Friday 18 February 2011

Kitalah permulaannya......

“Kita datang nak tengok ni je, mama?” bisik Balqis, puteri sulong saya ketika menonton persembahan anak-anak muslim di St Mary Church, Camarthen, Ahad lalu.

“Lambat lagi ke nak habis ni?” bisik puteri kedua saya pula, Sarah.

Saya mengangguk. Sambil memberi isyarat akan bercakap selepas persembahan berlangsung.

Dari wajah Balqis dan Sarah, ada riak kurang puas hati.

Biasanya tidak begitu.

Mungkin silap saya juga. Tidak menyatakan secara tepat apa majlis yang hendak dihadiri kepada mereka. Biasanya, sebelum memulakan perjalanan walau ke mana sekalipun, saya maklumkan ke mana dan kenapa. Secara mentalnya, nampaknya kedua-dua puteri saya ini tidak dapat menyembunyikan rasa terbuku yang bersarang di hati. Ditambah dengan ada kerjarumah yang masih belum siap.

Hari Ahad lalu, warga muslim di Lampeter mendapat jemputan menghadiri majlis pelancaran menjana sumbangan bagi mendirikan “Islamic Centre” di Camarthen. Ianya diadakan di dewan St Mary, tempat berkumpulnya komuniti muslim Camarthen untuk menjayakan aktiviti samada berbentuk pengisian ruhani, pendidikan anak-anak dan juga majlis sambutan hari raya. Majlis tersebut diserikan dengan persembahan nasyid dan pentomen anak-anak muslim di sana.

“Kita dijemput, jadi kita mestilah memenuhi jemputan jika tiada apa-apa halangan.” Terang saya kepada Baqis sambil menikmati sedikit juadah yang disediakan.

“Kalau kita jadi tuan rumah, seronok tak kalau tetamu datang?” soal saya. Along Balqis mengangguk.

“Sedih tak kalau undangan kita tak disambut?”Angah Sarah pula mengangguk. Along diam sambil memerhati suasana ceria dalam dewan kecil itu.

“Haa…Sebab tulah, Allah suka kalau kita menggembirakan hati sesama muslim. Nampak macam tak pentingkan, tapi orang yang menganjurkan ini gembira sangat dengan kehadiran kita. Tanda sokongan. Lagipun, ada nilai disisi Allah SWT kalau kita ikhlas hadir hari ni..” Saya menambah.

“Tentang homework pula, kan mama dah ingatkan, sebelum kita ke mana-mana, siapkan dulu. Jadi, jangan selalu jadikan alasan hingga hati tak tenang dan selesa dalam majlis macam ni… Nak senyum pun susah...” Terang saya lagi, sedikit mengusik disamping syarahan yang agak panjang lebar.

Nilai apakah yang ingin diserap?

Sedikit hati saya tercuit dengan persoalan yang diutarakan kedua-dua puteri yang sedang menginjak ke usia remaja ini.. Bimbang memikirkan sebagai ibu bapa, pentingnya kita berbicara dan mendengar bicara anak-anak. Nampaknya mudah dan tiada isu yang besar. Namun ia boleh menjadi berat dan besar bebanan yang dipikul andai tidak menjadi kebiasaan.

Sebagai ibu, saya sentiasa cuba menerangkan kepada anak-anak, bagaimana untuk kita berperanan dalam masyarakat. Bermula dengan berperanan dalam keluarga, sesama adik-beradik. Kemudian bergabung di dalam komuniti yang kecil, kita sama-sama belajar untuk memberi dan menerima.

Hindarkan rasa hebat dalam diri. Buang rasa pentingkan diri sendiri.
Semaikan rasa ingin mencurah bakti. Walau mungkin tiada pengiktirafan yang diberi.

Namun begitu saya sedar, lidah boleh berkata apa sahaja. Selagi air liur tidak kering, bermacam-macam nasihat dan kata-kata hikmat yang boleh dihuraikan.

Sedangkan hakikatnya itu semua tidaklah memberi sepenuhnya makna kepada mereka. Fitrahnya…. anak-anak mempelajari sesuatu melalui apa yang dilihat, menyerapkan apa yang dirasa dalam kehidupan, bukan melalui penerangan semata.

“Cakap tak serupa bikin”.Bimbang kalau-kalau itu yang terselit dihati mereka.
Mungkin tidak hari ini.
Tapi bagaimana dengan esok atau lusa?

Ya.. sebagai ibu bapa, selagi anak-anak masih di bawah pemeliharaan dan pemerhatian kita, sememangnya kita memiliki kuasa sepenuhnya dalam menentukan semua perkara… keperluan seperti penyediaan makanan, pakaian, masa malah segalanya….

Namun begitu, jangan kita lupa….masa kita bersama-anak-anak terlalu singkat. Usia mereka semakin meningkat dan pergaulan mereka sudah melepasi sempadan pemerhatian kita. Cukuplah kita bekalkan mereka denga iman, ilmu dan kepercayaan bahawa segala kelebihan kita diikuti manakala segala kekurangan diakui sejujurnya.

Mulakanlah dengan diri sendiri...
Ya...Itulah didikan yang terbaik untuk mereka.

Ingatan untuk diri saya sebenarnya.....

Andai mahu anak cintakan ilmu, biarlah kita dahulu yang mengejar ilmu.
Andai mahu anak menjaga ibadah, biarlah kita dahulu yang tamakkan ibadah.
Andai mahu anak terjaga akhlak, biarlah kita terlebih dahulu menjaganya.

Allah tidak mempersoalkan hasil yang diperolehi.. tetapi sejauh manakah usaha ke arah matlamat ini....

Sesungguhnya anak-anak adalah harta yang tidak ternilai, di samping tanggungjawab yang akan dipersoalkan kepada kita kelak. Menyediakan suasana terbaik merupakan tuntutan yang akan membentuk syakhsiah yang tahu untuk berperanan walau di mana saja dia akan tercampak... Insya Allah

Akhirnya, jadilah dia seumpama sebiji benih yang baik, dibuang ke darat menjadi gunung, dibuang ke laut menjadi pulau.

Ingatlah selalu hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra. : Nabi Muhammad Saw pernah bersabda, “setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi.
(Riwayat Imam al-Bukhari)

Hanya Allah matlamat hati ini.
Ummu Balqis.

Monday 7 February 2011

Masih panjangkah masa yang berbaki….

“Mama tutup mata tau..” pesan Wardah, ketika saya sedang rancak mencuci pinggan mangkuk malam tadi.

Dipimpinnya tangan hingga ke pintu bilik, ingin membuat kejutan untuk saya sambil diiringi oleh anak-anak yang lain, Balqis, Sarah, Najwa dan Nada.

“Surprise….!” Jerit semua… Digantungnya banner dan kad buatan sendiri dan yang dibeli di hadapan pintu bilik. Kemudian dihulur pula hadiah yang dibeli secara “sorok-sorok” petang tadi tanpa saya sedari. Suami hanya tersenyum dengan kerenah anak-anak.

“Happy birthday mama…” ucap mereka serentak.

“Terima kasih anak-anak” balas saya sambil memeluk dan mencium pipi mereka satu persatu.

Terharu bercampur geli hati saya melihat telatah anak-anak. Makin lanjut usia, makin meriah pula sambutannya dek kerenah mereka.

Empat dekad berlalu…

Merenungi hari-hari yang berlalu, hati saya mengucap syukur yang tidak terhingga, atas ni’mat usia yang dikurniakan. Empat dekad telah berlalu, dengan segala macam peristiwa yang memberi seribu satu kenangan dan pengajaran dalam kehidupan saya.

Empat dekad berlalu… dengan setiap satunya tersusun rapi dengan peristiwa yang tersendiri. Ya.. bermula kehidupan di zaman anak-anak yang serba ceria, tak mengerti apa-apa. Semuanya indah dan menyeronokkan. Tiada yang merunsingkan. Bermain dan bermain.

Beralih ke fasa remaja… yang tak sama ceritanya seperti anak-anak remaja hari ini. Belum kenal internet, dan entah apa-apa lagi. Zaman yang terhad teknologinya. Namun seronok mengaut khazanah kehidupan sebagai ukhti muslimah. Ke sana dan ke sini bersama akhawat, demi mencari mutiara-mutiara tersembunyi yang bertaburan di muka bumi ini. Indahnya…..

Melangkah ke alam rumahtangga… memikul peranan baru sebagai isteri.. kemudian ibu… Oh… sudah melangkah tahun yang ke 15 rupanya… Beratnya amanah yang terpikul ini.. Tanggungjawab yang tiada noktah hingga nyawa dijemput olehNya. Namun yang dipertanggungjawab, semestinya yang mampu…Semoga kekuatan sentiasa diberikan oleh Yang Empunya Segalanya ini.

Empat dekad berlalu… dihias suka dan duka… senyum dan tawa… masam dan manis silih berganti…Semuanya memberi ruang muhasabah yang panjang bahawa betapa tidak berupayanya kita untuk melebihi taqdir yang disediakan oleh Yang Maha Merencana. Baik sebagai hambaNya yang kerdil, mahupun sebagai khalifahNya. Semuanya tercatat penuh rapi dan tersusun, tanpa diketahui rahsianya oleh sesiapapun.

Masih panjangkah masa yang berbaki…

Sebanyak manakah masa yang diperuntukkan demi meningkatkan iman di dada?
Sebanyak manakah usia yang dinafkahkan untuk memberi manfaat sesama manusia?
Sejauh manakah khidmat bakti sebagai salah satu batu bata ummah yang sejahtera?

Memikirkan atas ni’mat hari ini, hati ini berdetik, berapa lama lagikah masa yang masih berbaki….

Untuk menyuburkan buah iman dan amal yang tersedia di dalam diri …
Untuk menafkahkan waktu yang berbaki untuk manafaat insani….
Untuk menabur khidmat menafkahkan diri….

Masih panjangkah masa yang berbaki… setelah empat dekad berlalu pergi….

Syukur kepadaMu Ya Allah … atas ni’mat usia yang dikurnia…. moga usia yang berlalu memberi manafaat.. dan kesempatan yang mendatang memberi ingatan bahawa... ruang melangkah setapak ke hadapan bererti semakin menghampiri saat bertemu denganMu. …. Dan sesungguhnya… ni'mat ini akan bisa berakhir bila-bila masa...

Hanya Allah Matlamat Hati Ini.
Ummu Balqis.