Tuesday 14 April 2015

Catatan Rindu Buat Adinda Engku Mohd Azlan

Bicara Rindu Buat Adinda Yang Dikasihi Engku Mohd Azlan Yang Kembali ke Pangkuan Ilahi Pada 27 Mac 2015

Adinda sayang...
Sungguh diri ini kerdil
Tidak mampu meneka taqdir
Bahawa perginya dinda tidak terduga
Oleh hati yang sentiasa ingin bersama

Sungguh diri ini kerdil...
Tidak mampu berbicara lama denganmu
Tidak terluang waktu untuk mendengar ceritamu
Tidak tergerak hati untuk menziarahimu
Tidak terlancar lidah bertanya khabarmu
Di saat akhir pemergianmu

Sungguh diri ini kerdil...
Menerima pasrah taqdir Ilahi
Memujuk diri redha ketentuan Yang Maha Pemberi
Sungguh Dia Yang Paling Mengasihi
Mengatasi kasih seluruh makhluk di seluruh alam ini

Kanda memujuk diri...
Mengakui betapa didikan Ilahi melalui siri-siri
Pemergian insan-insan yang teramat dekat di hati
Sungguh besar kasih Allah kepada kita
Mengetuk hati supaya sentiasa dekat denganNya
Menyedarkan diri betapa banyak dosa terhadapNya

Sungguh adinda sayang....
Dirimu akan sentiasa dalam ingatan
Suara guraumu yang memenuhi ruang akan sentiasa dikenang
Bicara sayumu yang penuh erti tersemat kukuh dihati
Syahdu dan dingin pagi penghulu segala hari
Akan sentiasa mengetuk hati
Perginya adinda mengadap Ilahi
Dalam tidur yang penuh ketenangan

Kami semua redha ketentuan ini....
Moga ini bukan perpisahan yang hakiki
Tetapi perpindahan dinda ke alam lain
Yang kami semua akan menyusul kemudian
Moga kita dikumpulkan kembali
Di syurgaNya yang abadi...

Ya Allah Yang Maha Mengasihani, ampunilah dia, redhailah dia, tempatkanlah dia bersama golongan yang Engkau kasihi dan redhai....

Tuesday 6 November 2012

Jom Masak....

Baru semalam projek membuat muffin berjalan.
Sehari sebelumnya, berkecah satu dapur gara-gara eksperimen membuat pizza bersama Wawa dan Nada.
Hari ini pula, ada lagi agendanya di dapur.
“Mama, hari ni Angah nak try buat muffin lagi, boleh?”, tak semena-mena Angah muncul di belakang , sedang saya asyik menyediakan bahan tumisan kuah kacang, nasi dagang dan mee kuah untuk menu sempena Hari Raya esoknya.
Along pula sedang menolong  membuat biskut kegemarannya dan adik-adik. 
Saya memandang wajahnya yang penuh mengharap. Tanpa sedar, saya mengeluh perlahan.
“Mama tengah sibuk la Angah. Macam-macam lagi Mama nak kena buat ni. Nanti kelam kabut pula.”
Suram wajahnya serta merta, tiba-tiba muncul rasa bersalah di hati saya.
“Hmm… kalau nak buat juga, nanti kena selesaikan , boleh?” Saya mengubah kata.
Melompat kegirangan Angah mendengar kata-kata saya, “ Ok, Tq Ma…I love you.. heee”.





Faham maksud kata-kata saya, setiap pekerjaan yang dilakukan, mesti diselesaikan hingga ke penghujung, jangan dibiar separuh jalan dan suka meminta pertolongan orang lain untuk menyelesaikannya. Pendek kata, dapur mesti berada dalam keadaan seperti sediakala.
Memang kecenderungan mencuba di dapur terserlah pada anak kedua saya ini. Setiap petang, sentiasa ada menu baru yang ingin dicubanya. Menggeleng kepala sambil ketawa kecil saya dibuatnya dengan ragam anak yang satu ini.
Seboleh-bolehnya, saya cuba meraikan apa yang anak-anak suka lakukan, terutamanya sesuatu yang membina kreativiti dan mencabar minda. Cuma kadang-kadang, permintaan yang tidak sesuai dengan masa dan keadaan menyebabkan sedikit menguji kesabaran.
Manakala segala peralatan elektronik samada televisyen, komputer, games, telefon bimbit  atau apa sahaja gajet yang mengasyikkan saya cuba hadkan penggunaannya.
“Takkan tak boleh bagi anak-anak tengok televisyen,” komen seorang rakan setugas saya dahulu ketika bertanya rutin menonton televisyen anak-anak saya.
“Bukan tak boleh, cuma hadkan pada tempoh dan waktu yang sesuai saja. kelonggaran di hujung minggu, sesekali di waktu petang dan tidak sama sekali di hari persekolahan.” jawab saya tersenyum.
Kecenderungan dan minat
Mengenali dan meraikan kecenderungan dan minat anak-anak merupakan perkara yang sangat mencabar  bagi ibubapa di zaman ini.
Keterikatan anak-anak dengan dunia persekolahan yang begitu sarat dengan pengisiannya berbanding usia, menyebabkan ruang untuk mengenali apa yang mereka suka menjadi semakin sempit.
Yang perlu diselesaikan adalah urusan persekolahan yang tidak putus.
Ruang mengenalpasti dan membangun potensi diri dipandang sepi. Yang mesti dicapai ialah deretan A di dalam peperiksaan
Oleh itu, menjadi keperluan kita sebagai ibubapa, seupaya mungkin meringankan bebanan fikiran anak-anak dengan meraikan mereka dalam apa jua perkara yang menjadi minat mereka.
Berpada-padalah meletakkan harapan bimbang ianya menjadi bebanan yang tidak tertanggung oleh mereka.
Cukup-cukuplah menyenaraikan susunan pengharapan kita yang tinggi menggunung yang kononnya untuk kebaikan mereka di masa hadapan.
Sesekali, bertanyalah minat mereka, biarpun tidak berkaitan dengan pelajaran.
Sesekali, belikanlah peralatan yang mereka sukai untuk mengembangkan potensi diri.
Mungkin buku origami, buku lukisan, buku cerita dan permainan tidak memberi makna kepada kita, namun ianya sangat membahagiakan mereka.
Biarpun nampak seolah tiada ‘market’ untuk masa depan, yang penting, rasa puas kerana minat mereka dihargai, suara hati mereka didengari.
Siapa lagi yang mereka harapkan untuk itu, andai bukan kita.
Hanya Allah matlamat hati ini.
Ummu Balqis.

Monday 2 July 2012





Mengisi Ruang Tanpa Rungutan


“Tak bagus la cikgu RE (Religious Education) tu, sepatutnya tadi ada subjek bincang tentang perbandingan Kristian, Buddha dan Islam, tapi dia skip tajuk tu.” Terdengar suara rungutan Angah ketika menyenduk lauk pauk ke dalam mangkuk hidangan.
“Along pun rasa sedih bila cikgu tak bincang topik tentang Islam dengan detail. Sepatutnya banyak lagi yang boleh belajar.” Celah Along pula sambil tangan rancak menyusun pinggan di atas meja.
Rungutan dan aduan yang kadang kala timbul tanda luahan tidak puas hati anak-anak saya apabila pulang dari sekolah. Terutama anakanda berdua ini, banyak persoalan yang bermain di fikiran yang menuntut pencerahan dari semasa ke semasa.
“Selalu ke cikgu buat macam tu?” Tanya saya.
“Tak la selalu, tapi kalau tentang Islam tu, dia ajar sikit-sikit je,” komen mereka lagi.
“Anak-anak, merungut tu bukan jawapan yang terbaik tau. Kena lebihkan berfikir, kenapa begitu keadaannya.” Saya memberi respon terbuka.
“Mama tak rasa sedih ke? Kita kan orang Islam, mesti la rasa sedih kalau cikgu buat macam tu.” Mereka pula yang mempersoalkan jawapan saya, mungkin mengharapkan rungutan tadi disokong sepenuhnya.
“Betul kita orang Islam, tetapi mereka tu bukan Islam. Jadi tak perlu kita harapkan lebih-lebih daripada mereka. Kalau ada perbincangan, itu bagus. Kalau dia skip tajuk tu, tanggungjawab kita la yang kena mendalaminya dan mencari jawapan mengenainya.” jawab saya cuba meredakan dilema di hati mereka.
Kedua-duanya memandang saya, riak wajah menandakan huraian saya kurang dipersetujui.
“Mudahnya Mama berfikir.” Agaknya itu bisikan hati mereka.
“Cuba anak-anak fikir, logik tak kalau mereka bincang sikit-sikit. Mereka bukan Islam, mungkin tahap pengetahuan  mereka lebih, tetapi mungkin pula tahap kepekaan mereka tak sama dengan kita. Mereka tahu tentang solat, puasa, haji tetapi mereka tidak mendirikan solat, tidak berpuasa dan tidak mengerjakan haji. Sedangkan yang mengaku Islam pun ramai yang kurang ilmu, tidak peka dan engkar, jadi tak perlu kita nak sedih dan merungut kalau orang bukan Islam buat macam tu. Yang penting,  tanggungjawab kita untuk mencari ilmu tu.” Ulas saya panjang lebar.
“Jadi, maksudnya, kita tak perlu komen la bila cikgu buat macam tu ye, Mama?” Along bertanya sebagai kesimpulan.
“Ya, selagimana mereka masih senyum, menyampaikan sekadar pengetahuan mereka, boleh dirujuk jika ada persoalan, bergaul dengan anak-anak dalam kelas dengan baik dan tak larang anak-anak melakukan amal-amal Islam. Selebihnya tu tanggungjawab anak-anak untuk menjadi contoh orang yang lebih baik dan berilmu. Ingat ye anak-anak, guru wajib kita hormati walau apapun agamanya. Merungut tidak menghasilkan apa-apa dan tanda putus asa, Allah tidak suka orang yang berputus asa dan berfikiran negatif dalam kehidupan.” Saya menutup kes yang diperbincangkan.
Jom anak-anak, kita sama-sama kurangkan rungutan dan isi ruang ilmu yang kosong.  


                                            ****************************************

Tidak dinafikan, suasana terbuka yang dialami oleh anak-anak saya dalam aspek pembelajaran dan pergaulan kadang-kadang menimbulkan dilema di dalam diri mereka.  Di kala semangat untuk mengetahui sesuatu dan beramal dengan lebih mendalam bersemarak, mereka menyamaratakan bahawa setiap yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu mesti memberi yang terbaik.
Bersihnya pandangan dan pemikiran anak-anak yang masih terpelihara daripada pencemaran buruk sangka, hasad dengki dan segala macam penyakit hati.
Pun begitu, saya bersyukur, keterbukaan mereka ini memberi ruang untuk saya menjernihkan apa-apa yang kusut di dalam fikiran mereka. Mengharapkan yang terbaik daripada insan lain adalah perkara yang mustahil, sebaliknya kitalah yang mesti memberikan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga kepada orang lain.
Memahamkan mereka tentang kehidupan dan sikap manusia, semestinya memakan masa, dan segalanya tidak mampu dihadam dengan kata-kata. Pengalaman adalah guru terbaik yang akan memberi pengajaran yang lebih bermakna. Tanggungjawab kita sebagai ibubapa ialah menyediakan mereka dengan pelbagai jenis senjata berupa ilmu dan hikmah sebagai bekal di dalam perjalanan yang panjang dan berliku nanti.
Walaupun setiap tutur kata berupa nasihat dan hikmah kita dinanti, jangan pula lupa, bahawa tingkah laku adalah nilaian paling tepat terhadap apa yang lahir daripada lidah.
Buang jauh-jauh rasa hebat dalam diri, kerana itu akan memendekkan langkah kita untuk menjadi orang yang benar-benar hebat di sisi Allah swt.
Semoga setiap langkah yang diatur, tidak menyimpang daripada jalanNya yang lurus.

Hanya Allah matlamat hati ini.
Ummu Balqis.






Wednesday 13 June 2012


Ketetapan Iman vs Perubahan Zaman


“Mama.. jom la kita pergi kat London Dungeon tu... best tau..” pujuk  Angah dan Along, sekaligus meminta izin.

Melalui kawasan tersebut ketika mengiringi Tok dan Wan melawat kota London cuti persekolahan April lalu menyebabkan keinginan yang terpendam dan suram sebelumnya kembali cerah.

Isyarat tanda ‘tidak’ telah diberikan oleh Baba sebelum itu. Namun, dek kuatnya keinginan dan rasa ingin tau, dipujuknya pula saya.

“Hm.. kalau dah Baba bagi jawapan tak boleh, agak-agak, apa ye jawapan Mama?” Tanya saya pula.

“Alaa... tak boleh la tu.”Angah cepat menjawab. Diiringi wajah yang kelat-kelat masam.

Along pun sama. Ada riak kecewa yang agak dalam.

“Apa yang anak-anak seronok nak tengok sangat kat situ?” Tanya saya mengalihkan topik persoalan, sekadar menghilangkan rasa sebal kerana permintaan tidak diluluskan.

“Macam-macam ada Mama. Best... Scary....Tengok la ni..” ulas Along cepat sambil mengunjukkan pamphlet yang dipegangnya sejak semalam.

Saya meneliti pamphlet yang diberi. Memang banyak unsur seram yang menyeronokkan jiwa yang sukakan cabaran dan dahagakan pengisian.

“Ni.. kalau dah scary, mesti ada unsur hantu. Hantu tu, adik beradik syaitan la... Kalau nak tengok tu, tak payah pergi kat situ, bersama kita pun ada syaitan tau...” jawab saya sambil tersenyum, menyebabkan mereka separuh menjerit kerana terkejut.

“Mama ni... jangan la cakap macam tu..”

“La.. baru sebut dah takut, belum pergi lagi tu...” Saya dan suami ketawa melihat gelagat mereka.

“Kalau dengan pergi ke satu-satu tempat tu, anak-anak jadi orang yang lebih baik, lebih ingat Allah, lebih berani, kuat, memang Mama takkan halang. Ini, tengok kat televisyen pun menyorok, apa lagi kalau dah secara 'live'. Nanti akhirnya, nak ke mana-mana berteman, nak masuk tandas pun tak berani.”Tambah saya lagi.

“Anak-anak nak tahu, hantu, syaitan atau jin, Allah dah hijab, tak bagi kita nampak. Hari tu Mama dah cerita, kan, syaitan ada bersama dalam aliran darah kita. Jadi tak perlu la kita nak pergi cari lagi. Nanti kalau dah nampak, susah tau...”

“Ingat ye anak-anak, apa yang baik dan Allah suka daripada manapun datangnya, kita boleh ambil dan ikut jika bermanafaat, kalau tidak, kita tinggalkan...” pesanan terakhir saya sebagai penutup untuk sesi pujukan tersebut.

Cabaran berada di sini, berhadapan dengan berbagai tarikan untuk anak-anak yang memerlukan masa untuk menyedari hakikat kebenarannya.

Semoga anak-anak Mama memahaminya, mungkin tidak sepenuhnya hari ini, insya Allah setelah usia kalian lebih matang untuk menilai dan memilih antara yang haq dan batil.

Jiwa Remaja

Gelodak hati remaja yang sentiasa ibubapa manapun berusaha untuk memahaminya.

Saya maklum, di tanahair juga, keghairahan membuat cerita atau filem berunsur tahyul, mistik dan menyeramkan begini sangat popular. Belum sempat lagi saya mengkaji, apa yang menyebabkan merebaknya situasi ini.

Namun apa yang pasti, kecenderungan membuat dan menonton cerita dan filem sebegini lebih ketara di kalangan kelompok umat Islam sendiri. Seolah-olah tiada lagi buah fikiran dan idea yang lebih menarik dan cerdik untuk disajikan kepada masyarakat.

Yang pasti juga hasilnya, hanya memberi keuntungan kepada pengeluar, sedangkan di pihak penonton ianya langsung tidak memberi sebarang manafaat, malah sangat berpotensi melahirkan Muslim yang sudahlah kurang berilmu, cintakan hiburan melampau, ditambah lagi jiwa-jiwa yang lemah dan pengecut menghadapi kerenah hidup yang pelbagai ragam.

Memang, lain sungguh dengan zaman saya dahulu. Kadang-kadang pening juga memikirkan cara menangani anak-anak di usia begini. Melarang tanpa sebarang perbincangan seolah membunuh rasa ingin tahu mereka.

Ditambah dengan sikap mereka yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru.

Seboleh-bolehnya saya berusaha agar, setiap yang boleh dan tidak, semuanya bersebab. Dan setiap sebab itu adalah berdasarkan iman kepada Allah swt. Tidak mahu juga mereka beranggapan, di zaman serba canggih ini, Islam dipandang berat dan menyusahkan, menyukarkan dan menghalang naluri ingin tahu jiwa remaja mereka.

Sedangkan andai satu pintu ditutup, banyak lagi ruang lain yang Allah buka untuk kita menerokainya. Seboleh mungkin, dengan kemampuan yang terbatas ini, saya cuba meluaskan yang dibolehkan, dengan menzahirkan sebab dan akibat atas setiap larangan.

Perbezaan zaman antara kita dan mereka, menyebabkan semua perkara tidak boleh diukur secara pukul rata.

“Tak boleh begitu, sebab Mama dan Baba dulu tak ada pun macam tu.”

“Tak boleh buat ini sebab Mama dan Baba dulu tak pernah buat macam ni.”

Ketetapan Iman vs Perubahan Zaman




Akur dengan perubahan zaman, namun ianya perlu diselarikan dengan keimanan. Sentiasa berkira-kira dan bertimbal balik kesan membenarkan atau melarang sesuatu perkara dalam jangka masa pendek dan juga 10 atau 20 tahun yang mendatang selagi hayat dikandung badan.

Membenarkan sesuatu perkara dengan pemantauan berkala, memberi ruang untuk mereka merasa hak sebagai individu untuk memilih dan membuat keputusan. Manakala setiap larangan semampunya diiringi dengan penjelasan yang bersesuaian dengan tahap akal dan pemikiran mereka.

Dalam masa yang sama, sebagai ibubapa, saya juga mengingatkan diri dan terpaksa akur, bahawa pada setiap peringkat usia akan dilalui dengan tahap pemikiran, penguasaan diri dan kehendak yang berbeza.

Bertahap dan berubah dari semasa ke semasa.

Jiwa ibubapa semestinya tidak sama dengan jiwa anak remaja. Sebagaimana berbezanya sikap dan pandangan kita di zaman kanak-kanak, remaja dan di usia semakin dewasa. Sudut pandang yang berbeza yang pastinya melahirkan keinginan yang berbeza.

Jangan disebabkan ghairah menginginkan anak menjadi seorang yang terdidik iman dan akhlak, kita mengaturkan segalanya tanpa memberi ruang untuk mereka bersuara. Semuanya mengikut telunjuk ibubapa.

Dalam banyak keadaan, perlu untuk kita memberi ruang mereka berfikir, meluahkan rasa, menganalisis dan membuat keputusan. Mungkin yang remeh di mata kita, rupanya besar dan menjadi beban untuk mereka.

Apa yang penting, kita memberi bekalan iman untuk mereka bawa di sepanjang kehidupan. Kerana mereka adalah amanah besar Ilahi yang seandainya tidak dibentuk dan dicanai sebaik mungkin, rosaknya sangat sukar diperbaiki.

Teringat pertanyaan seorang kawan, Barbara, berbangsa Hungary, berfahaman atheis yang cuba saya dekati, menyebabkan saya terdiam beberapa ketika untuk memberi jawapan,

“An, what will you do if one day, your daughter doesn’t want to wear headscarft anymore? Or, are you allow her if she wants to marry a man that has a different beliefs with you?”

Pertanyaan yang membuka mata, betapa kita hanya berusaha menyediakan dan memberi yang terbaik, namun hakikat yang memelihara segalanya adalah Allah swt.

Dialah yang menggerakkan hati untuk memahami dan menerima iman, menetapkannya di jalan kebenaran dan seterusnya menjadikan jasad ringan untuk melakukan amalan ke arah mentaatiNya.

Ayuh.... marilah bersama...

Kita semarakkan jiwa remaja anak-anak kita dengan iman, ilmu dan kesedaran bahawa taklifan bermula apabila usia baligh bermula.

Kita tiupkan dijiwa mereka, bahawa Rasulullah memikul tanggungjawab mengembala kambing ketika di usia remaja.

Kita khabarkan kepada anak remaja kita bahawa sahabat Rasullah saw menjadi ketua panglima perang di usianya yang masih remaja.

Kita nyalakan semangat dalam jiwa mereka, betapa ramai yang syahid membela tanahair mereka di usia yang sangat remaja.

Kita serlahkan kepada mereka, jenis remaja yang akan mendapat payung rahmat dan kasih Allah di hari yang akan menggembirakan bagi golongan yang yakin dengan janji Tuhannya.

Sesungguhnya dunia Islam rindukan pemuda yang kental iman dan semangat juang, bukan remaja yang lemah dan rosak jiwanya.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis

Wednesday 2 May 2012

Buanglah mazmumah itu

“Kok ustaz yang mencuci tandas surau?” Tanya bibik Aton kepada saya dengan nada terkejut.

Ditangannya masih ada cangkul dan kesan-kesan tanah. Baru habis berkebun, menanam pokok pisang, jagung dan kacang di seberang jalan sana.

“Hm.... malam nanti ada majlis di surau. Petang tadi kan ada kelas agama anak-anak, kenalah bersihkan sikit tempat tu. Kenapa Bibik?” Tanya saya kembali.

Jarak rumah saya dengan surau hanya beberapa meter sahaja. Nun di seberang jalan. Dari pintu rumah kelihatan suami saya membersihkan surau dengan beberapa orang ahli jamaah surau yang lain.

Sudah empat tahun Bibik Aton bersama kami sekeluarga. Berusia awal 40an, orangnya penyayang dan beragama. Berasal dari Semarang, tempat kelahiran ramai ulama besar di Tanah Jawa.

“Kalau di kampung saya, ustaz-ustaznya hanya duduk mengajar saja. Tidak ada yang pegang penyapu, atau basuh-basuh bilik air.” Cerita Bibik lagi.

“Oh..Macam tu. Ehm.. Semuanya sama Bibik. Tak menjadi kesalahan pun kalau ustaz-ustaz buat kerja tu. Saya lagi suka kalau ustaz ringan tulang buat kerja-kerja macam tu.” Jelas saya sambil tersenyum melihat wajahnya yang masih ‘tidak menerima’ keadaan sebegitu.

Aktiviti bergotong royong sudah menjadi amalan di kalangan ahli jamaah surau di tempat saya. Samada gotong-royong membersihkan surah dan halaman, hinggalah urusan masak-memasak apabila ada majlis-majlis ilmu dan keraian.

Bukanlah acara ‘makan-makan’ yang menjadi keutamaan,apa yang lebih penting jalinan ukhuwah yang terbina apabila ada ruang untuk bertemu mata dan bekerja bersama-sama.

Maklumlah, masing-masing sentiasa sibuk dengan berbagai urusan yang tidak pernah selesai.

Urusan kerja. Perniagaan. Anak-anak. Dan macam-macam lagi yang tidak pernah berkesudahan.

Ruang yang sedikit inilah yang mesti disuburkan.

Inilah masanya




Memupuk kepedulian di dalam masyarakat yang semakin jauh melencong ke arah yang memberi bahaya kepada akal yang sejahtera. Inilah masanya untuk bertanya khabar dan beramah mesra. Meruntuhkan tembok prasangka dan segala rasa yang tidak serasi di hati.

Semua kita adalah daie.

Ruang seorang daie tidak boleh dibataskan pada urusan yang tertentu.

Bukan hanya dalam ceramah dan usrah semata.

Atau ketika berseminar atau hari keluarga.

Bukan menunggu dijemput atau dihampar dengan permaidani indah.

Dirai dan dijamu sepanjang masa.

Inilah masanya untuk kita bergabung sebagai ahli di dalam masyarakat.Supaya mudah untuk kita meninjau dan merawat permasalahan yang ada.

Kita adalah sebahagian daripada mereka.

Bergabunglah dalam mencari keserasian bersama masyarakat.

Agar kita menyelami persekitaran dan mampu memahami situasi dengan pemerhatian.

Agar lebih mudah untuk mereka menghayati apa yang disalurkan ke dalam hati.

Agar kita mampu menjadi qudwah yang realistik dalam kehidupan realiti ini.

Agar Islam nampak indah seperti yang sepatutnya.

Tidakkah kita mahu menghayati perjalanan Rasulullah saw Kekasih Yang Maha Agung. Adakah sepanjang usia dakwah Baginda dirai dan dimuliakan manusia sentiasa?

Tidak!

Baginda dibaling batu hingga mengalir darah membasahi wajahnya yang mulia.

Baginda dihalang laluan dengan duri yang tajam dan bisa.

Baginda dilontar najis ketika sujud kepada Penciptanya.

Baginda bergabung bersama para sahabat, saling membahu, menerima pandangan di dalam perbincangan.

Baginda bermanis muka. Wajahnya menggembirakan sesiapa yang memandangnya.

Buanglah mazmumah itu...

Dengan melakukan sesuatu yang bisikan hati mengatakan kita tidak layak untuk itu...

Sekali sekala, menerima pendapat orang yang disangka kurang hebat.

Sekali sekala, memaksa diri membersihkan tandas.

Sekali sekala, ringankan tangan membuang sampah.

Sekali sekala, maniskan wajah pada yang lebih muda.

Sekali sekala, menghulurkan bantuan tanpa dipinta.

Mulakanlah. Tiada kehinaan bagi seorang mukmin yang merendahkan dirinya sesama manusia.

Kerana daie itu insan hebat yang mewarisi Risalah Ilahi peninggalan Rasulullah yang hebat.

Yakinlah, pada setiap detik nafas ini, tercatat di dalamnya setiap amalan yang akan menjadi bukti sepanjang perjalanan.

Walau ia sebesar zarah.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis


Monday 30 April 2012

Bisikkan padaNya....




Simpanlah ia kejap di hati..

Walau apapun ciri yang kau hajati..

Yang kukuh iman, sopan dan merendah diri

Atau penyayang dan pandai berkongsi

Bisikkan segalanya kepada Yang Maha Mengetahui

Jangan ditabur segalanya di muka buku...

Walau kelihatan sekadar perkongsian

Kerana itu gambaran siapa gerangan dirimu....

Adakah murah, mudah diteka oleh siapa sahaja

Atau begitu berharga, hingga menjadi rahsia

Antara dirimu dengan Dia Yang Maha Esa...


Sungguh... anakku...

Jangan begitu murah engkau berkongsi..

Walau sekadar cebisan luahan ikhlas isi hati

Kerana itu hiasan syaitan yang pintar menipu

Membenarkan apa sahaja difikiranmu....

Mengiakan harapan dilubuk hatimu

Agar terhakis rasa malu..

Secebis demi secebis

Sehiris demi sehiris

Hingga akhirnya, segalanya tersingkap

Tanpa hijab...

Ketika itu..

Hilanglah harga dirimu,

Tatkala itu....

Ketawa bahagialah syaitan dan segala kuncunya...

Bahawa padamu sudah terungkai segalanya...

Hilang... ditelan rakus jahiliah moden...

Dengan alasan...

Yang dinamakan kemajuan...


Ayuh anakku....

Gempur syahwat yang beraja dihati....

Buktikan..

Bahawa kalian adalah mawar berduri...

Yang tahu harga diri....

Demi mencari sekelumit kasih Ilahi

Dalam perjalanan menuju redhaNya yang abadi...


Salam sayang

Hanya Allah matlamat hati ini

Ummu Balqis

Sunday 22 April 2012

Jom anak-anak


“Silapkah cara aku dalam menyalurkan ilmu kepada anak-anak?” hati saya tiba-tiba terasak dengan persoalan yang ditanya oleh anak kedua saya tadi.

Ada timbul sedikit perasaan malu pada diri sendiri tatkala menerima lontaran persoalan anak-anak.

“Mama, apa ye teori big bang dalam Islam?” Angah Sarah bertanya. Persoalan yang timbul hasil pertanyaan dan perbincangan dengan kawannya di sekolah

“Betul ke Kiamat tahun depan, Mama? Along tengok internet, ramai orang post tentang tanda-tanda kiamat semakin banyak.

“Apa beza binatang yang disembelih dengan yang tak disembelih?” soal Along pula.

Banyak lagi persoalan yang sentiasa mewarnai hari anak-anak, di celahan ruang interaksi antara kami.

Bila ruang bertanya dibuka. Maka ruang berfikir semakin melebar.

Pertanyaan yang bukan sekadar menginginkan jawapan ya atau tidak, betul atau salah, halal atau haram.

Pertanyaan yang tidak boleh dihentikan dengan jawapan, “nanti dah besar, taulah jawapannya...”

Pertanyaan yang tidak boleh dimatikan dengan jawapan, "jangan fikir yang bukan-bukan."

Bahkan persoalan yang menuntut keyakinan dan kefahaman orang yang ditanya terlebih dahulu, sebelum memberi huraian dengan kadar kemampuan yang diterima akal anak-anak yang sedang berkembang.

Begitu juga ruang berbincang merentasi pelbagai tajuk.

Ditambah dengan suasana persekitaran di sekolah yang sentiasa meraikan
pertanyaan dan perbezaan pendapat dengan penuh semangat dan ilmiah.

Macam mama

Setiap kali anak-anak bertanya, fikiran saya cepat melayang mengingati sikap saya dulu-dulu.

Juga suka bertanya, namun hampir semua jawapan yang saya inginkan, diperolehi dengan pencarian sendiri.

Sukar mencari orang yang sudi melayan kerenah saya waktu itu. Yalah.. banyak persoalan yang bukan-bukan. Itu agaknya tanggapan orang yang ditanya.

Teringat ketika di tingkatan satu, ketika Ustaz mengajar tentang Isra' Mi'raj, dikisahkan tentang perjalanan Rasulullah saw hingga kepada pertemuan Baginda saw dengan Kekasihnya, Allah Rabbul Jalil tanpa hijab.

Fikiran singkat saya yang baru berusia 13 tahun menyoal, "Ustaz, kalau Nabi Muhammad dah jumpa, mesti boleh bayangkan ustaz, Allah tu macamana. Lepas tu, mesti la boleh gambarkan Allah tu macamana."

Tersentak Ustaz yang sedang baru selesai memberi penerangan.

Tak sangka agaknya pertanyaan saya yang spontan.

"Dah.. dah.. tak payah fikir jauh-jauh, memang tak boleh, tak boleh la." Balas Ustaz cepat-cepat.

Agaknya bimbang, banyak lagi pertanyaan saya yang tak masuk akal yang sukar dijelaskan.

Jom anak-anak



Jujurnya, saya bersyukur anak-anak meluahkan rasa ingin tahu mereka dengan tulus.

Walaupun sebenarnya, kadangkala saya sendiri terkedu memikirkan jawapan ilmiah yang perlu disediakan.

Sebenarnya juga, ada di antara persoalan yang anak-anak ajukan, saya sendiri tidak terfikir untuk mendalaminya secara ilmiah.

Saya akur. Banyak yang saya perlu belajar. Bukan sekadar tahu untuk diri sendiri. Perlu juga diteliti jawapan yang tidak mengkusutkan rasa ingin
tahu yang meruap.

Jom anak-anak, sama-sama kita menyelongkar khazanah ilmu yang tidak bertepi ini.

Mama bukan serba tahu, mama cuma mampu menjadi perantara untuk anak-anak menyalurkan rasa ingin tahu kepada cara yang betul agar tidak tergelincir dengan permainan dan rasa hebat secebis kurniaan akal yang Allah beri.

Setiap persoalan anak-anak, bukan sahaja membuka ruang ingin tahu anak-anak, juga menggerakkan rasa ingin meluaskan ruang faham yang ada pada Mama.

Kita cari sama-sama jawapannya dalam ruang lingkup kajian akal manusia.

Kita cari sama-sama juga jawapannya dengan sandaran khazanah yang dibekalkan oleh Rasulullah SAW, iaitu, al-Quran yang melaut tak terhitung ilmu di dalamnya, juga al-Hadis yang menyokong sebagai panduan hidup kita yang sementara.

Panduan yang mensejahterakan akal dan mententeramkan jiwa.

Panduan yang selari dengan fitrah asal kejadian manusia.

Supaya terhapus rasa ujub dan kagum pada diri. Lantas timbul rasa rendah dan tunduk pada kebesaran Ilahi.

Allahu Akbar.


Hanya Allah matlamat hati kita.

Ummu Balqis