hantu, syaitan atau jin, Allah dah hijab, tak bagi kita nampak. Hari tu Mama dah cerita, kan, syaitan ada bersama dalam aliran darah kita. Jadi tak perlu la kita nak pergi cari lagi. Nanti kalau dah nampak, susah tau...”

“Ingat ye anak-anak, apa yang baik dan Allah suka daripada manapun datangnya, kita boleh ambil dan ikut jika bermanafaat, kalau tidak, kita tinggalkan...” pesanan terakhir saya sebagai penutup untuk sesi pujukan tersebut.

Cabaran berada di sini, berhadapan dengan berbagai tarikan untuk anak-anak yang memerlukan masa untuk menyedari hakikat kebenarannya.

Semoga anak-anak Mama memahaminya, mungkin tidak sepenuhnya hari ini, insya Allah setelah usia kalian lebih matang untuk menilai dan memilih antara yang haq dan batil.

Jiwa Remaja

Gelodak hati remaja yang sentiasa ibubapa manapun berusaha untuk memahaminya.

Saya maklum, di tanahair juga, keghairahan membuat cerita atau filem berunsur tahyul, mistik dan menyeramkan begini sangat popular. Belum sempat lagi saya mengkaji, apa yang menyebabkan merebaknya situasi ini.

Namun apa yang pasti, kecenderungan membuat dan menonton cerita dan filem sebegini lebih ketara di kalangan kelompok umat Islam sendiri. Seolah-olah tiada lagi buah fikiran dan idea yang lebih menarik dan cerdik untuk disajikan kepada masyarakat.

Yang pasti juga hasilnya, hanya memberi keuntungan kepada pengeluar, sedangkan di pihak penonton ianya langsung tidak memberi sebarang manafaat, malah sangat berpotensi melahirkan Muslim yang sudahlah kurang berilmu, cintakan hiburan melampau, ditambah lagi jiwa-jiwa yang lemah dan pengecut menghadapi kerenah hidup yang pelbagai ragam.

Memang, lain sungguh dengan zaman saya dahulu. Kadang-kadang pening juga memikirkan cara menangani anak-anak di usia begini. Melarang tanpa sebarang perbincangan seolah membunuh rasa ingin tahu mereka.

Ditambah dengan sikap mereka yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru.

Seboleh-bolehnya saya berusaha agar, setiap yang boleh dan tidak, semuanya bersebab. Dan setiap sebab itu adalah berdasarkan iman kepada Allah swt. Tidak mahu juga mereka beranggapan, di zaman serba canggih ini, Islam dipandang berat dan menyusahkan, menyukarkan dan menghalang naluri ingin tahu jiwa remaja mereka.

Sedangkan andai satu pintu ditutup, banyak lagi ruang lain yang Allah buka untuk kita menerokainya. Seboleh mungkin, dengan kemampuan yang terbatas ini, saya cuba meluaskan yang dibolehkan, dengan menzahirkan sebab dan akibat atas setiap larangan.

Perbezaan zaman antara kita dan mereka, menyebabkan semua perkara tidak boleh diukur secara pukul rata.

“Tak boleh begitu, sebab Mama dan Baba dulu tak ada pun macam tu.”

“Tak boleh buat ini sebab Mama dan Baba dulu tak pernah buat macam ni.”

Ketetapan Iman vs Perubahan Zaman




Akur dengan perubahan zaman, namun ianya perlu diselarikan dengan keimanan. Sentiasa berkira-kira dan bertimbal balik kesan membenarkan atau melarang sesuatu perkara dalam jangka masa pendek dan juga 10 atau 20 tahun yang mendatang selagi hayat dikandung badan.

Membenarkan sesuatu perkara dengan pemantauan berkala, memberi ruang untuk mereka merasa hak sebagai individu untuk memilih dan membuat keputusan. Manakala setiap larangan semampunya diiringi dengan penjelasan yang bersesuaian dengan tahap akal dan pemikiran mereka.

Dalam masa yang sama, sebagai ibubapa, saya juga mengingatkan diri dan terpaksa akur, bahawa pada setiap peringkat usia akan dilalui dengan tahap pemikiran, penguasaan diri dan kehendak yang berbeza.

Bertahap dan berubah dari semasa ke semasa.

Jiwa ibubapa semestinya tidak sama dengan jiwa anak remaja. Sebagaimana berbezanya sikap dan pandangan kita di zaman kanak-kanak, remaja dan di usia semakin dewasa. Sudut pandang yang berbeza yang pastinya melahirkan keinginan yang berbeza.

Jangan disebabkan ghairah menginginkan anak menjadi seorang yang terdidik iman dan akhlak, kita mengaturkan segalanya tanpa memberi ruang untuk mereka bersuara. Semuanya mengikut telunjuk ibubapa.

Dalam banyak keadaan, perlu untuk kita memberi ruang mereka berfikir, meluahkan rasa, menganalisis dan membuat keputusan. Mungkin yang remeh di mata kita, rupanya besar dan menjadi beban untuk mereka.

Apa yang penting, kita memberi bekalan iman untuk mereka bawa di sepanjang kehidupan. Kerana mereka adalah amanah besar Ilahi yang seandainya tidak dibentuk dan dicanai sebaik mungkin, rosaknya sangat sukar diperbaiki.

Teringat pertanyaan seorang kawan, Barbara, berbangsa Hungary, berfahaman atheis yang cuba saya dekati, menyebabkan saya terdiam beberapa ketika untuk memberi jawapan,

“An, what will you do if one day, your daughter doesn’t want to wear headscarft anymore? Or, are you allow her if she wants to marry a man that has a different beliefs with you?”

Pertanyaan yang membuka mata, betapa kita hanya berusaha menyediakan dan memberi yang terbaik, namun hakikat yang memelihara segalanya adalah Allah swt.

Dialah yang menggerakkan hati untuk memahami dan menerima iman, menetapkannya di jalan kebenaran dan seterusnya menjadikan jasad ringan untuk melakukan amalan ke arah mentaatiNya.

Ayuh.... marilah bersama...

Kita semarakkan jiwa remaja anak-anak kita dengan iman, ilmu dan kesedaran bahawa taklifan bermula apabila usia baligh bermula.

Kita tiupkan dijiwa mereka, bahawa Rasulullah memikul tanggungjawab mengembala kambing ketika di usia remaja.

Kita khabarkan kepada anak remaja kita bahawa sahabat Rasullah saw menjadi ketua panglima perang di usianya yang masih remaja.

Kita nyalakan semangat dalam jiwa mereka, betapa ramai yang syahid membela tanahair mereka di usia yang sangat remaja.

Kita serlahkan kepada mereka, jenis remaja yang akan mendapat payung rahmat dan kasih Allah di hari yang akan menggembirakan bagi golongan yang yakin dengan janji Tuhannya.

Sesungguhnya dunia Islam rindukan pemuda yang kental iman dan semangat juang, bukan remaja yang lemah dan rosak jiwanya.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis