Wednesday 29 December 2010

PMS 2010


Mengikuti program Perhimpunan Musim Sejuk 2010 yang pertama setelah setahun di sini memberi pengalaman yang berbeza. Dengan tempoh perjalanan yang memakan masa hampir 5 jam, dan akan berada di sana selama 4 hari, banyak jugalah persiapan yang perlu dibuat. Bermula 24 Disember hingga 27 Disember 2010, pengisian yang disediakan bersesuaian mengisi setiap jiwa yang inginkan kekuatan dalaman yang berpanjangan.

Bertolak awal pagi Jumaat dengan suhu -13 darjah, perjalanan ke Sheffield penuh hati-hati kerana ketebalan salji yang turun 3 hari sebelumnya masih belum reda. Selesai pendaftaran, anak-anak yang paling seronok kerana aktiviti khas untuk mereka telah tersedia. Semua boleh mengambil bahagian, termasuklah Nada, puteri paling kecil. Semua yang hadir mengikuti slot yang dirancang dengan baik dan jayanya hingga ke acara penutup.

Tiada perkara yang amat membahagiakan, melainkan dengan pertemuan yang diizinkan oleh Allah SWT. Terikatlah tali ukhuwwah semata-mata mengharapkan keredhaanNya. Terharu melihat kesungguhan adik-adik yang hadir, datang dari jauh dan dekat, mengharungi pelbagai bentuk ujian, terutama dalam cuaca yang sangat sejuk ini. Tergambar semangat untuk menyerapkan ruh Islami ke dalam diri, walau dilingkungi suasana persekitaran yang sangat mencabar. Menyediakan diri untuk meneguk titisan ilmu buat bekalan dalam perjalanan.

Begitu juga dengan anak-anak, terpancar kepuasan dalam diri masing-masing. Bukan hanya mengikuti program yang disusun, anak-anak juga belajar menyesuaikan diri dengan menerima kawan-kawan baru. Dengan aktiviti pengisian ilmu, minda dan pelbagai bentuk permainan yang menyeronokkan, semuanya bersemangat untuk mengikuti program seterusnya… Kemuncaknya adalah persembahan anak-anak pada malam terakhir, iaitu bacaan surah-surah al-Quran, nasyid, drama pendek, ucapan dan bercerita. Syabas buat anak-anak mama yang memberanikan diri mengambil bahagian. Moga pengalaman baru ini menyuntik semangat anak-anak untuk memahami erti tarbiyah.

Tahniah kepada pihak yang bertungkus lumus daripada persediaan awal hinggal ke akhir program. Semoga pengorbanan tenaga, masa dan segalanya diganjari dengan pahala yang berterusan oleh Allah SWT. Semoga keikhlasan yang menjadi tunggak segala usaha akan sentiasa menjadi teras dalam setiap gerak kerja.


Hanya Allah Matlamat Hati Ini.
Ummu Balqis.

Tuesday 28 December 2010

Ingatkah kita … atau ...

“Mama, boleh tak kalau lepas mati, kita nak hidup balik sekejap nak tambah apa-apa perkara baik yang tak cukup sebelum kita mati.?” Tanya Wardah, puteri ketiga saya semasa sesi tazkirah santai bersama anak-anak selepas solat maghrib.

Tajuk perbincangan yang terpilih tanpa dirancang apabila anak-anak menyebut dan mengingat insan-insan tersayang yang meninggalkan kami satu persatu sepanjang tempoh lima tahun terakhir ini.

Terdiam seketika, sambil memikirkan bahasa yang terbaik yang mudah difahami oleh anak-anak.

Masya Allah...Lupakah kita?

Tentang hakikat alam selepas berlakunya kematian.

Benarlah manusia itu sentiasa dalam keadaan lupa. Benarlah perutusan Baginda Ar-Rasul Sallallahu ‘Alai wa Sallam adalah untuk memberi peringatan buat manusia yang selalu lupa. Betapa tebalnya kegerunan mengingati hakikat kematian, namun kegerunan itu semakin malap dan pudar dengan segala perlakuan yang semakin jauh daripada hakikat mentaati Ilahi.

Malap dengan kesibukan yang tiada hujungnya…

Seolah-olah ada perjanjian dengan kematian. Bahawa ianya tidak akan hadir ketika ini.

Allahu Allah…

Firman Allah SWT :
“(Maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui ( hakikat ini tentu kamu segera beriman). (Nuh:4)Lupa agaknya kita..

Lupakah kita juga...

Bahawa tiada peraturan kematian untuk kita.

Bahawa tiada perjanjian, kematian akan mendatangi kita hanya apabila kita bersedia menghadapinya.

Bahawa selepas ini kita akan berada di alam barzakh sehingga berlakunya kiamat.

Firman Allah SWT:
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia; Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku ( hidup semula di dunia) – Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahak yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). (al-Mukminun:99-100)Alam Barzakh

Maha Berkuasa Allah, tiada seorangpun yang terlepas melalui alam ini walau bagaimanapun keadaan jasadnya. Semuanya akan melalui seperti yang dilalui oleh mereka yang dikebumikan di dalam kubur. Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala ehwal kubur, walaupun jasad mereka berkecai dalam bentuk debu sekalipun.

Firman Allah SWT :
“Binasalah hendaknya mereka(yang engkar) itu, betapa besar kekufurannya? (Tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? – Dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan tanggungjawab; Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang dia pilih); Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya dia dikuburkan; Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula). (Abasa:17-22)

Berbezanya hakikat kehidupan di alam barzakh dengan kehidupan kita di saat ini. Ianya hakikat yang di luar kemampuan akal manusia untuk memahami dan membayangkannya. Justeru adanya penghadang antara dua alam tersebut, alam dunia dan alam barzakh.

Itulah kematian.

Sebagaimana terhadangnya kehidupan alam rahim seorang bayi dengan alam dunia, yang ditembusi dengan satu kelahiran.

Namun begitu, sebagaimana berimannya kita dengan perutusan Baginda Rasulullah SAW sebagai Rasul terakhir. Begitulah berimannya kita dengan segala berita yang dibawa oleh Baginda SAW.

Sebagaimana kita membenarkan segala ajaran yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW, begitulah kita membenarkan segala yang disampaikan oleh Baginda SAW.

Sebagaimana berimannya para sahabat dan generasi yang terdahulu terhadap Baginda SAW. Semoga begitulah kita mengimani dan meyakininya….Insya Allah..

Sucikanlah hatimu....

Bukan mudah mengikat diri dengan hakikat alam yang tidak nyata ini. Kekuatan dalam diri perlu dibina, dan seterusnya dibaja, agar kesedaran dan ingatan mengenainya akan sentiasa subur. Dengan itu, hati akan sentiasa berwaspada terhadap semua arus yang mendatang bersimpang siur.

Bajailah kekuatan yang Allah telah sediakan untuk kita semaksima mungkin, justeru kita adalah makhluk terpilih, yang diberi anugerah memakmurkan dunia dengan peranan khalifah, yang pada masa yang sama mengikat diri sebagai hamba kepada Khaliqnya yang Maha Bijaksana.

Hanya Allah Matlamat Hati Ini.

Ummu Balqis.

Thursday 18 November 2010

Selamat Hari Lahir Buat Puteri-puteri Mama

Sekembali dari tanahair, diri ini masih tercari-cari sekelumit semangat untuk mencoretkan sesuatu dengan penuh makna. Fikiran masih belum fokus untuk mencatat sesuatu dengan bermakna, kosong dan berat.. sehinggalah berlalunya beberapa perkara penting yang ditunggu…



Selamat Ulangtahun Kelahiran ke 10 puteri mama.. Nik Wardah Afifah bt Abdul Aziz. 27 September 2010 tarikh yang kak lang tunggu-tunggu.. sama dengan waktu ketibaan mama kembali dari tanahair.. setelah meninggalkan anak-anak selama 8 hari,. Waktu itu, dengan keletihan dan kesedihan yang masih diruang mata dengan peristiwa pemergian Ayah Ngah yang dikasihi.., mama mampu menghulurkan kad untuk puteri mama, kita raikan seadanya seperti biasa, tapi penuh makna. Namun tiada kesempatan waktu untuk mama mencoretkan sesuatu di dalam blog ini.. Namun senyuman dan keceriaan kak lang menjadi pengubat duka di hati mama …



Selamat Ulangtahun Kelahiran ke 8 juga buat puteri mama.. Nik Najwa Alifah bt Abdul Aziz. Tak jauh senggangnya dengan kak lang.. hari lahir Wawa pula menyusul… tanggal 6 Oktober 2010.. Anak mama yang sentiasa “cool”, sabar dengan telatah adik yang suka menyakat.. kan wawa..? Syukur mama panjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaanNya yang berharga ini.









Beberapa hari yang lalu pula.. 15 November 2010, genaplah usia puteri sulong mama, Nik Balqis Athirah bt Abdul Aziz beranjak ke angka 13. Usia remaja yang sentiasa dicanang-canang. Moga anak mama memahami maksudnya dengan pandangan yang sebenar..

Walau apapun cerita.. telatah anak-anak sentiasa memberi berbagai macam warna dalam hidup mama. Dalam mendidik anak-anak, sebenarnya mendidik juga mama untuk sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu dan kesabaran. Ya.. kalau anak-anak nak tau, mama juga banyak belajar dari anak-anak mama ini.. Along.. sentiasa cekap membantu mama, samada di dapur ataupun menguruskan adik-adik. Kak Lang..sentiasa riang dan ceria, cergas membantu apa sahaja. Wawa pula, tenang dan rajin membaca… Sesungguhnya.. mama bahagia dan bangga dengan kalian.

Salam kasih dari mama untuk puteri-puteri mama yang disayangi. Semoga perjalanan sepanjang laluan hidup kita, kini dan selamanya, akan sentiasa dipayungi rahmat Allah Yang Maha Luas KasihNya. Semoga Allah meletakkan kita bersama hamba-hambaNya yang terpilih hingga ke saat kita bertemu denganNya kelak. Amin Ya Rabbal ‘Alamiin.

Hanya Allah Matlamat Hati Ini.

Ummu Balqis.

Friday 1 October 2010

Coretan rindu buatmu adindaku….Engku Mohd Azri yang kembali ke pangkuan Ilahi pada 20 September 2010

Perjalanan selama hampir 20 jam terlalu lama rasanya dalam debaran hati yang penuh bimbang dan harap… mengharapkan belasMu Ya Allah..agar dipertemukan aku dengan insan yang sangat dikasihi ini. Selama itulah.. terimbau kembali segala peristiwa, kenangan dan dialog bersamanya.. seawal usia mengenal dunia… ye lah, beza kita cuma 14 bulan.. dari dulu kita sentiasa bersama… Sama-sama bermain, sama-sama ke sekolah, sama-sama nakal, sama-sama dimarahi che dan abah, sama-sama memahami ilmu… dan sama-sama juga mengharungi suka duka hidup mencari rezeki dan berkeluarga di rantau orang… anak-anak kita juga..membesar bersama…

Oh..banyaknya kenangan yang tidak terucap… semuanya tercatat dalam diari kehidupan kita… kasih yang berterusan bersama darah yang mengalir… Terasa benar kerdilnya diri..siapalah kita untuk menidakkan qada’Nya… siapalah kita untuk menahan qadar yang telah ditetapkanNya….

Tepat jam 6.50 petang, kapalterbang Airasia mendarat di Lapangan terbang Kuala Terengganu, ditunggu oleh ahli keluarga, terus aku bergegas ke ICU Hospital Kuala Terengganu… Masya Allah… tidak terucap perasaan.. bercampur baur.. melihat jasadmu tidak bermaya, namun terpancar seri yang entah dari mana…. Tenang disamping pelbagai mesin yang ada…

Sungguh… tidak pernah aku melihatmu begitu… seorang yang terkenal lincah dan lasak sedari kecil… sakit macamanapun.. tidak pernah terbaring di katil.. paling tidak.. mesti bercakap.. mengingatkanmu.. membuatkan aku, malah sesiapa saja tersenyum sendiri. Hadirmu sering diiring tawa dan gurauan mesra…. Mengikat kasih yang telah sedia ada… Katamu susah menggamit duka… Sentiasa bersemangat, walau apapun cerita yang dibawa…

Sekali lagi fikiran ini terbang menerawang.. mengingat kembali detik-detik pemergian ayahanda yang dipanggil Ilahi lima tahun yang lalu…terkejut tanpa kata, terkesannya dirimu, hingga akhirnya terhasil karya dan buah fikiran, hasil didikan ayahanda dan bonda tercinta…” Rahman Self Theraphy”…Terkenang juga saat-saat sukar kita sembilan bersaudara… menghadapi bonda yang menerima ujian kesakitan.. bersama-sama kita memberi sumbangan demi bonda yang dikasihi.. hingga akhirnya bonda dijemput Rabbul Izzati… Allahu Rabbi….kau lakarkan memori berharga bersama dalam tulisanmu "Kenangan Bonda". Terbit tawa bersama airmata membacanya...

Singkatnya terasa masa yang berlalu… terkenang kita sentiasa bertemu dan berbincang, dengan pelbagai tajuk pilihan… Emm… dengan aku, apa lagi..biasanya mestilah topik mendidik anak-anak dan menuntut ilmu…dua topik kesukaan Allahyarhamhuma… Ayahanda dan Bonda kita…..

Tersentak dengan ujian Allah ini, namun hati ini tetap bersyukur.. lantaran hasratku untuk bertemu denganmu diizinkan Allah..walaupun tika itu..selama dua hari yang terakhir itu…matamu tertutup rapat…jasadmu tidak bergerak…. Namun..degup jantung dan nadimu meyakinkan aku..bahawa dirimu masih mendengar suara dan bacaan ayat-ayat suci yang dibaca….

Tenanglah dirimu di sana.. adindaku… moga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa mengiringi kembaramu di alam SANA… moga rantaian amalmu di sini menjadi menguat untukmu di daerah SANA… Ya dik… kami di sini, akan mengikut jejak langkahmu sebagaimana yang dijanjikan Ilahi… Segala kenangan bersamamu akan sentiasa tersemat kukuh di hati… Segala nilai kebaikan yang engkau taburkan akan kami sebarkan semampu dan daya yang kami miliki…

Ya Ilahi..insan ini..teramat kami sayangi… limpahilah rahmat dan kasihMu padanya…. Ampunilah segala kekurangan yang ada pada dirinya..sessungguhnya Ya Allah… engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang….

Hanya Allah jua matlamat hati ini.

Ummu Balqis.

Tuesday 24 August 2010

Catatan Ramadhan

Hampir separuh Ramadhan telah berlalu. Begitu pantas. Semoga yang berbaki dapat dimanafaatkan semaksimum yang terdaya dengan melipatgandakan usaha mempertingkatkan amalan yang sedia ada. Walaupun pernah melalui suasana puasa di perantauan ketika merantau menuntut ilmu dulu, pastinya kali ini memberi pengalaman berbeza kerana bersama keluarga. Alhamdulillah, dengan kadar waktu siang yang melebihi malam, merasalah ni’mat berpuasa yang panjang, iaitu lebih kurang 16 jam lamanya.

Pada mulanya, risau juga mengenangkan anak-anak berempat ini, oleh itu, sebelum bermula Ramadhan lagi, awal-awal lagi mama cuba positifkan anak-anak dengan situasi yang bakal dihadapi. Kelebihannya tahun ini, 3 minggu berpuasa adalah dalam waktu cuti sekolah, ditambah dengan cuaca yang tidak terlalu panas, kadang-kadang hujan, paling tidak mengurangkan letih dan dahaga anak-anak.

Alhamdulillah, hari pertama dilalui dengan sedikit keletihan, kadang-kadang bersungut lapar, tapi semangat anak-anak cukup mengkagumkan. Sabar betul semuanya, terutamanya Wawa (nama timangan Najwa) menunggu waktu berbuka, sambil kejap-kejap meninjau jarum jam berada pada nombor berapa. Hari kedua dan seterusnya, anak-anak kembali bertenaga dan ceria, dan melakukan aktiviti harian seperti biasa. Dalam mood cuti sekolah, waktu boleh diurus dengan agak santai, dipenuhi dengan aktiviti tadarrus seperti biasa, membaca, menonton televisyen (dengan pemantauan SIRIM waktu dan cerita ), meneroka komputer secara bergilir (pc cuma ada satu saja, jadi kena pandai-pandai susun jadual sendiri )serta indoor game hasil dapatan daripada carboot. Sarah dan Wardah masih boleh bermain kasut roda keliling rumah sambil tolong mama angkat kain di ampaian.... memang aktif. Along Balqis pula, seperti biasa, leka dengan bukunya….

Jom la makan

Lucu pula dengan karenah si kecil mama ni…Nada … susah hati betul dia bila semua orang tak memberi respon. Sibuk mengajak kakak-kakak makan, agaknya hairan kenapa semua orang tak nak apabila dia menyuakan makanan kegemaran masing-masing.

“Mama, nak makanlah, lapar..kakak pun lapar tu..bagi la kakak yogurt tu” Keletah Nada memberitahu ketika mama sibuk di dapur.

“Sedap ni..ambil lah..rasalah..” pandai pula dia memujuk. Sabar sajalah kakak-kakak ye..waktu Nada nak menyuapkan kuih ke mulut kakak-kakak.

Menjelang waktu berbuka, semuanya ringan tulang, menyediakan apa yang patut. Suasana yang paling meriah menandakan kegembiraan dan kemenangan sebagaimana yang Allah janjikan bagi mereka yang melaksanakannya. Walaupun hidangannya tidaklah sehebat mana, cukup dengan sejenis dua pemanis dan hidangan utama mengikut menu kegemaran dan pilihan anak-anak. Alhamdulillah….

Rupanya, mama yang kurang yakin dengan anak-anak, padahal semuanya bersemangat tanpa keluh kesah. Lupa mama, bahawa Allah SWT tidak membebankan seseorang tanpa kemampuan yang dibekalkan. Ujian disediakan pada yang layak menghadapinya. Nasib baik juga anak-anak mama ni tak dibiasakan dengan bazar Ramadhan. Terharu juga mama, tidak ada pula kerenah nak makan itu ini, yang susah-susah, kalau tidak, jenuh juga nak membuatnya. Maklumlah, manalah nak dicari roti bom, roti john, kuih muih yang bermacam nama, warna dan rasa kalau tak dibuat sendiri. Lagipun, mama ni baru nak belajar-belajar buat kuih kat sini.

Di perantauan ini

Seronoknya di sini, suasana puasa, iftar, tarawikh dan berbagai aktiviti Ramadhan masih terasa walaupun tidak semeriah di tanahair. Kalau ketika di tanahair, kita selalu bertarawikh dan tadarrus di surau dan masjid, suasananya masih ada di sini walaupun dalam ruang dan komuniti yang terhad. Masih berpeluang untuk iftar seminggu dua kali di masjid bersama masuarakat muslim yang ada. Walau kelas agama ditangguhkan ketika cuti, masa masih terisi dengan perbincangan, cerita dan kisah yang bermanafaat. Terasa sungguh mama keseronokan yang anak-anak rasai. Terasa sungguh mama anugerah Allah kita tercampak ke sini….

Syukur anak-anak…Allah menyediakan ruang untuk kita merasai Ramadhan, belajar mengenal hikmah Ramadhan, walau bukan kemampuan kalian untuk menghadam semuanya ketika ini…

Doa mama semoga ruang Ramadhan ini mampu menjadi titik penerus mama dan baba untuk lebih berperanan sebagai ibubapa yang memberi didikan bermakna untuk puteri-puteri mama yang dikasihi. Dan… menjadikan kalian menjiwai titisan kasih dan didikan mama dan baba, untuk merasai kasih dan sayangNya, Yang Maha Pengasih dan Penyayang kepada kita semua..

Salam Kasih..

Ummu Balqis

Friday 6 August 2010

Ahlan Ya Ramadhan Kareem

“Ramadhan is coming soon, isn’t it?” Terkejut juga saya dengan sikap ambil tahu yang ditunjukkan oleh John dan Betti, pasangan suami isteri, merangkap bapa kepada tuanrumah saya yang tinggal berjiran dengan kami. Bukan sekali dua bertanya, tak mampu pula menduga apa tujuannya. Yang pasti, keduanya sangat ramah dan prihatin, dan seolah mengingatkan pula kepada kami tarikhnya dari semasa ke semasa.

“What about the children?” Tanya Betti pula. Saya menjelaskan seadanya, anak-anak tidak dipaksa, tetapi dilatih sekadar kemampuan yang ada. Betti mengangguk sambil tersenyum. Memang tak disangka, dalam pekan sekecil ini, pengetahuan warganya tidaklah begitu asing tentang Islam.

Tinggal beberapa hari lagi, Syaaban bakal berlalu, dan untuk kesekian kalinya Ramadhan akan menyusul lagi. Ramadhan yang terisi penuh dengan barakah dan gandaan pahala bagi yang beramal soleh. Ramadhan yang menyajikan peluang memaksimumkan pencarian ilmu yang bermanafaat. Ramadhan yang menyediakan ruang mentadabbur dan mengislah diri dengan mengurangkan pengisian jasmani dengan kelazatan juadah yang pelbagai rasa.

Ramadhan kali ini pastinya sangat berbeza bagi kami sekeluarga, melaksanakan ibadah puasa dengan suasana yang lain daripada sebelumnya. Lebih mencabar lagi untuk melatih anak-anak dalam musim yang siang lebih panjang daripada malamnya. Nampaknya, mentaliti anak-anak perlu dipositifkan dengan meniupkan sirah nabawiyyah dan kisah para sahabat, disamping menyampaikan ganjaran yang Allah sediakan bagi yang berjaya melaksanakannya dengan jaya. Tambahan pula anak-anak dalam musim cuti sekolah hingga menjelang akhir Ramadhan, jadi masa perlu diisi dengan aktiviti yang mampu mencelikkan ruh, akal dan jiwa, bukan sekadar menonton segala macam program televisyen demi melepaskan rasa bosan di dada.

Siapalah Kita…

Hanya Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang, sentiasa memberi ampun kepada hambaNya yang sering lupa. Merasakan Ramadhan seperti tiada beza dengan bulan-bulan sebelumnya. Melakukan urusan dunia bersungguh-sungguh, manakala urusan Allah dilaksanakan seadanya. Allah…Beratnya mendidik nafsu yang sentiasa alpa, susahnya meninggalkan kelaziman yang berakar umbi sekian lama.

Mengenangkan bagaimana terisinya Ramadhan di kalangan Salafussoleh terdahulu, apatah lagi para Sahabah, generasi Rabbani didikan Kekasih Ilahi, terasa jauh benar bagai langit dengan bumi . Setiap detiknya terisi dengan amalan kerinduan seorang hamba kepada Khaliqnya. Tak sampai iman kita agaknya, untuk menghargai kedatangannya dan menangisi pemergiannya. Tak terasa kita hadiah yang disediakan oleh Allah SWT untuk hambanya yang sering lupa.

Walau di mana pun kita tercampak, nilai Ramadhan tetap sama. Tidak ternilai untuk diukur dengan apa yang ada di dunia, dengan peluang kali ini melaluinya lagi. Moga ini menjadi madrasah untuk mendidik diri, mengekang nafsu jasadiah yang tidak pernah padam. Madrasah untuk mendidik diri dan keluarga, juga setiap sahabat seaqidah di luar sana, untuk menghargai ruang tersedia dengan melangkah setingkat lebih tinggi daripada Ramadhan yang telah berlalu pergi...Biarlah Ramadhan kali ini, mampu menjadi benteng pertahanan yang kuat untuk menempuh 11 bulan yang berikutnya.

Namun begitu, jangan pula di kala ini kita menjadi hamba kepada Ramadhan. Mengumpul segala kebaikan dan kebajikan semata-mata kerana ianya bulan yang mulia. Akan tetapi setelah Ramadhan berlalu, semuanya turut sama pergi. Tiada lagi sedekah, tiada lagi, tadarrus dan tadabbur, tiada lagi nawafil yang menghias diri... hilang di telan bulan. Semoga kita terdidik, menjadi hamba kepada Pemilik Ramadhan Kareem...

Kasihnya Rasulullah pada kita, memberi pesan hingga ke hujung hayat Baginda. Kasihnya Allah SWT pada kita, membuka seluas-luasnya pintu Rahmat dan Rahim tanpa berhajat balasannya. Cukuplah itu sebagai penggerak, untuk kita menuju ke arah redha dan cintaNya….Allah Rabbul Jalil…

Salam Ramadhan.

ummu Balqis.

Wednesday 28 July 2010

Peringatan Terbaik Buat Insan

Catatan pertama saya di ruang rehlah imaniyyah ini, moga menjadi ingatan buat diri saya yang sering lupa. Peringatan yang sering ingin dihindari oleh yang bergelar insan, kerana takut terhentinya kelazatan yang dinikmati sepanjang berkelana di daerah yang disangka sangat indah ini.

Setiap yang bernyawa akan menempuhi kematian. Dan sebaik-baik peringatan adalah mengingati mati. Bagi setiap mu'min, mengingati kematian seharusnya melahirkan keinginan untuk melakukan yang terbaik selagi diberikan ruang bernafas di muka bumi ini. Tidak lain kerana, hasil amalan di sini, akan tertuai di daerah sana.

Namun begitu, mengoptimumkan peluang kehidupan semestinya tanggungjawab insan. Memberikan yang terbaik adalah tanda syukur seorang insan terhadap Khaliqnya. Kegerunan saat berhadapan dengan kematian bukanlah alasan untuk membiarkan diri malas berusaha dan berserah sahaja dengan ketentuanNya. Justeru, mengingati kematian adalah cara yang terbaik untuk meluruskan laluan sepanjang kehidupan. Agar jalan sentiasa lurus, destinasi yang terakhir akan mampu dicapai dengan selamat.

Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; Dia menghidupkan dan mematikan; dan Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (al-Hadid;2)

Hakikat Kematian

Allah swt yang menghidup dan mematikan kita telah memberitahu bahawa hikmah daripada kematian adalah perpindahan dari tempat berlakunya amal ke tempat mendapat balasan. Di sana, kita diberi balasan bagi setiap amalan yang dilakukan sepanjang kehidupan yang lalu.

Firman Allah swt bermaksud:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah Berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi prang yang terpedaya.” (Ali Imran:185)

Siapalah kita untuk menafikan hakikat ini.

Siapalah kita untuk melarikan diri dari saat ini.

Lemahnya kita..Masya Allah.

Kita melihat dan mendengar tentang kematian. Namun enggan mengingatinya dan mempersiapkan diri menghadapinya. Kita melupakannya sedangkan kita pasti akan menemuinya. Kita membutakan mata dari melihatnya, sedangkan ia semakin menghampiri…

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “ Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu dia memberitahu kamu apa yang kamu telah lakukan ( serta membalasnya)”. (al-Jumu’ah:8)

Ketetapan Yang Pasti

Andainya nyawa terletak dalam kekuasaan manusia, pasti tiada seorang pun manusia di muka bumi ini yang akan mati. Yang pasti, setiap di kalangan kita mempunyai janji yang tersendiri. Oleh itu, dengan keyakinan bahawa ia pasti akan mendatangi kita, moga ianya menjadi tanda aras dalam perlaksanaan tanggungjawab kita sebagai hambaNya dan khalifah di muka bumi ini. Mencari peluang dan melakukan yang terbaik kerana meyakini, setiap yang tertunai di sini, akan dihitung dan dipersoalkan di hari yang sangat adil perhitungannya.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis

Saturday 24 July 2010

Puteri Mama Sudah Besar




Selamat ulang tahun kelahiran buat puteri mama, Nik Nada Safiyah binti Abdul Aziz. Hari ini, genap Nada 3 tahun. Cepatnya masa berlalu. Terasa seolah baru semalam mama ke Hospital An-Nur, Bandar Baru Bangi untuk melahirkanmu.

Bermakna juga, usia mama dan baba pun makin bertambah.

Masih mama ingat, Disember 2006, ketika di kota Makkah, sehari sebelum berangkat untuk wukuf di Arafah, baru mama dapat pengesahan berita Nada sudah berada dua bulan di dalam kandungan mama. Itupun kerana mama batuk-batuk, kemudian kakak-kakak sebilik menasihatkan mama berjumpa doktor sebelum mengambil ubat. Alhamdulillah… gembira mama dan baba dengan anugerah ke lima ini.. Mama bawa Nada bersama ketika wukuf.. seribu doa dipanjatkan ditempat yang penuh barakah itu.. Kemudian mengutip batu di Muzdalifah, sebelum berangkat ke Mina. Esoknya selepas melontar, kita pulang ke Makkah untuk menyempurnakan tawaf, saie dan bercukur… Menjelang waktu Asar, semuanya selesai dilaksanakan. Selepas berehat dan menunggu solat Maghrib, mama, baba dan kawan-kawan bergerak pulang ke Mina untuk menyempurnakan ibadah yang lain. Alhamdulillah. Walaupun berjalan kaki hampir 3 jam hari itu, semangat mama cukup kuat. Sehinggalah selesai melontar ke tiga-tiga Jamrah, kita berangkat pulang ke Makkah, mama demam seminggu, tak mampu bangun dan ke masjid. Apapun, syukur, dan semoga amal diterima oleh Allah SWT.

Sepanjang Nada di dalam kandungan, dua kali mama diuji dengan sakit belakang yang amat sangat.. Masya Allah, sukar sekali mama mengalirkan air mata, walau ketika sakit melahirkan kakak-kakak yang terdahulu, tapi sakit yang ini, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui… Tak mampu mama menahan kesakitan, hingga terpaksa menghubungi baba yang ketika itu ada urusan kerja di luar daerah.. Kelam kabut juga baba dibuatnya.

Namun begitu, setinggi kesyukuran, Allah mudahkan laluan untuk mama melahirkan dan membesarkan Nada hingga ke saat ini.

Insya Allah, September nanti, Nada akan mula bersekolah bersama kakak-kakak. Seronoklah nanti, Nada akan dapat guru dan kawan-kawan baru. Meneroka berbagai perkara baru yang pasti memberi seribu satu pengajaran dan kenangan di masa akan datang.

Moga hari-hari yang mendatang, anak mama ini akan sentiasa di dalam rahmat dan kasih Allah SWT, membesar sebagai anak yang solehah, penyejuk hati mama dan baba.

Salam sayang,
Mama

Thursday 8 July 2010

Selaut Kasihmu…

Membesar tanpa kasih seorang ibu adalah perjuangan hidup yang amat payah. Bayangkan sekecil usia 5 tahun, hanya dibesarkan oleh seorang ayah bersama 3 beradik yang lain. Ditambah lagi berkahwin dalam usia yang sangat muda, bonda belajar satu persatu dalam hidup melalui pengalaman yang ditempuhi, tanpa ajaran, tanpa pesanan seorang ibu.

Namun begitu, bonda punyai semangat yang tinggi, dikurniakan kemahiran berniaga yang bagi saya sangat hebat, bonda tak pernah putus idea berniaga demi membantu ayahanda, menampung keperluan dalam keluarga yang agak besar. Merantau hingga ke Singapura, mendapatkan kain ela yang baik kualitinya. Bersekang mata, berjaga malam, membuat jualan nasi untuk paginya… Menguli tepung untuk jualan roti bila petang menjelma...

Oh.. mana mungkin akan saya lupa… bonda … yang melalui alam persekolahan cuma hingga ke tahun tiga, tetap punyai wawasan tinggi dalam mendidik anak-anak.. Cukup gigih berazam memberi laluan ilmu untuk anak-anak ke peringkat yang selagi mampu di gapai. Bonda mendidik, tidak banyak dengan kata-kata, tetapi menzahirkan dalam bentuk tindakan yang sukar dilupa...

Masih saya ingat, ketika di sekolah rendah, waktu membuat kerja sekolah bersama adik, bonda akan ke dapur membancuh minuman, kemudian tekun memerhati kerja sekolah kami walau tidak memahami. Waktu anak-anak berkumpul, bercerita itu dan ini, senyum bonda akan mengiringi. Waktu sakit menimpa, bonda bersekang mata, tangan tak henti mengelap kepala hingga terlena. Waktu di sekolah menengah, saya di asrama, setiap minggu, bonda dan ayahanda pasti muncul, sejam dua bersama saya, membawa bekalan nasi, lauk pauk, dan tidak ketinggalan, sambal tumis ikan bilis kesukaan saya. Bahagia terpancar diwajahnya ...

Tanggal 28 Mac 2009, walaupun bonda telah pergi buat selamanya, senyuman bonda akan sentiasa terbayang di ruang mata. Dalam kepayahan melawan kesakitan, walau tanpa sepatah kata, wajah bonda selalu ceria dan tenang, moga itu menggambarkan kebahagiaan bonda dikelilingi anak-anak dan cucu-cucu tersayang, diwaktu suami tercinta sudah tiada disisi untuk menemani...

Bonda...Tidak terbanding kasihmu buat kami, anak-anakmu.Tidak terakam gigihmu mendidik dan membesarkan kami.

Banyaknya memori indah bersamamu.... Namun segalanya kini hanya tinggal kenangan, buat seorang insan yang sangat saya kasihi. Bonda… moga dirimu tenang di sana, selaut kasihmu akan sentiasa ku rindu, selamatlah bonda di sana, bertemu Allah Yang Esa, moga bahagia mengiringimu hingga ke akhirnya..

Alllahumma… sesungguhnya, kasihMu mengatasi kasih sesama makhluk.. rahmatMu meluas tanpa batas sempadan dan takluk, limpahkanlah Ya Allah, segala kasih dan rahmatMu buat insan yang sangat bermakna buatku ini, insan yang mencurahkan segala yang dimilikinya untuk kami, anak-anaknya..Ya Allah, tempatkanlah dia, bersama hambaMu yang terpilih…minassolihin…Amin.





Aidilfitri terakhir bersama bonda tersayang..1 Syawal 1429

Ummu Balqis

Wednesday 7 July 2010

Ahlan Wa Sahlan

Hujung minggu yang lalu agak padat untuk kami sekeluarga. Petang Jumaat, selesai sessi persekolahan anak-anak, kami terus bertolak ke Birmingham atas urusan kerja suami. Perjalanan mengambil masa 3 jam, tidak terlalu jauh, Cuma keadaan jalan yang agak kecil dan berliku menyebabkan perlu berwaspada sentiasa. Seharian suami berurusan, Alhamdulillah, masa dapat dimafaatkan bersama anak-anak dengan aktiviti yang berfaedah. Selesai tugasan pada esoknya, tepat jam 4.30 petang kami terus bergegas pulang ke Lampeter.

Pada hari Ahad yang sama juga, 4 Julai 2010, jam 10.45 pagi, Dr Aderi bin Mohd Noh dan keluarga selamat tiba di lapanganterbang Cardiff. Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum ke bumi Lampeter, menambah keceriaan warga yang sedia ada.

Insya Allah, Dr Aderi akan membuat kajian “post-doctorate” selama 2 tahun di University of Lampeter, Wales. Beliau juga merangkap “supervisor” saya dalam pengajian yang baru bermula Julai ini. Semoga dipermudahkan segala urusan, Insya Allah.

Ummu Balqis

Tuesday 29 June 2010

Hujung minggu di Legoland

Hujung minggu yang lalu memang detik yang sangat ditunggu-tunggu. Terpancar kegembiraan di wajah anak-anak mama, tak sabar…

Jumaat petang, selesai sesi persekolahan dan kelas agama, semua bergotong royong membersihkan kereta baba, kemudian masing-masing packing pakaian yang perlu dibawa, tak banyak, Cuma untuk 2 hari satu malam saja. Emm..rajin dan bersemangat sungguh anak-anak mama. Mama pula apa lagi, bertungkus lumus menyiapkan bekalan untuk 2 hari ni..yelah kan..kat sini tak semudah Malaysia untuk nak dapatkan makanan yang bersesuaian dengan kita..

Pagi Sabtu, 26 Julai 2010, tepat jam 6.30 pagi, kami bertolak menuju destinasi.. Legoland Windsor, tak begitu jauh dengan London. Perjalanan yang mengambil masa hampir 5 jam berakhir sebaik saja papan tanda Legoland tertera.. Meriah sungguh bila 3 keluarga besar berkumpul..

Berkampung di sana dua hari memang memenatkan dan menguji sejauh mana stamina anak-anak mama. Memang tahan lasak, kan. Berbagai permainan yang hendak diteroka. Semuanya tak kenal erti penat, berlari ke sana sini, dan sabar menunggu giliran dalam cuaca yang begitu panas. Namun suasana ceria dan kemudahan yang ada menyebabkan masa begitu pantas berlalu. Tepat jam 6 petang, semua permainan dihentikan dan kami bersiap untuk pulang. Semuanya keletihan, tapi Baba bersedia menempuh perjalanan pulang yang agak panjang.

Alhamdulillah… bahagia melihat keseronokan anak-anak. Terima kasih juga buat Ida sekeluarga dan Iza sekeluarga.. Moga ukhuwwah sentiasa dan terus erat, Insya Allah…






Ummu Balqis

Permata hati mama...





Anakku..

Permata hati mama…masih terasa gerakanmu tika di alam rahim. Bahagianya..takjub dengan kebesaranNya, bersyukur atas rahmat dan kurniaNya..diberi peluang…bersama nyawa ada nyawa…bersama jasad ada jasad…untuk dibawa…dikasih..dibelai…dan dipertanggungjawabkan. Masih terbayang di ruang mata mama, tangis dan tawamu..aduh..comelnya. Namun….mama tahu..hadirmu bukan untuk disuap cuma. Bukan juga untuk disogok dengan harta semata… malah… untuk di isi ruh dan jiwa..

Maafkan mama sayang.. dalam mendidikmu, terlalu banyak yang tersasar dari landasan. .Lantaran kurangnya sabar, kurangnya ilmu, kurangnya iman dan juga amal…

Anakku..terlalu banyak mama bermonolog dalam hati, terasa lemahnya mama dalam menjadi qudwah…sebagai bekalanmu dewasa nanti.. anakku….

Anakku… kasih mama tiada penghujung.. namun..kasih Ar-Rahman.. tiada tandingan nilainya…Anakku..selagi nafas belum terhenti.. selagi nyawa belum di panggil Ilahi…azam mama tetap satu…. memelukmu dengan ilmu.. membelaimu dengan iman…memimpinmu dengan amal…bersama mama..untuk mengerti hikmah perjalanan yang entah bila penghujungnya ini…

Puteri-puteriku...

Sambutlah tangan mamamu ini, kerana inilah laluannya. Biarpun payah, kita harungi bersama, biarpun pahit, kita telan bersama.. kerana setiap jalan menuju iman.. maharnya adalah mujahadah yang panjang… menuju kasih dan redha Ilahi.. Rabbul Izzati..

Ummu Balqis

Monday 28 June 2010

Syukur....Ya Allah





Rasa setinggi syukur yang tidak terucap, terasa benar senggang waktu terpisah dari suasana kerja yang hampir 14 tahun rupanya penyusunan yang sangat rapi dan indah daripada Dia Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Ye lah…Allah beri apa yang kita patut dapat, bukan apa yang kita mahu..Sebab kemahuan kita sebagai manusia.. tidak terbatas..tidak pernah puas…Alhamdulillah…


Bersama keluarga tercinta dalam tempoh masa yang terbatas ini ..adalah satu ruang yang sangat tidak ternilai harganya..seolah memberi peluang untuk saya menebus kembali segala kekurangan sebelum ini dalam membahagi waktu antara keluarga dengan tugas yang sangat saya cintai..sebagai pendidik…

Berada di perantauan ketika menuntut ilmu di bumi Mesir suatu ketika dulu, ketika belum berumahtangga, belum memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, rupanya berbeza benar dengan merantau dengan tanggungjawab yang pelbagai ini.…isteri dan ibu, dan sekarang.. tambah lagi satu..sebagai pelajar lagi…

Tak perlu disenarai apa jadual harian yang mesti dilakukan, tugas yang nampak remeh.. namun tanpa kekuatan mental, semuanya boleh terbengkalai.. boleh rebah tanpa sokongan. Justeru.. kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah bukan sekadar jasad yang sempurna lahirnya, tapi jauh lebih bermakna dengan kurniaan ruh yang sentiasa dahagakan iman dan ilmu sebagai bekalan. Buat panduan meniti jalan yang tidak terduga dengan halangan yang mendatang. Mengimbangi diri agar tidak tersasar dari landasan.

“Huuh..larat ke nak pikul semua tu?” Hati berbisik sendiri.
“Insya Allah…Allah beri kemampuan tenaga dan masa..jika ada keinginan” kata-kata membakar semangat yang kadang-kadang malap ini..

Ya Allah… Moga peluang masa dan usia yang disediakan ini..menjadi jalan untuk diri ini membuat persiapan.
Ya Allah.. Moga perjalanan yang penuh ujian ini sentiasa dalam kasih dan rahmatMu
Ya Allah.. Moga pengakhiran perjalanan yang entah bila penghujungnya ini jua.. dengan rahmat dan kasihMu…

Ummu Balqis

Monday 21 June 2010

Strawberry Picking




Seawal jam 7.30 pagi, kami bertolak menuju Swansea, dengan perjalanan mengambil masa 1 jam 15 minit untuk bersama dalam program santai hujung minggu bersama beberapa keluarga lain. Selesai menjelajah tapak ‘carboot’ dan membeli apa yang patut, tepat jam 11.00 pagi kami bertolak ke “Strawberry Farm” yang terletak tidak jauh dari tapak jualan ‘carboot’.

Hari minggu yang redup dengan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, menambah keceriaan 5 keluarga meneroka kebun strawberi di Swansea. Siapa lagi kalau bukan anak-anak yang begitu seronok mengutip strawberi dari satu batas ke satu batas sambil merasa keenakannya. Istimewanya kebun ini, masuk percuma, boleh petik dan makan percuma, Cuma yang dibawa keluar sahaja yang perlu ditimbang dan harganya sangat murah berbanding di pasaran.


Strawberi..
Cantik rupanya, manis rasanya..
Subhanallah..Indahnya ciptaan Yang Maha Esa..

Anakku…
Kejadian kita jauh lebih indah dari itu..
Doa mama tidak putus buat kalian
Puteriku…
Moga akhlakmu
Lebih bersinar dan menawan
Sebagai mukminah
Harapan ummah

Selesai ‘picking’, masa untuk rehlah, menjamu selera.. manakala anak-anak masih belum reda bergerak aktif di taman permainan yang tersedia.

Hari yang ceria walaupun semuanya kepenatan..Harapan agar perjalanan yang bukan sekadar suka-suka. Bahkan mengambil peluang untuk meneliti ruang mentadabbur hebatnya kuasa Ilahi di segenap penjuru alam..semuanya unik, tersendiri dan tiada yang sia-sia..Subhanallah…..

Ummubalqis.

Sunday 20 June 2010

Kenanganku Bersamamu...


Ayahanda Engku Abdul Rahman bin Ngah

Selesai menjamu tetamu di rumah pada tengahari ahad itu, 2.30 petang, terdengar deringan telefon..oh..tak sempat disambut dek agak kalut di dapur..sekali lagi telefon berbunyi..terus saya mencapai gagang…badan menggigil..lidah kelu..tiba-tiba mendengar raungan adik perempuan yang ayahanda sudah tiada…Masya Allah ..seakan mahu terhenti sama degupan jantung ini..benarkah..? oh.. tak mungkin..mustahil..hati saya cuba menafikan hakikat yang amat menyakitkan ini..ya Allah..benarkah ini hakikatnya…

Badan masih menggigil..suami terus menenangkan..tiket kapalterbang ditempah.. Masya Allah.. tiada kata yang mampu diungkapkan saat itu…Alhamdulillah..Allah memudahkan urusan..tiket untuk 6 orang masih ada….Dan jam 4.45 petang, kapalterbang selamat mendarat..Tetapi..perancangan Allah rupanya lebih rapi…jenazah ayahanda selamat diuruskan tanpa sempat saya menatap wajahnya buat kali terakhir…Allah…Beratnya bebanan hati untuk menerima takdir ini..Masih terbayang kesugulan wajah bonda..tanpa setitik airmata..tabah…menyimpan sedih demi memberi kekuatan kepada anak-anak yang kebingungan…masih terbayang kelompok saudara mara dan rakan taulan ayahanda yang masih di tanah perkuburan…nun di seberang jalan…Allah…

Masih terbayang ayahanda di ruang mata..yang sentiasa menghias wajahnya dengan senyum, tenang sikapnya dengan bicara yang tersusun. Ayahanda yang mengajar dengan kisah dan tauladan..menerima kelebihan dan kekurangan anak-anak dengan cara yang tersendiri… menyebabkan setiap seorang merasa diri dihargai.. MasyaAllah.. Ayahanda yang tidak pernah belajar ilmu psikologi, namun hikmahnya menggunung tinggi, tutur bicaranya menjadi bukti, cerita titipannya menjadi saksi..Ayahanda...dirimu tiada ganti.

Ya Allah..moga ayahanda mendapat tempat di sisiMu..menjadi insan terpilih mencapai rahmat dan kasih sayangMu..sebagaimana dia menyayangi dan mengasihiku ketika di dunia ini.. Amin ..Ya Rabbal ‘Alamin..

Ummu Balqis,

Wednesday 5 May 2010

Bandar Baru Bangi - Lampeter..

Dengan NamaMu Ya Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih..

Memulakan bicara di ruangan bisu ini, sekurang2nya melepaskan rindu berbicara dengan keluarga, sahabat dan anak2 didik di tanah air.Sungguh..kaku dan beku rasanya jari untuk meluahkan yang terkumpul di dalam minda..moga apa yang tercatat mampu memberi manafaat untuk saya terutamanya atau sesiapa yang menatap coretan ini..

Rupanya sudah mencecah enam bulan saya di sini..bersama keluarga..berkelana dari Bandar Baru Bangi ke bumi Lampeter, Wales ini. Alhamdulillah, semua urusan penting seperti rumah, kereta dan persekolahan anak2 dapat diselesaikan dengan kadar yang segera hasil sahabat2 baru di sini..dengan izinNya jua. Allah jualah yang mampu membalas jasa baik sahabat2 di sini.. kuranglah terasa asing berada di tempat asing..Bersama 7 keluarga lain lagi, terbentuklah komuniti kecil warga Malaysia di Lampeter...suami dan anak2 mula melalui proses pembelajaran dengan suasana yang baru dan asing, namun sesuatu yang sangat mengejutkan bagi orang "baru" seperti kami...orang2 di sini sangat peramah dan murah dengan senyuman. Di pekan kecil ini, sapaan dan senyuman perkara lumrah…suasana yang sepatutnya lebih terasa di tempat kita..

“Bertuah..” kata sahabat2, baru sebulan di sini, sudah berpeluang merasa suasana “snow” yang menjadi saat yang ditunggu2 terutamanya anak2…Masya Allah… kesejukan yang sangat mencengkam hingga ke tulang sumsum.. hingga mencecah -18 darjah….terpaksa berjaga2 juga kerana dua orang puteri saya mengidap athma yang agak serius…

Doa dan harapan saya sepanjang peluang yang diberi oleh Allah ini, bersama suami dan lima orang puteri, moga terisi dengan sesuatu yang bererti..buat diri, keluarga dan sesiapa saja di sisi...moga kita sentiasa berusaha menjadi orang yang bermanafaat dan memberi manafaat kepada orang lain..dengan cara, kemampuan tersendiri yang dibekalkan oleh Ilahi…

Hanya Allah matlamat hati ini…

Wassalam.

Ummu Balqis.

Saturday 10 April 2010

Kembara....

Hampir 5 bulan berlalu,meninggalkan tanahair..mengiringi kembara suami demi mencari setitis ilmu di bumi Allah yang maha luas ini..5 bulan juga berlalu..menangguhkan perlaksanaan amanah..sebagai guru kepada bakal guru...moga hadirnya aku di sini mampu mengaut pengalaman baru...mencari hikmah di setiap sudut atas segala penyusunan Mu yang Maha Rapi ini..dalam mengorak langkah menuju redhaMu yang abadi...amin..

Friday 9 April 2010

salam ukhuwwah..

Salam perkenalan..salam pertemuan... mula bertatih di dunia blog.. moga ini menjadi wasilah..mengerat ukhuwwah...menambah ilmu..meningkatkan iman dan amal...