Wednesday 2 May 2012

Buanglah mazmumah itu

“Kok ustaz yang mencuci tandas surau?” Tanya bibik Aton kepada saya dengan nada terkejut.

Ditangannya masih ada cangkul dan kesan-kesan tanah. Baru habis berkebun, menanam pokok pisang, jagung dan kacang di seberang jalan sana.

“Hm.... malam nanti ada majlis di surau. Petang tadi kan ada kelas agama anak-anak, kenalah bersihkan sikit tempat tu. Kenapa Bibik?” Tanya saya kembali.

Jarak rumah saya dengan surau hanya beberapa meter sahaja. Nun di seberang jalan. Dari pintu rumah kelihatan suami saya membersihkan surau dengan beberapa orang ahli jamaah surau yang lain.

Sudah empat tahun Bibik Aton bersama kami sekeluarga. Berusia awal 40an, orangnya penyayang dan beragama. Berasal dari Semarang, tempat kelahiran ramai ulama besar di Tanah Jawa.

“Kalau di kampung saya, ustaz-ustaznya hanya duduk mengajar saja. Tidak ada yang pegang penyapu, atau basuh-basuh bilik air.” Cerita Bibik lagi.

“Oh..Macam tu. Ehm.. Semuanya sama Bibik. Tak menjadi kesalahan pun kalau ustaz-ustaz buat kerja tu. Saya lagi suka kalau ustaz ringan tulang buat kerja-kerja macam tu.” Jelas saya sambil tersenyum melihat wajahnya yang masih ‘tidak menerima’ keadaan sebegitu.

Aktiviti bergotong royong sudah menjadi amalan di kalangan ahli jamaah surau di tempat saya. Samada gotong-royong membersihkan surah dan halaman, hinggalah urusan masak-memasak apabila ada majlis-majlis ilmu dan keraian.

Bukanlah acara ‘makan-makan’ yang menjadi keutamaan,apa yang lebih penting jalinan ukhuwah yang terbina apabila ada ruang untuk bertemu mata dan bekerja bersama-sama.

Maklumlah, masing-masing sentiasa sibuk dengan berbagai urusan yang tidak pernah selesai.

Urusan kerja. Perniagaan. Anak-anak. Dan macam-macam lagi yang tidak pernah berkesudahan.

Ruang yang sedikit inilah yang mesti disuburkan.

Inilah masanya




Memupuk kepedulian di dalam masyarakat yang semakin jauh melencong ke arah yang memberi bahaya kepada akal yang sejahtera. Inilah masanya untuk bertanya khabar dan beramah mesra. Meruntuhkan tembok prasangka dan segala rasa yang tidak serasi di hati.

Semua kita adalah daie.

Ruang seorang daie tidak boleh dibataskan pada urusan yang tertentu.

Bukan hanya dalam ceramah dan usrah semata.

Atau ketika berseminar atau hari keluarga.

Bukan menunggu dijemput atau dihampar dengan permaidani indah.

Dirai dan dijamu sepanjang masa.

Inilah masanya untuk kita bergabung sebagai ahli di dalam masyarakat.Supaya mudah untuk kita meninjau dan merawat permasalahan yang ada.

Kita adalah sebahagian daripada mereka.

Bergabunglah dalam mencari keserasian bersama masyarakat.

Agar kita menyelami persekitaran dan mampu memahami situasi dengan pemerhatian.

Agar lebih mudah untuk mereka menghayati apa yang disalurkan ke dalam hati.

Agar kita mampu menjadi qudwah yang realistik dalam kehidupan realiti ini.

Agar Islam nampak indah seperti yang sepatutnya.

Tidakkah kita mahu menghayati perjalanan Rasulullah saw Kekasih Yang Maha Agung. Adakah sepanjang usia dakwah Baginda dirai dan dimuliakan manusia sentiasa?

Tidak!

Baginda dibaling batu hingga mengalir darah membasahi wajahnya yang mulia.

Baginda dihalang laluan dengan duri yang tajam dan bisa.

Baginda dilontar najis ketika sujud kepada Penciptanya.

Baginda bergabung bersama para sahabat, saling membahu, menerima pandangan di dalam perbincangan.

Baginda bermanis muka. Wajahnya menggembirakan sesiapa yang memandangnya.

Buanglah mazmumah itu...

Dengan melakukan sesuatu yang bisikan hati mengatakan kita tidak layak untuk itu...

Sekali sekala, menerima pendapat orang yang disangka kurang hebat.

Sekali sekala, memaksa diri membersihkan tandas.

Sekali sekala, ringankan tangan membuang sampah.

Sekali sekala, maniskan wajah pada yang lebih muda.

Sekali sekala, menghulurkan bantuan tanpa dipinta.

Mulakanlah. Tiada kehinaan bagi seorang mukmin yang merendahkan dirinya sesama manusia.

Kerana daie itu insan hebat yang mewarisi Risalah Ilahi peninggalan Rasulullah yang hebat.

Yakinlah, pada setiap detik nafas ini, tercatat di dalamnya setiap amalan yang akan menjadi bukti sepanjang perjalanan.

Walau ia sebesar zarah.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis


No comments:

Post a Comment