Saturday 17 December 2011

Tiada paksaan bagimu...


“Macamana nak study ‘medic’ dengan result macam ni? Papa dulu best student tau, tak pernah dapat result macam ni, daripada waktu sekolah,hingga tamat universiti.” Syarah si bapa kepada anak perempuannya dengan nada penuh geram.

Merah bola matanya melihat markah subjek-subjek utama untuk aliran sains diisi dengan warna merah.

Si anak tunduk, sesekali terkebil-kebil memandang si bapa. Kosong.

Saya memandang dan membiarkan si bapa melepaskan rasa terbukunya dengan penuh sabar. Tak sampai rasa hati melihat si anak dimalukan begitu dihadapan saya, guru kelasnya.

Perjumpaan ibubapa dan guru adalah pertemuan yang dijadualkan oleh pihak sekolah untuk berbincang tentang prestasi anak-anak, dan memaklumkan langkah-langkah yang diambil oleh pihak sekolah untuk penambahbaikan dalam meningkatkan prestasi anak-anak yang akan menduduki SPM tidak berapa lama lagi.

“Ustazah tau tak, saya doktor pakar di Hospital ***, isteri saya pun doktor pakar juga di Hospital ***. Kami berdua lulusan universiti luar negara. Kami sangat sibuk, ni isteri saya tak dapat datang pun sebab ada di luar negara atas urusan rasmi. Kakak dan Abangnya sekarang pun di luar negara, masuk jurusan perubatan juga, takkan dia tak boleh. Sepatutnya Ros (bukan nama sebenar) kena lebih usaha lagi ni.” Sambung si bapa sambil memandang dengan serius kepada saya.

Saya mengangguk tanda faham. Si anak masih tunduk , sesekali memandang saya.

Ros sememangnya berada di kelas aliran sains, aliran yang boleh menyambung cita-cita bapanya itu. Namun saya tahu kecenderungan Ros lebih kepada senireka dalaman. Bakatnya terserlah apabila melibatkan aktiviti menceriakan kelas atau pertandingan melukis poster dan banner. Pasti keghairahan ibubapa yang mengharapkannya mengikut jejak langkah mereka menggusarkan hati Ros.

Dilema si anak. Kecenderungan dan keupayaannya bukan ke arah yang diingini oleh ibubapa. Walaupun saya tau Ros seorang yang sangat tekun berusaha dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

“Encik, anak Encik ni rajin dan sudah berusaha bersungguh-sungguh. Setiap anak ni berbeza. Mungkin kecenderungannya lebih kepada bidang lain dan bukan dalam aliran sains. Walaubagaimanapun, masih ada masa lagi untuk dia meningkatkan lagi prestasi yang ada. Kan Ros?” Saya menyebut penuh hati-hati, risau juga melihat nafas kencangnya turun naik menahan rasa marah.

Ros mengangguk takut-takut. Kasihan saya melihat keadaannya,lesu tanpa rasa yakin pada diri.

“Takkan nak jadi pereka fesyen kot?” kata bapa Ros lagi dengan nada yang agak sinis.. Agaknya sudah ada perbincangan tentang perkara tersebut di antara mereka.

“Tak apalah.” Hati saya berbisik. Saya memandang dan mengukir sedikit senyum. Agak kelat sekadar berbahasa. Sukar menjelaskan andai hati tidak terbuka untuk menerima. Hajat untuk memberi penerangan lanjut tentang anaknya saya pendam sahaja.

Lagipun, apalah yang penting sangat dengan nasihat seorang guru sekolah, ditambah dengan usia yang jauh lebih muda dengan pengalaman yang jauh lebih cetek darinya.

Tiada paksaan bagimu....

“Keluarga kita belum ada lagi dalam bidang perubatan. Keputusan An memang layak sangat untuk ke aliran sains. Abang dah terlepas peluang ni, adik beradik yang lain belum tentu dapat peluang yang sama. An fikirlah, Abang harap sangat An masuk aliran sains ni. Tapi apapun, An pilihlah yang terbaik untuk An.” Antara ayat terakhir di dalam surat abang sulong saya, Engku Md Azmi selepas mendapat keputusan SRP.

Panjang lebar surat Abang, menjelaskan pro dan kontra berada dalam aliran sains dan sastera. Hampir 4 helai kertas A4! Masih saya ingat dengan jelas isinya, terutama barisan ayat-ayat terakhir.

Abang memang menjadi rujukan dan sumber inspirasi kami sekeluarga selepas ayahanda dan bonda, terutama tentang pelajaran. Orangnya sangat tegas, namun tidak mengongkong. Ketika itu Abang sedang menyambung pengajiannya di UTM Skudai dalam bidang arkitek.

“Abah dan Che tak kisah, An pilih la yang terbaik.” Kata ayahanda lembut menenangkan hati saya.

Kecintaan saya kepada Bahasa Arab tak dapat dibendung walaupun ianya agak asing di kalangan ahli keluarga. Meskipun jaminan dan peluang pekerjaan belum menampakkan kecenderungan menyebelahi pelajar aliran agama di waktu itu, hati saya tetap terpaut pada keindahannya.

Setelah ditimbang-timbang, dengan kemampuan dan kecenderungan pada diri, saya memilih aliran sastera agama, dan seterusnya menerima tawaran ke Kolej Islam Kelang.

Pilihan yang diterima dengan penuh sokongan oleh orang-orang yang saya sayang. Inilah penguat untuk saya melangkah ke depan tanpa perlu menoleh dan menyesali apa yang telah ditinggalkan.

Walaupun tidak belajar tinggi, namun ayahanda dan bonda menanam rasa yakin dalam diri setiap anak, bahawa Allah tidak akan menutup rezeki bagi orang yang berilmu.

Bumi Allah ini luas dengan lautan ilmuNya yang tidak bertepi. Halakanlah wajah ke mana sahaja. Carilah ia di mana sahaja. Selagimana ada kesungguhan menuntut ilmu, selagi itu barakah mengiringi hidupmu.

Tiada paksaan.

Mukmin Hebat

Itulah yang menjadi bekalan untuk saya menghadapi hari-hari yang mendatang, meyakini bahawa setiap kesusahan dan kesenangan dalam kehidupan adalah ujian untuk setiap hambaNya yang beriman.

Itu jugalah yang sepatutnya menjadi keyakinan pada setiap ibubapa yang diamanahkan zuriat penyambung warisan.

Anak-anak bukanlah hak milik mutlak kita yang boleh dijamin hasilnya sebagaimana yang diinginkan.

Anak-anak bukanlah sekadar jasad yang boleh dipastikan bentuknya setelah dicanai mindanya.

Setiap satu di antara mereka tiada yang serupa. Hatta si kembar yang berkongsi uri yang sama.

Mereka adalah individu yang tersendiri dengan perwatakan yang tersendiri, yang mengharapkan tangan-tangan kita untuk memimpin mereka ke jalan yang di redhai Ilahi.

Berilah ruang kepada mereka untuk mengenali diri, mencari kekuatan dan membina keyakinan diri sebagai muslim mukmin yang hebat dalam setiap tindakan.

Mudah-mudahan merekalah salah satu batu bata yang akan mengukuhkan binaan ummah akhir zaman.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis.

Tuesday 13 December 2011

Di manakah kuncinya...



Termenung saya seketika. Saling berpandangan dengan suami ketika menikmati minum petang sekeluarga.

Terpegun mendengar Wardah yang rancak bercerita tentang pembelajaran di sekolahnya hari ini.

“Kak Lang belajar tentang haji hari ni, Baba. Best!” Wardah mula bercerita.

“Oh.. subjek apa ada bab haji tu?” Tanya suami saya agak tertarik.

“Hari ni ada RE (Religious Education). Cikgu ajar tentang Islam, tajuk hari ni tentang haji.” Ulas Kak Lang Wardah.

RE adalah salah satu subjek yang mana sukatannya ialah tentang beberapa agama di dunia. Permulaannya, saya agak bimbang, sentiasa mengingatkan anak-anak supaya menyampaikan dan berbincang dengan saya dan suami apa sahaja yang disampaikan oleh guru ketika pembelajaran tersebut. Maklumlah, dengan bilangan muslim yang minoriti, potensi salah faham berlaku agak besar.

“Cikgu ajar macamana nak tawaf, sai, melontar batu, apa dia telaga zamzam, cerita tentang nabi Ismail, pakaian masa tawaf. Cikgu suruh semua buat cara tawaf,sai dan melontar tu. Seronok! “ sambung Wardah lagi sambil menunjukkan simulasinya satu persatu dengan tertib.

Oh! Sangat detail. Semuanya diajar mengikut syaratnya walaupun tidak disenaraikan satu persatu.

“Kalau subjek tentang agama lain, ada ke Kak Lang kena buat apa-apa lakonan?” Tanya saya. Agak risau juga kalau-kalau ada ritual yang tak sepatutnya dilakukan.

“Tak adalah Mama. Biasa kalau tentang subjek lain, cikgu cerita je, tapi kalau tentang Islam, mesti ada aktivitinya. Cikgu pun excited nak buat tau Mama.” Beritahu Kak Lang.

“Betul la, last year kelas Wawa belajar tentang aqiqah, cikgu bagi gula-gula lepas cerita pasal tu.” Wawa pula mengiakan. Agaknya simbolik kepada memberi makanan yang manis kepada anak-anak.

Teringat saya hampir 7 tahun yang lepas, ketika saya mengajar di sebuah SMKA, atas inisiatif Panitia Agama dan penggembelingan tenaga hampir semua guru, Program Simulasi Haji di jalankan untuk semua pelajar tingkatan 5. Diikuti dengan tunjukcara sembelihan dan seterusnya kenduri makan tengahari hasil sembelihan anak-anak pelajar sendiri.Aktiviti yang sangat membantu dalam memberi faham pelajar, juga membentuk kerjasama dan menjalin ukhuwah sesama guru.

Pengalaman yang memberi kenangan manis pada seluruh warga sekolah yang terlibat.

“Sepatutnya kita yang ajar semua tu, kan?” saya bersuara perlahan kepada suami selesai mendengar cerita kak lang. Suami mengangguk tanda setuju.

Walaupun tiada ruh deen, diajar oleh guru yang berbeza agama, namun ianya melekat di hati mereka.

Laporan Akhir Tahun

“Kenapa aku tidak mampu buat begini?” 14 tahun menjadi pendidik menyebabkan terdetik rasa malu dan cemburu di hati saya apabila membaca laporan akhir tahun persekolahan anak-anak.

Meninjau corak laporan yang begitu terperinci bagi setiap mata pelajaran, baris-baris ayat yang menanam sikap yakin diri menimbulkan rasa kagum di hati saya, betapa indahnya andai kita juga mengenali setiap watak anak-anak didik sedemikian rupa.

Manakala ulasan keseluruhan memberi kesimpulan kepada laporan yang diberi di dalam setiap subjek.

“Balqis is developing into a confident young person. She is a very hardworking student, even though her character is quiet, Balqis has a mischievous, but studious attitude to work.” Laporan akhir tahun guru kelas Balqis.

“Sarah is a very active member of the form group, participating in all aspects of school life. She has shown her commitment by representing the school and participates in class discussions regularly.”

“Wardah is a polite and friendly individual and has worked extremely well during the year. However she needs to gain in confident to join in class discussion.”

“Najwa is very polite and softly-spoken and always willing to attempt work, even if she thinks it is difficult. She has a good circle of friends and is kind to new pupils. She is a pleasure to have in the classroom and is eager to learn.”

“Nada is able to hold a pencil correctly as well as scissors carefully during crafts activities. Nada likes using the scooters and tricycles on the yard. It has been an absolute pleasure to teach Nada. Nada and I are great friends and I will really miss her next term.” Mrs Jones memberi ulasan terakhir sebelum Nada bertukar ke kelas lain di sesi akan datang.

Laporan yang biasa-biasa dan tidak penting bagi kita, tetapi amat berharga dan tinggi nilainya dalam membentuk harga diri anak-anak.

Bagi saya, terlalu ramai anak-anak kita yang mempunyai nilai-nilai positif tersebut. Namun, kepekaan terhadap peningkatan dalam matapelajaran semakin menjadi keutamaan menyebabkan nilai-nilai yang membina keyakinan dan jati diri agak dikesampingkan. Kecenderungan kepekaan terhadap sikap hanya menjadi berat dan mendapat perhatian andai pelajar itu bermasalah.

Pembelajaran yang menyeronokkan

Termenung saya berfikir, apakah ini fenomena semua atau hanya anak-anak saya sahaja yang mengalaminya.

Tidak! Rata-rata dalam berbicara sesama para ibu yang saya temui, juga menyatakan perkara yang sama. Keseronokan mereka melalui hari-hari persekolahan, sanggup hadir walau disuruh berehat ketika kesihatan tidak mengizinkan.

Bercerita tentang sekolah seperti bercerita baru pulang dari rombongan melawat dan bercuti.

Bukan hanya anak-anak di sekolah rendah, juga yang berada di sekolah menengah.

Realiti yang agak pahit untuk diakui. Pahit tapi benar.

Apakah yang kurang pada cara ‘kita’ menyampaikan pengajaran pada mereka?

Dengan bilangan subjek yang banyak dan pelbagai, sukatan yang jauh lebih hebat dan ‘homework’ yang tidak putus-putus.

Dengan kemudahan prasarana yang tak kurang hebatnya. Juga terlatihnya para pendidik dalam bidang masing-masing.

Sewajarnya kita mendahului mereka dalam menambat hati dan minda anak-anak.

Sebenarnya pada kita tersimpan kunci untuk membentuk anak-anak yang hebat jasad dan mindanya, kuat keyakinan diri dan mampu berfikir dengan kritis dan kreatif.

Dengan kecenderungan fenomena pendidikan hari ini,bagaimanakah generasi yang kita harapkan akan lahir di masa akan datang?

Adakah anak-anak cemerlang yang mampu menjawab semua soalan peperiksaan, menghafal semua fakta dan menganalisis semua ujikaji di makmal?

Adakah anak-anak yang hebat yang berjaya mengumpul deretan ‘A’ yang melimpah? Bagaimana pula yang kecundang di dalam peperiksaan? Adakah mereka tiada sebarang tempat dan masa depan?

Generasi anak-anak yang bagaimanakah akan kita tinggalkan?

Di manakah kuncinya?

Minda saya ligat berfikir.

Anda pula bagaimana?


Ummu Balqis.

Friday 9 December 2011

Matangkan Mereka Dengan Perkongsian



Sungguh... Bukan senang melenturkan sedikit rasa ego seorang ibu atau bapa terhadap anak yang dikasihi. Secara fitrahnya, ibubapa memiliki rasa ingin menguasai dengan sebab yang murni, membimbing dan menyalurkan anak-anak ke jalan yang memberi manafaat untuk mereka di kemudian hari.

Bercampur emosi yang tinggi dengan keletihan tahap maksimum si ayah dan ibu melaksanakan tanggungjawab seharian.

Sehinggakan kadang-kadang penggunaan kalimah tidak tercapai tahap pemikiran akal si anak yang masih terkapai-kapai minta dibantu.

Sehinggakan terlupa untuk mengukir senyum untuk si anak. Juga pelukan yang mampu mencairkan keletah ‘nakal’ anak-anak yang sedang meningkat remaja. Apatah lagi bergurau senda dan bercerita.

Mengharapkan anak-anak memahami keletihan ibu.

Mengharapkan anak-anak peka kesusahan ayah.

Namun sayang, di hati anak-anak, bukan itu yang mereka fikirkan.

Semakin hari, jiwa semakin memberontak.

Semakin lama, semakin tebal rasa yang terbuku.

“Semua mesti ikut cakap, bosan betul la..”

“Asyik tak betul je apa yang kita buat...”

Keluh si anak tiada siapa yang tahu.

Sesekali, berilah peluang untuk mereka bersuara, memberi pendapat dan membuat keputusan.

Pada masa yang sama, memberi faham atas setiap keinginan yang mereka tuntut untuk difahami dan diikuti.

Menyuntik iman dan kesedaran bahawa di sana ada batas dan sempadan yang perlukan garis panduan.

Izin bersyarat

“Minggu ni Mama tak izinkan semua anak-anak hadir aktiviti “5:60”. Saya membuat pengumuman mengejut.

Aktiviti selepas waktu sekolah setiap hari selama sejam yang diikuti oleh para pelajar seperti trampoleining, climbing, basketball, football dan berbagai permainan lagi. Hampir dua bulan anak-anak saya mengikuti aktiviti ini. Sangat menyeronokkan mereka. Banyak kemahiran yang mereka dapat melalui aktiviti ini.

Semua wajah sedikit masam, tanpa suara.

“Cuba ingat balik, apa janji anak-anak sebelum join aktiviti ni?” Soal saya agak tegas.

Tempoh dua bulan yang menggembirakan, rupanya menjadikan anak-anak agak terbabas daripada amalan seharian yang perlu menjadi keutamaan walaupun ingatan sentiasa diberi.

“Tak boleh lupa amalan setiap malam, tilawah al-Quran dan baca ma’thurat..” suara Wardah memecah sunyi setelah berdiam agak lama.

Amalan yang cuba kami serapkan agar sebati menjadi benteng diri. Lebih-lebih lagi berada di perantauan yang serba terbuka dengan segala macam dugaan berupa keseronokan. Selain pengisian berkala yang menjadi rutin mingguan.

“Hmm.... Mama izinkan anak-anak ikuti semua aktiviti tu untuk sihatkan badan, jadi mukmin yang cergas, sebab Allah suka mukmin yang sihat dan cergas akal dan badannya. Tapi sihat dan cergas saja tak cukup untuk nak jadi orang yang Allah sayang.” Setiap wajah mereka saya pandang satu persatu.

“Cergas badan, pada masa yang sama, al-Quran ada di hati, baru betul-betul Allah sayang. Kalau tak boleh buat kedua-duanya, tinggalkan satu. Lepas seminggu ni, anak-anak buat keputusan sendiri nak yang macamana. Minggu ni, kita off semua aktiviti tu.” Saya mengakhiri kata-kata beserta keputusan muktamad.

Semua diam, namun terpaksa akur. Minggu akan datang kita buat akujanji baru.

Duit tabung

“Mama, Along nak join ‘Fencing Club’ boleh tak?” Soal Along sebaik saja masuk kereta pulang dari sekolah.

“Apa? Dancing?”Terkejut saya dengan permintaan Along.

Semua ketawa melihat saya yang terkejut bercampur hairan.

“Tak la Mama ni.. ‘Fencing Club’ tu, belajar cara main macam pedang tu. Yurannya £4.00 untuk 1 sesion. Ada lima session dan setiap session tu satu jam setengah.” Along ketawa lagi sambil menjelaskan panjang lebar kepada saya.

“Oo.. Boleh, boleh,tapi bersyarat. Oleh kerana aktiviti tu bukan anjuran sekolah, yuran tu, kena la guna duit tabung sendiri, ok?”

“Boleh? Ok Mama. Along guna duit tabung..” Jawab Along cepat. Seakan tidak percaya saya izinkan untuk dia menyertai kelab tersebut.

Sedikit kejutan untuknya, keizinan menyertai ‘Fencing Club’ tapi terpaksa mengeluarkan duit tabung. Saya tahu hatinya berat tapi kemahuan mengatasi segalanya. Sekadar menguji sejauh mana kesungguhan Along kali ini.

“Err.. Baba bagi ke Along join ni Mama?” tiba-tiba ada sedikit gusar di wajahnya.

“Tak pa..... Keputusan Baba sama macam Mama, Insya Allah. Baba dah izinkan Mama buat keputusan apa-apa berkaitan anak-anak di sekolah. Yuran tu, jangan risau, nanti Mama bagi tau Baba." Jawapan saya melegakan hati Along.

Membahagiakan dan memberi didikan

Setiap inci kehidupan ini adalah ruang yang Allah sediakan untuk kita mendidik anak-anak. Setiap hari yang dilalui sentiasa ada pengalaman baru yang tercipta. Tiada siapa yang sempurna sebagai ibu dan bapa. Setiap detik waktu, kita sentiasa belajar dan terus belajar. Belajar melalui pengalaman dan belajar daripada kesilapan.

Menyemai kasih dan rasa tanggungjawab sebagai persediaan untuk mereka meniti dewasa.

Menyalur rasa yakin diri sebagai mukmin yang hebat dan mampu memberi manafaat kepada orang lain.

Mendidik anak-anak bukan bermaksud memberi syarahan dan pengajaran tentang akademik semata-mata.

Membahagiakan mereka bukan sekadar menyempurnakan keperluan material mereka sepenuhnya.

Mendidik dalam erti kata mereka mampu berhadapan dengan realiti hidup yang jauh lebih besar daripada mengumpul deretan ‘A’ di dalam peperiksaan.

Membahagiakan dalam erti kata memahamkan mereka dengan tanggungjawab sebagai mukmin yang mengumpul kekuatan untuk bekalan berhadapan dengan Yang Maha Penyayang.

Menyerapkan al-Quran di dalam hati agar lahir dalam tindakan.

Sekali sekala, gembirakan mereka dengan memenuhi keinginan yang bergolak di dada, selagi tidak lari daripada landasanNya.

Sekali sekala juga, jentikkan hati dengan rasa tanggungjawab dalam setiap tindakan mereka.

Memberi ruang mereka berfikir, meluahkan dan memandu mereka ketika membuat keputusan. Walaupun mungkin ianya tidak menggembirakan hati kita, cukuplah panduan untuk mereka bahawa pilihan yang dibuat tidak memudharatkan mereka di kemudian hari.

Mendidik mereka menghargai kepercayaan yang diberi dalam membuat keputusan untuk diri sendiri. Juga mendidik rasa tanggungjawab dan belas kasihan dengan mengeluarkan sebahagian hak simpanan untuk diri sendiri dan orang lain.

Meyakinkan anak-anak bahawa, matlamat akhir dalam semua tindakan yang dipilih sepanjang kehidupan ini akan membawa kesan di alam yang kekal selamanya.

Semuanya bermula daripada keyakinan kita sebagai hamba Allah yang sentiasa berterusan mencari redhaNya demi mencapai bahagia yang hakiki di alam abadi.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis.

Wednesday 19 October 2011

Hujung minggu di Swansea


Hari paling panas sepanjang summer jatuh pada hari Sabtu minggu terakhir September lalu. Suhunya mencecah 32 darjah celcius. Cukup panas bagi kami di Lampeter yang sentiasa bersuhu 14-16 darjah.

Alhamdulillah. Keseronokan berganda untuk semua, dapat merancang aktiviti luar sebelum datangnya‘autumn’ yang diiringi dengan hujan dan angin kuat sepanjang musim. Menggugurkan dedaun hingga meninggalkan dahan sahaja.

Beberapa keluarga di pekan Lampeter merancang aktiviti berkelah di tepi pantai Mumbles, Swansea. Perjalanan memakan masa selama 1 jam 15 minit. Sambil mengisi kembali stok ayam dan daging yang hampir kehabisan.

Semestinya yang paling seronok ialah anak-anak. Dengan berbagai persiapan dan kelengkapan, semuanya tak sabar-sabar berlari ke pantai.





Hampir 3 jam di sana, terbayang kepuasan anak-anak. Bukan senang nak bermain di pantai. Suhunya panas, airnya tetap sejuk. Walaubagaimanapun, hilanglah sedikit kerinduan di tanahiar, walau cerianya tidak sama sepertimana bersama saudara mara.

Bergerak daripada pantai, kami singgah di deretan kedai halal di bandar Swansea untuk membeli bekalan ayam dan daging serta keperluan lain.

Kemudiannya kami menziarahi Saudara Musa dan Basma, kenalan warga Libya yang baru berpindah ke Swansea setelah 2 tahun menetap di Lampeter. Memenuhi jemputannya, yang sekian lama menanti kehadiran jiran lama dari Lampeter.

Menyegarkan kembali tautan ukhuwah. Mengikat hati dengan mawaddah.

Usai solat maghrib, kami berangkat pulang. Semua keletihan, namun terpancar kepuasan.

Alhamdulillah, hari yang ceria untuk semua.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Sunday 9 October 2011

Thank you Mama...


“Mama tak sedih ke bila Along dapat markah rendah dalam exam?” Tanya Balqis kepada saya satu petang ketika kami sedang menyediakan makan malam.

“Kenapa pula?” soal saya.

“Ye la, dulu masa sekolah rendah, markah Along tak elok untuk subjek sains, mama tak marah pun.” Sahut Along Balqis.

“Betul tu, Angah jarang dapat markah ‘highest’ pun, mama tak pernah nampak sedih pun.” Angah Sarah pula menyampuk sambil menyusun pinggan.

“Kalau markah tinggi, Mama kata, Alhamdulillah bagus. Kalau markah rendah, Mama selalu kata, ok la tu... tak pe la...nanti usaha lagi” kata Sarah lagi sambil mengikut gaya saya bercakap.

Aduhai anak-anak ni... Kadang-kadang pening bercampur lucu pula melihat gelagat mereka.

Anak-anak saya yang berdua ini, suka menimbulkan cerita dan isu yang nak dikongsi. Agaknya sesuai dengan tahap kematangan yang semakin bertambah. Suka bercerita dan meminta pendapat itu dan ini, hingga ada kalanya tak terjawab mama dan baba dengan persoalan mereka.

“Kawan Along beritahu dulu, bila dia dapat B dalam peperiksaan, ayahnya marah sangat sampai tak nak tegur dia.” cerita Along lagi dengan penuh perasaan.

Saya menarik nafas panjang.

“Ok, apa yang mama selalu pesan pada anak-anak?” Tanya saya, mengingatkan mereka kembali pesanan saya sepanjang musim persekolahan dan peperiksaan.

“Mama suruh belajar dan ulangkaji sebelum peperiksaan, dah lepas tu, mama takkan kata apa-apa lagi.” sebut Along panjang lebar.

Angah Sarah terangguk-angguk mengiakan. Tanda sokongan.

“Pandai! Ingat pun apa mama cakap. Sebab tu la mama tak marah. Kalau marah macamana sekalipun, markah tu tetap tak boleh berubah. Betul tak?” jawab saya bersahaja, mengiyakan kata-kata mereka.

Bersyukur yang tidak terhingga, ruang untuk saya menyelami isi hati anak-anak yang sedang meningkat usia ini diluaskan oleh Allah swt ketika hadir di perantauan ini. Suasana yang tidak terlalu terikat dengan jadual harian yang sangat padat seperti sebelum ini memberi peluang yang lebih untuk menguatkan ikatan hati antara kami.

Banyak perkara yang dikongsi.

Banyak juga persoalan itu dan ini.

Kadang-kadang ‘letih’ juga melayannya...

Kali ini tentang pelajaran. Seolah-olah Mama tiada perasaan menerima markah yang kurang. Tidak seperti ibubapa orang lain.

Thank you, Mama...

Pada anak-anak saya jelaskan, konsep dalam menuntut ilmu yang sebenarnya.
Betapa berbezanya darjat orang yang berilmu dengan orang yang jahil.
Betapa susahnya proses mencari ilmu, memerlukan usaha yang sememangnya bercanggah dengan rasa hati yang ingin rehat yang panjang, tidur tanpa gangguan dan hiburan yang melalaikan.
Semuanya perlukan semangat yang tinggi.

Pada mereka saya ingatkan, betapa mudahnya jalan menuju kehancuran. Semuanya selari dengan hati dan kemahuan. Tanpa perlunya usaha yang memenatkan.

Semua boleh. Apa saja.

Tidak perlu ikut peraturan. Tidak perlu ada undang-undang.
Tidak perlu sebarang nasihat, teguran dan larangan.
Boleh menonton televisyen bila-bila masa. Apa rancangan yang kita suka.
Boleh tidur sepanjang hari, tanpa perlu dikejutkan hingga menjelang tengahari.
Boleh membaca apa sahaja bahan bacaan. Tanpa sebarang kawalan.
Boleh melayari internet, tanpa wujud rasa takut.
Semua boleh!

Masya Allah! Menakutkan.

Pada mereka saya ingatkan, yang paling penting atas setiap perkara ialah usaha yang berterusan. Bukan natijah yang menjadi keutamaan. Apabila usaha sudah sehabis daya kemampuan, natijah masih kurang, tiada apa yang perlu dikesalkan.

Yang paling penting adalah DOA, USAHA dan KEMAHUAN.

“Kita lulus peperiksaan, bukan kerana kita pandai dan rajin semata-mata, gagal pula bukan bermakna bodoh.” Ulas saya kepada mereka.

Berkerut muka Balqis dan Sarah memahamkan kalimah saya.

“Tak faham la mama” kata Along Balqis. Sarah mengiakan juga.

Alhamdulillah. Saya ungkapkan cerita saya untuk mereka.
Dulu mama pernah melalui situasi yang sama. Pernah juga melalui kegagalan.
Namun, istilah menyesal dan kecewa, mama cuba buang jauh-jauh daripada kamus hati mama. Mama belajar sesuatu yang sangat mahal daripada itu.

Bimbangilah andai diri gagal mendapat peringatan dan kasih sayang Allah swt.

“Atas setiap perkara, yang Allah nilai adalah usaha. Berjaya atau tidak, itu hak Allah yang tentukan. Buktinya, ada juga orang yang mengulangkaji tapi gagal. Ada juga yang kurang berusaha, mendapat markah yang baik. Yang penting, Allah sangat suka orang yang bersungguh-sungguh, dan sejauh mana kita berharap dengan Allah swt. Sebab tulah... Kita kena sentiasa doa dan target untuk buat yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan.” Saya cuba menguraikan kekusutan di dalam hati mereka sambil memberi penekanan pada ayat yang hujungnya.

Yakinlah, walau apa yang berlaku dalam kehidupan, itulah yang terbaik Allah aturkan.

Bukan hanya tentang peperiksaan.
Hilang orang yang kita sayang.
Gagal dalam rumahtangga.
Kecewa dalam kehidupan.
Begitu juga dengan ujian kesakitan.

Walau pahit untuk kita telan. Walau tercalit rasa penyesalan.

Masa akan mengubat segalanya. Sungguh.... Tiada yang lebih indah dari itu.
“ Ooo... sebab tulah Mama tak marah kita pun, kan Along. Thank you Mama.” tersengih Sarah disambut dengan tawa Along.

Doa mama untuk anak-anak, bukan hanya pandai dan berjaya dalam peperiksaan, lebih utama tahu membezakan antara haq dan batil sebagai pembatas setiap inci perbuatan sepanjang perjalanan ini.

Berpada-padalah...

Buat saya dan anda, ingatkanlah diri bahawa anak-anak adalah insan yang berbeza setiap satunya, mempunyai kemampuan yang berbeza, juga kecenderungan yang berbeza.

Buat saya dan anda, berpada-pada menyandarkan harapan dan keinginan diri sendiri, agar tujuan menuntut ilmu yang sebenarnya dapat anak-anak hayati dan serapkan dalam diri.

Buat saya dan anda, ingatkanlah diri bahawa kegagalan yang diterima bukanlah bermakna berakhirnya peluang dalam kehidupan.

Bangkitlah dengan semangat dan keyakinan.

Sesungguhnya Allah mengasihi insan yang berbaik sangka dengan segala ketentuan.

Hanya Allah matlamat hati ini.
Ummu Balqis.

Thursday 6 October 2011

Warkah 1


Permata hati mama...Semoga tenang dalam ni'mat iman...

Anakku.. Berusahalah atas apa yang menjadi keinginanmu, pun begitu, jangan anak mama lupa.. bukan semua yang keinginan, mampu digapai dengan mudah. Setiap manusia, ujian yang tersedia adalah berbeza. Sebagaimana uniknya Allah mencipta kita dengan tiada satu persamaan, begitu jugalah uniknya berbezanya ujian yang tersedia sepanjang perjalanan hidup kita di muka bumi ini...

Berusahalah anakku tanpa jemu, terutama dalam menuntut ilmu. Memang anakku, tiada yang indah dalam melawan nafsu...

Yakinlah janji Allah buat hambaNya yang dikasihi...

Salam sayang,
Mama

Saturday 24 September 2011

i wonder why...


“Mama, I wonder why people always don’t like something that’s good for them. “ Luah Wawa (nama timangan Najwa) tiba-tiba. Bersahaja. Sambil itu, mulutnya rancak mengunyah buah epal, menghabiskan bekalan yang dibawa ke sekolah pagi tadi, sambil menunggu Along dan Angah selesai sesi persekolahan. Wardah dan Nada khusyuk menikmati bekalan masing-masing.

Tersentak saya seketika yang sedari tadi asyik memerhati seorang ibu sedang meletakkan bayinya di dalam kereta dengan hati-hati. Apa tidaknya, Wawa kebiasaannya agak pendiam, lebih suka mendengar kakak-kakak bercerita itu dan ini. Agak susah memulakan kata. Dia adalah pendengar setia. Menunggu kakak-kakak bercerita hingga selesai dengan khusyuk sekali.

Anak saya yang seorang ini lebih suka melukis, membaca dan mengarang cerita-cerita pendek. Banyak memerhati daripada bercakap.

“Kenapa Wawa kata macam tu?” Soal saya kembali. Sengaja memancing untuk mendengar pendapatnya lebih lanjut lagi. Bukan senang nak mendengar Wawa mengeluarkan pendapat. Mungkin ini cara untuk mengetahui apa yang tersirat di fikirannya.

“For example, vegetables are good for our health, but I don’t really like it.” Tambahnya lagi.

“Oh... begitu” saya tersenyum sendiri. Anak-anak saya tidaklah terlalu memilih makanan. Cuma bila masuk bab sayuran ni, semuanya agak ‘terpaksa’ jika ada jenis-jenis yang mereka kurang gemar. Macam-macam cara juga saya cuba untuk membiasakan mereka.

“Do you like chocolate?” Saya bertanya

“Of course I do.” Jawabnya cepat sambil tersenyum lebar. Agaknya terbayang beberapa kotak coklat yang ada di dalam almari dapur rumah.

“Is it good for our health?” Saya menyoal lebih lanjut.

Diam. Teragak-agak untuk memberi jawapan.

“Em.. maybe...but we cannot eat it too much” Wardah pula menyampuk cepat.

“Excellent Kak Lang” Lebar senyum Wardah mendengar pujian saya.

“Kalau gitu, sayur tu kita nak buat macamana?” Saya menambah soalan.

“Kena makan jugak la sebab nak sihat” Wawa menjawab perlahan sambil tersengih.

“Pandai!” usik saya. Wawa tersipu-sipu.

“Makanan, apa yang baik untuk kita biasanya kita tak suka, kan? Dan apa yang kurang baik, itulah yang kita kita rasa sedap dan suka sangat. Betul tak?” Saya mulakan penerangan.

Wardah dan Wawa mengangguk. Masing-masing terbayang agaknya percakapan saya setiap kali memasak dan menghidangkan makanan yang saya tahu anak-anak agak kurang menggemarinya.

Lucu pula saya terbayang wajah mereka waktu disendukkan makanan yang mereka kurang sudi...

Kelat...

“Samalah juga dengan perkara-perkara lain, menonton tv, bermain memang seronok, kan? Tapi membaca al-Quran dan belajar kita rasa susah nak buat. Something good for us but we don’t really like it.” Tambah saya sambil mengulang kembali ayat Wawa tadi.

Cukup setakat itu. Terlebih panjang penerangan, dah tak masuk dalam fikiran.

Tersengih-sengih anak dara saya dua orang ni...

Kita cermin mereka

Memang benar, tidak termampu rasanya memikul tanggungjawab ini, tanpa ilmu.

Masakan kita boleh memberi penerangan dan pengajaran tentang itu dan ini, tanpa ada sebarang pengetahuan mengenai sesuatu perkara.

Dan.. wahai ibubapa, kita adalah segala-galanya bagi permata hati kita.

Kitalah sekolah pertama mereka. Kitalah guru pertama mereka. Menanam iman dan ilmu di dada mereka. Kitalah doktor yang merawat jasad dan jiwa mereka.

Celikkan hati, bukakan pendengaran dan luaskan langkahmu...

Jangan berhenti mencari dan menggali khazanah ilmu yang terlalu luas dan melimpah ruah di muka bumi ini.

Amanah yang Allah sediakan ini bukan benda yang boleh dibina, apabila rosak boleh dimusnahkan begitu sahaja.

Amanah yang hidup dengan jasad dan jiwa. Meningkat usia dengan akar sekuat yang ditanam pada masa kecilnya, dan menghasilkan buah yang subur, masak dan ranum, andai sentiasa disiram dan dibaja dengan curahan iman, ilmu dan amal...

Mereka juga adalah cerminan kita...

Anak-anak adalah penonton setia lakonan kita di pentas dunia. Apa yang terzahir daripada ibubapa, akan terserap dalan fikiran, dan itulah yang akan mereka hayati di sepanjang kehidupan.

Hati-hati.. andai kita tersalah langkah, maka si anak berpaling kepada yang lain.

Alhamdulillh andai yang ditemui lebih baik daripada kita...

Tapi, bagaimana jika yang ditemui...

Merosakkan nilai fitrah yang ada pada diri...

Menjauhkan mereka daripada mengenali Yang Maha Esa...

Membutakan mereka daripada melihat laluan yang lurus dan sempurna...

Na’uuzu billah...

Sesungguhnya, di hari yang pasti adanya perhitungan segala amalan, tidak akan ditanya hasil setiap amal perbuatan, tetapi Allah akan mempersoalkan sejauh mana usaha yang kita lakukan.

Ayuh.. berusaha tanpa henti, agar penyesalan tidak akan mengiringi. Pada hari yang hadirnya adalah PASTI.

Hanya Allah Matlamat Hati ini

Ummu Balqis

Monday 19 September 2011

Ukhuwah yang terbina itu....


Kepala terasa berdenyut-denyut. Angin sepoi-sepoi ternyata tidak mampu mengurangkan tekanan haba yang menyerap kepanasan cuaca pada petang itu.

Balik dari kuliah berjalan kaki selama 20 minit tidaklah memenatkan sebenarnya.

Cuma hari itu, sampai di rumah sewa,tingkat 8 Imarah Masakin Uthman, saya terus ‘tumbang`.

Ah.. esok ada 2 maddah (subjek) lagi yang belum selesai. 2 rakan sebilik saya begitu tekun menelaah, persediaan terakhir untuk esok.

********************

“Kak Chik kena pergi ke klinik sekarang, ada temujanji dengan doktor petang ni.” Sayup-sayup telinga saya menangkap suara Kak Chik dari arah pintu bilik. Suaranya agak tergesa-gesa.

Berharap ada sesiapa yang sudi menemankannya ke sana.

Denyutan di kepala masih belum berkurang, mata juga belum mampu menahan silau cahaya yang menembusi tingkap bilik.

Diam. Tiada sebarang respon.

“Er... kami belum habis ulangkaji lagi.. Esok ada dua maddah lagi Kak Chik.” Ujar seorang sahabat saya lambat-lambat. Ada rasa bersalah dalam nada suaranya itu.

Sahabat yang seorang lagi diam tanpa kata.

Saya pula, di awang-awangan, tak mampu membuka mata, apatah lagi bersuara.

Kak Chik, kakak yang agak senior di antara kami. Seorang yang sangat gigih, sedang menyelesaikan pengajian peringkat sarjananya di Universiti al-Azhar.

Saya tahu waktu itu, Kak Chik sangat memerlukan teman untuk ke klinik.

Seboleh-bolehnya perjalanan secara berseorangan cuba dielakkan. Walaupun jaraknya tidaklah jauh.

“Tak apalah... Kak Chik pergi dulu”. Kata Kak Chik. Rendah nada suaranya.

Tiada lagi sebarang perbualan. Sepi.

Samada meneruskan ulangkaji atau berfikir perkara tadi.

Saya pula terus hanyut melayan kesakitan hingga tertidur lagi.

***********************

Keesokan malamnya, rumah kami dikunjungi oleh Kak Mie, seorang kakak yang telah berumahtangga, bersama anaknya.

“Nak ziarah adik-adik.” Katanya sambil menunggu suaminya yang pergi solat di masjid yang berdekatan .

Sambil minum dan bertanya itu dan ini, topik perbualan bertukar.

“Walaupun sibuk dengan urusan sendiri, hak ukhuwah jangan diketepi.” Nasihat Kak Mie kepada kami.

Perbualan rancak tiba-tiba menjadi terhenti. Semuanya membisu. Saya tertunduk.

Aduh.. ini mesti berkait dengan peristiwa semalam.

Malunya!

“Nilai dan tahap ukhuwah akan sentiasa di uji. Inilah salah satu ujiannya yang Allah swt sediakan. Sedikit pengertian dan pengorbanan seorang ukhti di kala sangat-sangat memerlukan.” kata Kak Mie dengan nada yang lembut.

“Kena jelas, berjaya atau sebaliknya dalam setiap urusan, kita dibalas bukan kerana usaha semata, tapi rahmat dan kasih Allah swt. Nilaian dan ganjaran Allah swt juga tiba pada perkara yang tidak disangka-sangka.” Tambah Kak Mie satu persatu.

Halus bahasanya. Meresap hingga ke tangkai jantung saya.

Tarbiyah ini...

Sudah 20 tahun cebisan peristiwa ini berlalu. Sungguh.. tidak pernah saya lupa.

Melekat kemas di lipatan ingatan saya.

Sangat menusuk ke dalam hati ini.

Halusnya tarbiyah yang Allah swt sediakan untuk mendidik hati saya. Supaya sentiasa peka dengan perkara dan suasana yang berlaku di sekeliling.

Menimbang sedalam mana yang dimengerti, dan setulus mana nilai ukhuwah yang telah diserap dalam diri.

Merasai nikmat tarbiyah dalam kehidupan. Bukan sekadar kata-kata yang diungkap dalam setiap pertemuan.

Bukan sekadar halwa telinga atau menjadi dendangan di majlis keraian.

Ukhuwwah fillah tidakkan musnah
Walaupun hujan walau badai mendesah
Tautan erat tak mungkin musnah
Dengan ismullah kita berbai’ah

Belajar mengenali diri melalui setiap langkah yang diatur dalam setiap hembusan nafas anugerah Allah swt.

Sudah lama ianya berlalu, tetapi nilai itu akan sentiasa saya suburkan dalam diri saya dan juga menjadi kayu ukur dalam kehidupan dan juga mendidik anak-anak.

Juga dalam mendidik anak-anak didik yang dikasihi.

Bahawa ukhuwah yang terbina itu...

Perlu sentiasa disemat dalam diri...

Bahawa nilai dalam berukhuwah kerana Allah akan sentiasa diuji.

Dengan hati dan perasaan. Jiwa dan jasad. Masa dan harta.

Memerlukan pengorbanan.

Sematlah di hati dalam-dalam...

Bahawa setiap langkah yang mendekatkan diri kepadaNya, pasti tidak akan rugi.

Walau nampak di mata seolah-olah kita terkorban jiwa dan rasa, kesuntukan masa atau kehilangan harta.

Fahamkanlah pada diri dan orang yang kita sayangi.

Dalam memahami konsep ukhuwah, nilai yang paling rendah ialah berlapang dada dengan kelemahannya.

Kerana kita juga lemah dan banyak kurangnya.

Setinggi-tinggi nilai dalam berukhuwah kerana Allah, itulah “ithar”, memberi keutamaan kepadanya melebihi keperluan diri sendiri.

Gali khazanah yang ditinggalkan oleh Kekasih Allah, Rasulullah saw dalam memahamkan maksud hebat ini.

Perasaan yang sangat mahal... hanya dapat dicapai oleh jiwa yang menuju redhaNya yang abadi.

Ingatlah sabda Rasulullah saw tentang tujuh golongan yang mendapat naungan Allah, di hari tiada naungan selain daripada naunganNya salah satunya iaitu:

“Dua orang pemuda yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu keranaNya, dan berpisah keranaNya.”
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim )

Hanya Allah matlamat hati ini.
Ummu Balqis.

Tuesday 13 September 2011

muliakanlah mereka....


“Bila orang nak datang lagi rumah kita, mama? “
“Ada sapa-sapa nak datang rumah kita hujung minggu ni, baba?”
“Angah nak ajak kawan-kawan datang rumah boleh tak, baba?”
“Kak Lang pun. Wawa pun nak ajak jugak kawan-kawan datang rumah”

Soalan mingguan anak-anak saya semenjak tinggal di Lampeter ini. Agaknya terasa benar mereka, keganjilan dan kesunyian melalui kehidupan tanpa dikelilingi saudara mara dan sepupu-sepupu yang sangat rapat antara satu sama lain ketika di tanahair.

Itu jugalah yang menyebabkan terdetik rasa bimbang di hati saya sebermulanya kehidupan di perantauan ini. Jika dulu, jauh dari kampung halaman ketika berseorangan, tidaklah menjadi kerisauan. Apatah lagi setahun sebelum kehadiran kami di sini, suasana kehidupan di tanahair sangat meriah dengan kehadiran arwah bonda di rumah kami.

Sedari dulu, bukan juga menjadi kebiasaan kami untuk bercuti ke tempat-tempat peranginan. Masa cuti persekolahan seboleh-bolehnya diisi dengan program balik ke rumah orang tua di utara dan juga pantai timur tanahair. Dengan bilangan ahli keluarga di kedua pihak yang agak ramai, suasana “haru biru” ini menjadi sangat meriah dan dirindu bila berjauhan.

Itu baru sanak keluarga terdekat.

Ditambah dengan sikap suami dari awal perkahwinan lagi sangat suka menjemput dan meraikan kehadiran tetamu ke rumah kami tanpa mengira masa. Terutama pada bulan Ramadhan dan Syawal.

Tersenyum sendiri pula saya bila terkenang di awal perkahwinan dulu, menangis takut kerana tidak terbiasa memasak hidangan dalam bilangan yang besar. Alhamdulillah suami sentiasa bersedia membantu dan memberi sokongan.

Hati menjadi seronok dan gembira menerima setiap kunjungan yang datang.

Anak-anak pula sentiasa sanggup “berkorban” bilik mereka, menjadi nomad seberapa hari yang perlu asal tetamu selesa dan senang di rumah.

“Kalau ada tetamu, anak-anak kena banyak tolong mama.”
“Kalau ada tetamu, anak-anak kena berkongsi bilik.”
“Kalau ada tetamu, barang mainan kena main sama-sama.”

Semua syarat diterima dgn senyuman lebar.
“Ditanggung beres” anak-anak mama member jaminan.

Tiada istilah “bad mood”. Tiada rungutan penat dan letih. Tiada wajah yang masam mencuka.

Cuma terkadang sikecil Nada, masih belajar mengenal erti perkongsian.

Alhamdulillah. Yang lainnya ceria.

Indahnya didikan Allah

Cara kami membiasakan anak-anak, bahawa berkongsi itu adalah lumrah dan perlu disemai. Manakala hak ingin memiliki dan kedekut dengan barang sendiri itu sikap buruk yang sangat perlu dihindari.

Membiasakan anak-anak memberikan yang terbaik yang termampu untuk orang lain.

Membiasakan anak-anak menerima setiap tetamu yang datang dengan wajah yang manis dan hati yang berbunga.

“Mainan ni dah patah.” “Tak pe.. nanti kita betulkan.”
“Buku cerita ni dah kena conteng”. “ Tak pe.. nanti cuba padamkan”
“Habislah rumah bersepah.” “Tak pe... nanti sama-sama kemas.”
“Habis pecah pinggan dan cawan.” “Tak pe.. buang saja yang pecah..”

Mendidik diri agar jangan membiasakan hati dengan kerisauan yang panjang yang menjauhkan ikhlas.

Membiasakan anak-anak bahawa menyayangi sesuatu barang berpada-pada. Jangan terlalu berlebihan. Bahawa semua yang elok akan rosak. Semua yang baru akan buruk. Tiada yang indah selamanya. Tiada yang kekal.

Mengingatkan anak-anak betapa besarnya harga ikhlas yang hendak diserapkan dalam diri, perlukan mujahadah yang sangat tinggi.

Mengingatkan anak-anak bahawa setiap tetamu yang datang, walau siapapun orangnya, mereka memasuki rumah dengan membawa barakah, dan meninggalkan rumah kita dengan menghilangkan dosa yang ada.

Subhanallah... Indahnya didikan Allah dalam urusan memuliakan tetamu.

Indahnya didikan Allah dalam urusan mendidik hati dengan sifat ikhlas.

Cukuplah ini sebagai ingatan

Menelusuri seerah zaman Rasulullah ... apabila ditanya siapakah yang sudi menerima seorang miskin sebagai tamunya. Segera seorang Ansar bangun dan menyanggupinya.

Bersegera dia pulang ke rumah dan menyampaikan kepada isterinya.

“Bahawa kita akan menerima seorang tamu Rasulullah, maka sediakan tempat yang terbaik untuknya, dan masaklah makanan yang terbaik untuknya “

Si isteri menjawab perlahan, “makanan yang ada hanya mencukupi untuk keperluan anak-anak kita yang sedang lapar.”

Apabila si tetamu datang, ketika berbual, lampu tiba-tiba terpadam, sahabat menenangkan tetamu sambil menunggu isteri yang sedang memasak sesuatu di dapur.

Selesai memasak, dihidangkan makanan kepada tetamu, dan masing-masing menjamah hidangan.

Di dalam kegelapan.

Rupanya, si isteri, menenangkan anak-anak sehingga mereka tertidur.

Rupanya yang menjamah makanan hanyalah tetamu yang diraikan.....

Mereka sanggup kelaparan...

Allah... hati yang merasai nikmat iman....

Sentiasa merasa cukup di dalam kurang, senang di dalam susah, kaya di dalam miskin, banyak di dalam sedikit....

Kerana meyakini janji Ilahi...

Ikhlas dan redha....

Tanpa rungutan..

Cukuplah ini sebagai ingatan, dalam mengasah sinar fitrah yang suka kepada kebaikan tersedia dalam diri...

Dan meyakini janji Allah pada setiap amal kebaikan itu, akan mendekatkan kita kepada redha Allah yang dicari...

Biar sekecil manapun ia...

Hanya Allah matlamat hati ini.
Ummu Balqis.

Thursday 8 September 2011

“Welcome Back”

Ramadhan Yang Indah

Sudah lama ruang ini menyepi. Bukan tiada perkara yang nak dikongsi. Terlalu banyak sebenarnya. Cuma keseronokan dan kesibukan melalui fatrah “summer holiday” yang sekaligus di dalamnya Ramadhan bersama keluarga membantutkan keinginan membuat sebarang catatan..

Sibuk menyusun agenda sepanjang Ramadhan bersama anak-anak.
Sibuk juga memastikan agar semuanya berjalan dengan baik dan menyeronokkan.

Bukan paksaan.

“Ramadhan bukan bulan makan-makan, tapi bulan untuk mengawal makan”
“Ramadhan bukan bulan rehat, tapi berlumba untuk mengisi amal dengan padat”

Alhamdulillah. Banyak iktibar yang mama perolehi.
Betapa perlunya seni menangani anak-anak. Memang tidak boleh berhenti dan puashati. Tahniah untuk anak-anak mama...moga kita semakin bersemangat membentuk diri menjadi insan yang Allah kasihi...

Syawal Yang Bermakna

Ya... memang Syawal yang penuh makna, Syawal yang kedua bagi kami di perantauan.
Pengalaman yang tidak boleh dijual beli.

Syawal tanpa keluarga terdekat, Syawal yang mengimbas kembali perginya insan-insan yang sangat dikasihi...

Allahyarhamhuma ayahanda dan bonda yang dirindui...
Allahyarham anakanda Nik Iskandar Putera bin Ismail Putera yang dikasihi...
Juga Allahyarham adinda Engku Mohd Azri yang dijemput Ilahi pada 11 Syawal yang lalu...

Segalanya masih terasa baru... Allah...

Pun begitu....

Syawal tetap indah dan bermakna, tanda kembali kepada fitrah setelah melalui latihan, mengumpul bekalan untuk menempuh sebelas bulan yang akan datang...

Syawal kali ini .. juga sangat bermakna, kerana menyaksikan kembalinya 2 orang saudara di Lampeter ini...

Kembali kepada fitrah...

Saudari Helen dan Saudara Aled...

Alhamdulillah... Syukur kepadaMu Ya Allah... menjernihkan hati dan membuka ruang hidayah buat kedua-dua insan ini...

Moga sinaran NurMu akan semakin menyerlah di daerah kecil yang tenang ini...

“WELCOME BACK”

Sebak dan terusik hati saya melihat Helen yang telah saya kenali sebelum ini kini juga bertemu jodoh dengan seorang warga Malaysia yang telah menetap lama di UK.

Semoga bertambah eratlah tautan ukhuwah ini.

‘Oh... I’m so emotional and I can’t stop crying when I read your wording in the
book’ kata Helen sambil memeluk saya. Tanda kasih yang bertaut. KeranaMu Ya Allah.

Air matanya tidak berhenti mengalir. Saya juga tak mampu menahan rasa. Sayu.

Hadiah saya untuknya sempena kembalinya kepada fitrah.. buku “The Oneness of Allah” karangan Syeikh Abd Majid Az-Zindani dua hari sebelumnya.

Saudara Aled pula, sentiasa bersama kami ketika Ramadhan yang lalu melalui fasa berpuasa, iftar dan solat berjamaah, juga melafazkan syahadah pada Syawal ini...

Kembali kepada fitrahmu yang suci... seperti bayi yang baru berada di alam dunia...
Tanpa noda dan dosa....

Allahu Akbar...Allahu Akbar... Allahu Akbar... Wa Lillahil Hamd...


Kembalilah Kepada Fitrahmu Yang Suci....

Allah... moga kami yang dilahirkan didalam NurMu ini... akan sentiasa menjaga dan merasai indah, bercahaya dan berharganya kurniaan ini...

Allah... moga kami yang telah lama merasai ni’mat iman ini, akan semakin meningkatkan iman ini dengan amal yang tidak henti...

Allah... moga kami yang telah lama merasai ni’mat Islam ini, tidak jemu dan terpedaya dengan segala kerosakan yang mewarnai kehidupan sementara ini...

Allah... janganlah Engkau membalikkan hati kami, setelah Engkau memberi hidayah kepada kami...dan kurniakanlah rahmat dan kasih sayangMu sepanjang perjalanan kami menuju redhaMu yang abadi...

Agar apabila tiba masanya nanti... Kami akan kembali kepadaMu, dalam keadaan redha dan diredhai...

Firman Allah SWT:

“ Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya,Maka, masuklah kamu dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah kamu ke dalam syurgaKu.” (Surah Al-Fajr:27-30)

Hanya Allah matlamat hati ini.
Ummu Balqis

Saturday 6 August 2011

Sama tapi tak serupa

2008

Bersantai-santai di pagi Ahad selesai bersarapan, masing-masing ke ruang tamu mengambil akhbar mingguan. Membeli akhbar bukanlah kebiasaan saya, cuma pada hari Sabtu dan Ahad, untuk meraikan minat anak-anak, terutama yang sulong Balqis yang sangat suka membaca apa sahaja bahan bacaan. Balqis terus mencapai sisipan bahagian sains. Tekun membaca.

Sedang khusyu’ membaca, tiba-tiba suara Along memecah sunyi...

“Mama, mati pucuk tu apa?”

Dub!... tergamam saya sambil memandang suami yang juga sedang membaca. Nak tersenyum pun ada.

Ohh.. Anak kita dah besar. Suka bertanya, dan setiap pertanyaan akan dituntut sehingga dapat jawapannya

1982

Teringat saya situasi yang sama, ketika seusia dengannya. Ketika saya mengikut bonda menziarahi rakannya. Sambil membelek-belek majalah yang ada diruang tamu, saya terjumpa perkataan baru yang tidak pernah didengar..

Soalan dituju dengan pantas dan suara yang agak lantang...

“Che (panggilan utk bonda), mati pucuk tu apa?

Terkejut bonda ketika itu tak terkata. Tiada jawapan yang terkeluar.
Saya pula menunggu dengan sabar. Hati pula tertanya-tanya, kenapa wajah bonda berkerut-kerut.

“Ish.. jangan sebut kuat-kuat.. Nanti belajar tau la ye...” sambut bonda lembut, cepat sebelum tuan rumah munculdaripada dapur.

Hairan saya. Tapi mengangguk tanda faham.

Tujuannya bertanya hanya nak mengesahkan apa di fikiran waktu itu.. sepohon pokok yang hujungnya dah rosak..

Dulu lain, sekarang lain.

“Mama, apa maknanya tu?”

Ulang Along lagi. Tersentak saya dari lamunan. Suami memerhati, agaknya menunggu juga jawapan yang saya akan berikan.

Nak bagi jawapan yang sama macam dulu ke?

“Err.... Mati pucuk tu penyakit yang dihidapi oleh orang lelaki dewasa.” Jawab saya tersekat-sekat.

Dalam hati berdoa, jangan la ada soalan lanjutan lagi...

“Oh.. gitu, ok.” Seakan puas hati, sambil meneruskan bacaannya.

Fuh.. Saya memandang suami... Lega..

Biarkan Dia Bertanya.

Itulah kali pertama menghadapi persoalan yang mencabar daripada anak sulong saya.
Lepas ni, kena lebih bersedia dengan berbagai pertanyaan yang tidak terduga. Sedari kecil, saya cuba meraikan setiap pertanyaan anak-anak, dengan menjawabnya dengan kadar kemampuan mereka berfikir. Namun, mematikan soalan mereka, tidak sekali-kali.

Namun begitu, apabila usia mereka meningkat, persoalan yang diajukan juga semakin menguji kemampuan saya dan suami. Persoalan sudah menjangkau pelbagai aspek dan bidang. Kadang-kadang, terpaksa mengakui mama kurang tahu, dan akan merujuk dahulu sebelum menjawab soalan yang diaju. Daripada tersalah memberi maklumat dan ilmu, lebih baik jujur dengan anak-anak...

Jika dahulu, kita boleh patuh dengan jawapan yang diberi..

Suasana kini sudah berbeza.... gelogak rasa ingin tahu memerlukan cara yang berbeza untuk menanganinya.

Membuka ruang bertanya menajamkan cara berfikir anak-anak. Jangan sesekali mendiamkan mereka dengan cara yang tidak baik.

“Diamlah! Banyak soal pulak?”

“Hei.. kecik-kecik dah pandai tanya macam-macam.”

“Sudah.. diam, mak tengah sibuk ni.”

“Tak ada soalan lain ke nak tanya?”

Menghormati anak-anak terlebih dahulu, merupakan cara terhormat untuk membentuk anak-anak yang menghormati ibubapa.

Bukan menggunakan kuasa “veto” yang menyebabkan mulut mereka terkunci daripada mencari hikmah yang sepatutnya diperolehi daripada orang yang paling hampir dengan mereka.

Mendidik anak-anak yang sebenarnya proses mendidik diri sendiri. Proses yang tiada kesempurnaan kerana anak-anak adalah insan yang berbeza watak dan tingkahlaku.

Permata hati yang diamanahkan oleh Yang Maha Pencipta.

Bergembira dan bersyukurlah membawa amanah ini, hingga ke akhir hayat.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis.

Saturday 23 July 2011

Catatan Hati 1

Menghitung syaa’ban yang berbaki...

Dengan harapan bertemunya Ramadhan yang mulia dan dinanti

Memanjat doa agar yang terisi kali ini, lebih baik daripada yang terdahulu

Justeru tiada siapa yang tahu, mungkin ini terakhir kalinya kita menjadi tamu.

Sepertimana berakhirnya peluang insan-insan tersayang yang telah mendahului,

Memenuhi janji Ilahi...

Allah...

Keluh kesah hati ini, hanya Engkau yang Maha Tahu...

Jauh di sudut hati ini, gerun memikirkan nasib di SANA.. tempat yang PASTI...

Namun, lalai dan alpa .. masih menguasai diri yang kerdil ini...

Moga keinsafan sentiasa menjadi hiasan..

Sepanjang melalui hari-hari yang berbaki..

Yang entah bila akan bertemu noktah di sini

Untuk meneruskan perjalanan yang tiada hujungnya

Bertemu Rabbul Jalil

Nun di SANA...

Negeri yang HAKIKI dan ABADI...


Hanya Allah Matlamat Hati Ini

Catatan hati,
Ummu balqis

Wednesday 15 June 2011

Kembalilah...




Sedang asyik memeriksa tugasan pelajar di bilik guru, seorang pelajar perempuan menyapa saya dengan sopan.

“Assalamualaikum ustazah, saya nak tanya satu soalan ,boleh?” Riak wajahnya terpancar rasa ingin tahu yang mendalam.

Hairan saya, sambil memerhati, memang bukan pelajar kelas yang saya ajar. Tingkatan tiga rupanya.

“Oh.. ya.. boleh.. apa dia?” Saya seakan sedikit mengelamun.

“Kalau orang yang telah meninggal, akan melalui alam kubur, tapi kalau orang tu mati lemas ke, atau di baham harimau ke.. macamana nak ada persoalan kubur tu ustazah? Sebab badannya dah hancur, kalau yang lemas, mungkin dah dimakan oleh haiwan dalam laut,kalau yang dibaham harimau, badannya dah jadi sebahagian dalam harimau tu. Macamana pula kalau yang mati accident..” panjang lebar persoalan yang diluah.

Puas hati agaknya boleh melepaskan apa yang terbuku di hati.

Terdiam saya seketika. Sambil menarik nafas panjang.

Kagum saya dengan kemampuannya bertanya dengan yakin. Tanda berfikir.

Teringat kembali, persoalan itulah yang bermain di hati sekelian lama. Cuma bezanya, jawapan yang saya perolehi bukan dengan bertanya.

Mencari dan terus mencari.

Hingga akhirnya jawapan ditemui.

Tetap dan tidak berubah

“Betulkah ianya pasti berlaku?”

Alam barzakh, disebut alam kubur.

Namun hakikatnya, walaupun tanpa kubur, alam barzakh tetap ada, kerana ianya perantaraan sementara menuju ke alam yang kekal. Alam Akhirat.

Walaubagaimana sekalipun keadaan jasad, sempurna dikapan dan disemadikan, atau hancur luluh seluruh anggota badan, alam barzakh tetap ada dan tidak berubah.

Di situlah permulaan laluan yang bakal ditempuhi sebelum berada di alam yang kekal abadi.

Di situlah gambaran buat setiap insan, hakikat dirinya di alam kekal.

Samada ia menjadi satu taman dari taman-taman syurga.

Atau satu lubang dari lubang-lubang neraka, na’uzubillah...

Jasad yang hancur

“Habis tu.. macamana dengan jasad yang hancur luluh? Dah bercampur-campur dengan makhluk lain? “

Alangkah mudahnya Allah, mengadakan sesuatu yang tidak wujud ke alam nyata.

Apatah lagi untuk mengadakan kembali sesuatu yang telah ada, walau bagaimana keadaan dan di mana ia berada.

Tiada yang mustahil bagi Allah untuk itu.

Terlalu mudah.

“Bagaimana?”

Semuanya dalam kekuasaan dan ilmuNya yang tiada batas dan tandingan.

Di luar kemampuan logik dan akal manusia. Sebijak manapun manusia, akalnya tetap ada had dan batasnya. Kemampuan berfikir manusia akan terhenti apabila berhubung dengan perkara-perkara ghaib.

Kerana itulah Rasulullah SAW di utus, pembawa khabar berita yang tidak mampu difikir dan diolah oleh akal dan logik manusia.

Kembalilah...

Akal yang dikurniakan Allah memerlukan panduan untuk menjamin kesejahteraannya.

Itulah bekalan yang ditinggalkan untuk kita.

Sabda Rasulullah SAW

Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara selagimana kamu berpegang dengan kedua-duanya, kalu tidak akan sesat; Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya” (Riwayat Imam Malik)

Hanya allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis

Sunday 22 May 2011

Dialah Peneman...

“Sampai bila kita kena baca al-Quran ni, mama? Tanya Wardah puteri ketiga saya satu malam selesai gilirannya membaca al-Quran.

Kenapa kak lang tanya macam tu? Soal saya pula menguji.

“Ye la, kak lang dah khatam al-Quran, kemudian kena ulang lagi, lepas dah khatam lagi, kena ulang lagi ke?” panjang pula penjelasan sekaligus soalnya ingin tahu.

“Sampai bila nak ulang ni...” persoalan itu agaknya yang bermain di fikirannya selama ini.

Tersenyum saya mendengar kata-kata Wardah.

“Kenapa agaknya kita makan setiap hari?” soal saya kembali.

“Nanti lapar la, tak cukup makan nanti sakit pula..” balas Najwa

“Haa... kita makan hari-hari supaya badan kita sihat,tak lapar dan sakit. Samalah juga kita baca al-Quran hari-hari pun macam tu la.. supaya hati kita sihat, tak sakit... kalau hati sakit, susah nak solat, nak jadi anak yang baik, nak dapat ilmu... ” ulas saya.

Semua diam dan mengangguk.

“Jadi agak-agak.. sampai bila ye kita kena baca al-Quran ni? Saya kembalikan soalan itu pada Wardah..

“Em... sampai bila-bila la, mama” balas Wardah, menjawab persoalannya sendiri.

Ringkas. Cukup sekadar untuk pemikiran anak-anak.
Akan datang, mama akan kupas dengan lebih mendalam.

Dengan usia yang sebegitu, tak mampu lagi akal anak-anak berfikir kenapa agaknya setiap malam tanpa henti mereka dijadualkan antara maghrib dan isya’ dengan aktiviti bertadarrus ini. Dalam keadaan yang tertentu,selalu juga jadual ini terlepas terutama apabila bermusafir atau situasi yang tidak mampu dielakkan.

Apapun, mama dan baba cuba semampu yang terdaya, menjadikan al-Quran peneman hidup kita sepanjang masa.

Sumber inspirasi dan Peneman diri

Melazimkan anak-anak dengan pembacaan al-Quran seboleh-bolehnya menjadi jadual yang mewarnai kehidupan kami di dalam rumahtangga. Sememangnya bukan perkara mudah, bahkan di kalangan ibubapa yang mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang ilmu al-Quran sekalipun, terbentang berbagai jenis halangan yang menyebabkan diri semakin kurang keazaman menyerapkan al-Quran dalam kehidupan.

Sibuk dengan tugas seharian.
Sibuk dengan urusan perniagaan.
Sibuk dengan karenah anak-anak.
Sibuk dengan macam-macam yang tiada hentinya.

Apapun alasan kita, yang pasti kurangnya adalah kesungguhan.

Kesungguhan untuk membaca bekalan peninggalan Rasulullah (SAW)yang tercinta ini
Kesungguhan untuk menghayati pengorbanan Baginda Ar-Rasul(SAW) selama hayatnya.

Tanpa kesungguhan untuk menjadikan ianya sebagai nadi kehidupan, al-Quran akan hanya menjadi sekadar pemenuh acara-acara tertentu sahaja.

Dengan matlamat untuk menjadi al-Quran mampu dihayati dalam kehidupan, ianya merupakan satu perjalanan yang sangat panjang. Tidak mampu dicecah dalam tempoh setahun dua. Bahkan ianya perlu bermula daripada pemilihan pasangan hidup. Dengan niat pembinaan baitul muslim ke arah mardhatillah, pastinya ianya akan dijaga sebaik mungkin daripada dicemari oleh unsur-unsur ikhtilat (pergaulan tidak syar’ie) dalam apa bentuk sekalipun, terutama dalam zaman ini yang tiada batas sempadan dalam berhubung antara lelaki dan perempuan ajnabi.

Melangkah ke alam rumahtangga, diisi dengan ilmu tentang hak dan tanggungjawab yang menunggu, sebagai pasangan suami isteri dan juga bakal ibubapa. Seawal usia kehamilan, dengan melazimi diri dengan bacaan al-Quran, ianya menjadi alunan awal yang menyerap ke dalam kandungan. Sebagai langkah awal untuk memperkenalkan anak dengan sumber yang membentuk iman yang sejahtera.

Bukan jaminan....

Pun begitu, ianya bukanlah jaminan baitul muslim yang sejahtera, bahkan ianya memerlukan usaha yang berterusan tanpa henti.

Berusaha tanpa henti membajai iman.
Berusaha tanpa henti mencari ilmu.
Berusaha tanpa henti memperbaiki amalan.
Berusaha tanpa henti menzahirkan kasih kerana mengharapkan redha Allah.

Mendidik anak-anak sekaligus dalam erti yang sama mendidik diri sendiri. Kerana anak-anak terkesan melalui apa yang dilihat dan dirasa, melebihi apa yang diberitahu.

Mahu anak terdidik iman, kita terdahulu membajainya dalam kehidupan.
Mahu anak bersungguh-sungguh dalam ilmu, kita terdahulu mencarinya tanpa jemu.
Mahu anak berakhlak mulia, kita terdahulu menjaganya tanpa alasan.

Apa yang terhasil di kemudian hari, bukanlah di dalam ilmu dan kekuasaan kita yang sangat kerdil ini. Hanya usaha yang dilakukan dinilai oleh Yang Maha Pengasih. Semoga ianya menjadi salah satu amal yang mendekatkan kita dengan kasih sayang Allah di hari yang tiada berguna segala harta, anak dan perhiasan dunia, melainkan rahmatNya di Akhirat nanti.

“(Iaitu) pada hari (ketika) harta dan anak anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menemui Allah dengan hati yang sejahtera” (as-Syu’araa’:88—89)

Hanya Allah matlamat hati ini.
Ummu Balqis
www.engkuzarihan.blogspot

Thursday 21 April 2011

Titisan kasihmu yang dirindu...

Ye.... Abah balik..! Jerit saya dan adik (arwah Engku Mohd Azri) sebaik saja mendengar deruman enjin kereta Toyota TB 668 memasuki ruang pagar rumah. Siaran kartun "Wait till your father gets home" yang ke udara jam 5 petang itu sudah tak dihiraukan lagi. Terlompat-lompat menunggu abah masuk, kemudian berebut menanggalkan stokin setelah abah duduk bersandar di kerusi ruang tamu...

Abah hanya tersenyum melihat gelagat kami berdua. Sambil menikmati hidangan minuman dan juadah yang mak sediakan, kami berdua masih ‘melekat’ sambil memicit betis abah pula. Tujuannya bukan apa, sabar menunggu abah bercerita.

Setelah beberapa ketika, kami pun mula ‘menyerang’ abah bertubi-tubi dengan berbagai soalan yang biasanya akan dijawab dengan penuh sabar. Seronok mendengar bermacam-macam peristiwa yang abah utarakan, tersemat setiap satunya di dalam hati. Puas.

Dalam waktu yang lain, jika perbuatan kami mengundang natijah yang tidak baik, abah lebih banyak menasihat, lembut namun ada ketegasan yang menyebabkan kami serik untuk mengulanginya.

"Jangan suka berjalan waktu pagi.." kata abah dengan iringan rotan di bahagian kaki adik setelah beberapa kali nasihatnya diabaikan. Saya tahu, ianya tidak terlalu sakit, tapi cukup membuatkan kami serik. Memang nakal sekali kami waktu itu... Meronda meninjau kawasan permainan di sekitar perumahan adalah hobi kami pada waktu lapang.

Seingat saya, itulah kali pertama dan terakhir saya melihat abah memegang rotan.

Tersenyum sendiri dan tanpa sedar, mata menjadi kabur dengan genangan air yang tak mampu ditahan.

Meminjamkan telinga dan Memberi ruang masaD

Dalam kesibukan tuntutan tanggungjawab yang pelbagai hari ini, peristiwa sebegini sentiasa menjadi titik untuk saya membuat penilaian diri, bahawa anak-anak sentiasa dahagakan perhatian daripada kita sebagai ibubapa. Jika cara yang baik tidak diperolehi, tidak mustahil mereka sanggup mendapatkannya walau dengan sesuatu yang mengundang kemarahan kita.

“Ayah tengah sibuk ni, nampak tak?
“Tak habis-habis nak ganggu, pergi buat kerja sendiri.”

Berilah hak yang sepatutnya anak-anak perolehi walau sesibuk manapun kita dengan urusan dunia ini. Mendengar dan berkongsi cerita akan menambah kasih dan rasa percaya mereka kepada kita, insan yang paling hampir dengan mereka.

Walaubagaimanapun, dalam masa menonjolkan unsur targhib sebagai tanda kasih kita kepada anak-anak, jangan diabaikan pula hukuman sebagai kaedah yang diterima pakai untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan dengan cara yang tidak keterlaluan. Inilah sempadan yang mampu mendisiplinkan anak-anak terutama dalam pelaksanaan tanggungjawab sebagai fardh muslim.

Ya... Saya adalah seorang ibu yang jauh dari kesempurnaan dalam melaksanakan tanggungjawab besar ini. Mengakui sejujurnya kekurangan diri adalah lebih baik dari menonjolkan kepada anak-anak bahawa kita adalah ibubapa yang sempurna dan tiada tolok bandingnya. Oleh itu, saya sentiasa belajar dan mencari resepi daripada pelbagai sumber dalam menangani peranan sangat hebat ini. Merenung kehidupan masa lalu dan mengadunkannya dengan kefahaman dan ilmu yang diperolehi.

Bekalan yang berharga

Kejutan pemergian ayahanda yang masih bermain segar di ruang mata, menuntut tabah yang sebenarnya dalam memahami erti kehilangan.

Setiap kenangan bersamanya tak mungkin dilupa, bahkan semakin hari semakin segar di ingatan. Lebih-lebih lagi apabila menghadapi hari-hari dengan menggalas tanggungjawab yang semakin mencabar kemampuan diri... sebagai ibu kepada anak-anak di era globalisasi...

17 April 2011 yang lalu, genap enam tahun ayahanda pergi memenuhi janji bertemu pencipta yang maha Agung.. perjanjian yang pasti dipenuhi oleh setiap yang bergelar makhluk... 34 tahun bersama hayat ayahanda terasa begitu cepat berlalu. Lumrah manusia yang tidak pernah puas, seakan mahu diulang semua yang berlalu.
Namun begitu, pengajaran yang ayahanda berikan, serta pengalaman yang ayahanda bekalkan, membuatkan saya semakin merenung ke dalam diri. ..untuk menghadam segalanya dalam menempuh laluan dalam hidup ini. Tiada harta yang menjadi kebanggaan, namun mutiara peninggalan yang diwasiatkan menjadi azimat yang akan tersemat kukuh dalam hati ini.

Semoga tempat ayahanda di alam SANA sentiasa bersinar bersama golongan yang meraih kasih dan keampunan Allah Yang Maha Pengasih kepada seluruh hambaNya.
Hanya Allah Matlamat Hati Ini.
Ummu Balqis

Friday 18 February 2011

Kitalah permulaannya......

“Kita datang nak tengok ni je, mama?” bisik Balqis, puteri sulong saya ketika menonton persembahan anak-anak muslim di St Mary Church, Camarthen, Ahad lalu.

“Lambat lagi ke nak habis ni?” bisik puteri kedua saya pula, Sarah.

Saya mengangguk. Sambil memberi isyarat akan bercakap selepas persembahan berlangsung.

Dari wajah Balqis dan Sarah, ada riak kurang puas hati.

Biasanya tidak begitu.

Mungkin silap saya juga. Tidak menyatakan secara tepat apa majlis yang hendak dihadiri kepada mereka. Biasanya, sebelum memulakan perjalanan walau ke mana sekalipun, saya maklumkan ke mana dan kenapa. Secara mentalnya, nampaknya kedua-dua puteri saya ini tidak dapat menyembunyikan rasa terbuku yang bersarang di hati. Ditambah dengan ada kerjarumah yang masih belum siap.

Hari Ahad lalu, warga muslim di Lampeter mendapat jemputan menghadiri majlis pelancaran menjana sumbangan bagi mendirikan “Islamic Centre” di Camarthen. Ianya diadakan di dewan St Mary, tempat berkumpulnya komuniti muslim Camarthen untuk menjayakan aktiviti samada berbentuk pengisian ruhani, pendidikan anak-anak dan juga majlis sambutan hari raya. Majlis tersebut diserikan dengan persembahan nasyid dan pentomen anak-anak muslim di sana.

“Kita dijemput, jadi kita mestilah memenuhi jemputan jika tiada apa-apa halangan.” Terang saya kepada Baqis sambil menikmati sedikit juadah yang disediakan.

“Kalau kita jadi tuan rumah, seronok tak kalau tetamu datang?” soal saya. Along Balqis mengangguk.

“Sedih tak kalau undangan kita tak disambut?”Angah Sarah pula mengangguk. Along diam sambil memerhati suasana ceria dalam dewan kecil itu.

“Haa…Sebab tulah, Allah suka kalau kita menggembirakan hati sesama muslim. Nampak macam tak pentingkan, tapi orang yang menganjurkan ini gembira sangat dengan kehadiran kita. Tanda sokongan. Lagipun, ada nilai disisi Allah SWT kalau kita ikhlas hadir hari ni..” Saya menambah.

“Tentang homework pula, kan mama dah ingatkan, sebelum kita ke mana-mana, siapkan dulu. Jadi, jangan selalu jadikan alasan hingga hati tak tenang dan selesa dalam majlis macam ni… Nak senyum pun susah...” Terang saya lagi, sedikit mengusik disamping syarahan yang agak panjang lebar.

Nilai apakah yang ingin diserap?

Sedikit hati saya tercuit dengan persoalan yang diutarakan kedua-dua puteri yang sedang menginjak ke usia remaja ini.. Bimbang memikirkan sebagai ibu bapa, pentingnya kita berbicara dan mendengar bicara anak-anak. Nampaknya mudah dan tiada isu yang besar. Namun ia boleh menjadi berat dan besar bebanan yang dipikul andai tidak menjadi kebiasaan.

Sebagai ibu, saya sentiasa cuba menerangkan kepada anak-anak, bagaimana untuk kita berperanan dalam masyarakat. Bermula dengan berperanan dalam keluarga, sesama adik-beradik. Kemudian bergabung di dalam komuniti yang kecil, kita sama-sama belajar untuk memberi dan menerima.

Hindarkan rasa hebat dalam diri. Buang rasa pentingkan diri sendiri.
Semaikan rasa ingin mencurah bakti. Walau mungkin tiada pengiktirafan yang diberi.

Namun begitu saya sedar, lidah boleh berkata apa sahaja. Selagi air liur tidak kering, bermacam-macam nasihat dan kata-kata hikmat yang boleh dihuraikan.

Sedangkan hakikatnya itu semua tidaklah memberi sepenuhnya makna kepada mereka. Fitrahnya…. anak-anak mempelajari sesuatu melalui apa yang dilihat, menyerapkan apa yang dirasa dalam kehidupan, bukan melalui penerangan semata.

“Cakap tak serupa bikin”.Bimbang kalau-kalau itu yang terselit dihati mereka.
Mungkin tidak hari ini.
Tapi bagaimana dengan esok atau lusa?

Ya.. sebagai ibu bapa, selagi anak-anak masih di bawah pemeliharaan dan pemerhatian kita, sememangnya kita memiliki kuasa sepenuhnya dalam menentukan semua perkara… keperluan seperti penyediaan makanan, pakaian, masa malah segalanya….

Namun begitu, jangan kita lupa….masa kita bersama-anak-anak terlalu singkat. Usia mereka semakin meningkat dan pergaulan mereka sudah melepasi sempadan pemerhatian kita. Cukuplah kita bekalkan mereka denga iman, ilmu dan kepercayaan bahawa segala kelebihan kita diikuti manakala segala kekurangan diakui sejujurnya.

Mulakanlah dengan diri sendiri...
Ya...Itulah didikan yang terbaik untuk mereka.

Ingatan untuk diri saya sebenarnya.....

Andai mahu anak cintakan ilmu, biarlah kita dahulu yang mengejar ilmu.
Andai mahu anak menjaga ibadah, biarlah kita dahulu yang tamakkan ibadah.
Andai mahu anak terjaga akhlak, biarlah kita terlebih dahulu menjaganya.

Allah tidak mempersoalkan hasil yang diperolehi.. tetapi sejauh manakah usaha ke arah matlamat ini....

Sesungguhnya anak-anak adalah harta yang tidak ternilai, di samping tanggungjawab yang akan dipersoalkan kepada kita kelak. Menyediakan suasana terbaik merupakan tuntutan yang akan membentuk syakhsiah yang tahu untuk berperanan walau di mana saja dia akan tercampak... Insya Allah

Akhirnya, jadilah dia seumpama sebiji benih yang baik, dibuang ke darat menjadi gunung, dibuang ke laut menjadi pulau.

Ingatlah selalu hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra. : Nabi Muhammad Saw pernah bersabda, “setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi.
(Riwayat Imam al-Bukhari)

Hanya Allah matlamat hati ini.
Ummu Balqis.

Monday 7 February 2011

Masih panjangkah masa yang berbaki….

“Mama tutup mata tau..” pesan Wardah, ketika saya sedang rancak mencuci pinggan mangkuk malam tadi.

Dipimpinnya tangan hingga ke pintu bilik, ingin membuat kejutan untuk saya sambil diiringi oleh anak-anak yang lain, Balqis, Sarah, Najwa dan Nada.

“Surprise….!” Jerit semua… Digantungnya banner dan kad buatan sendiri dan yang dibeli di hadapan pintu bilik. Kemudian dihulur pula hadiah yang dibeli secara “sorok-sorok” petang tadi tanpa saya sedari. Suami hanya tersenyum dengan kerenah anak-anak.

“Happy birthday mama…” ucap mereka serentak.

“Terima kasih anak-anak” balas saya sambil memeluk dan mencium pipi mereka satu persatu.

Terharu bercampur geli hati saya melihat telatah anak-anak. Makin lanjut usia, makin meriah pula sambutannya dek kerenah mereka.

Empat dekad berlalu…

Merenungi hari-hari yang berlalu, hati saya mengucap syukur yang tidak terhingga, atas ni’mat usia yang dikurniakan. Empat dekad telah berlalu, dengan segala macam peristiwa yang memberi seribu satu kenangan dan pengajaran dalam kehidupan saya.

Empat dekad berlalu… dengan setiap satunya tersusun rapi dengan peristiwa yang tersendiri. Ya.. bermula kehidupan di zaman anak-anak yang serba ceria, tak mengerti apa-apa. Semuanya indah dan menyeronokkan. Tiada yang merunsingkan. Bermain dan bermain.

Beralih ke fasa remaja… yang tak sama ceritanya seperti anak-anak remaja hari ini. Belum kenal internet, dan entah apa-apa lagi. Zaman yang terhad teknologinya. Namun seronok mengaut khazanah kehidupan sebagai ukhti muslimah. Ke sana dan ke sini bersama akhawat, demi mencari mutiara-mutiara tersembunyi yang bertaburan di muka bumi ini. Indahnya…..

Melangkah ke alam rumahtangga… memikul peranan baru sebagai isteri.. kemudian ibu… Oh… sudah melangkah tahun yang ke 15 rupanya… Beratnya amanah yang terpikul ini.. Tanggungjawab yang tiada noktah hingga nyawa dijemput olehNya. Namun yang dipertanggungjawab, semestinya yang mampu…Semoga kekuatan sentiasa diberikan oleh Yang Empunya Segalanya ini.

Empat dekad berlalu… dihias suka dan duka… senyum dan tawa… masam dan manis silih berganti…Semuanya memberi ruang muhasabah yang panjang bahawa betapa tidak berupayanya kita untuk melebihi taqdir yang disediakan oleh Yang Maha Merencana. Baik sebagai hambaNya yang kerdil, mahupun sebagai khalifahNya. Semuanya tercatat penuh rapi dan tersusun, tanpa diketahui rahsianya oleh sesiapapun.

Masih panjangkah masa yang berbaki…

Sebanyak manakah masa yang diperuntukkan demi meningkatkan iman di dada?
Sebanyak manakah usia yang dinafkahkan untuk memberi manfaat sesama manusia?
Sejauh manakah khidmat bakti sebagai salah satu batu bata ummah yang sejahtera?

Memikirkan atas ni’mat hari ini, hati ini berdetik, berapa lama lagikah masa yang masih berbaki….

Untuk menyuburkan buah iman dan amal yang tersedia di dalam diri …
Untuk menafkahkan waktu yang berbaki untuk manafaat insani….
Untuk menabur khidmat menafkahkan diri….

Masih panjangkah masa yang berbaki… setelah empat dekad berlalu pergi….

Syukur kepadaMu Ya Allah … atas ni’mat usia yang dikurnia…. moga usia yang berlalu memberi manafaat.. dan kesempatan yang mendatang memberi ingatan bahawa... ruang melangkah setapak ke hadapan bererti semakin menghampiri saat bertemu denganMu. …. Dan sesungguhnya… ni'mat ini akan bisa berakhir bila-bila masa...

Hanya Allah Matlamat Hati Ini.
Ummu Balqis.

Saturday 29 January 2011

I don’t care….


Mengikuti kelas Bahasa Inggeris anjuran WEA buat kali kedua di Lampeter memberi pengalaman yang berbeza bagi saya. Kelas secara percuma ini berjalan selama 8 minggu memberi peluang untuk saya mengenali rakan-rakan dari Korea, Hungary, Turki, Amerika Selatan dengan lebih dekat. Bilangannya tidak ramai, cukup untuk memberi ruang untuk saya dan rakan-rakan sekelas mempraktikkan apa yang dipelajari dengan selesa.

Kelas diadakan 2 kali seminggu, selama 5 jam sehari. Aktiviti yang disediakan lebih berbentuk perbincangan memberi peluang untuk peserta memberanikan diri mengolah ilmu yang diperolehi dengan lebih efektif. Insya Allah, sangat berguna untuk saya sebagai motivasi diri untuk bekalan diri menabur bakti dalam bidang yang sangat saya cintai apabila pulang nanti.

Setiap kali kelas berjalan, tutor, Mr Cutler sentiasa membawa topik yang menguji kemampuan diri samada dalam bidang pengetahuan semasa, politik dan juga agama. Orangnya sangat terbuka dan suka berkongsi idea terutama tentang topik semasa dan amalan beragama. Dengan kemampuan berbahasa Inggeris yang terhad, tercabar juga rasanya apabila diajukan persoalan. Tersangkut-sangkut saya cuba berbahasa Inggeris. Nampaknya bukan saya seorang yang begitu, kalau tidak, takkan mereka mengikut kelas ini. Betul tak?

Ini jugalah yang membakar semangat saya untuk terus mengikuti kelas ini lagi. Sekurang-kurangnya, melalui perbincangan ini, timbul kejernihan pandangan mereka terhadap Islam itu sendiri. Alhamdulillah, selepas sesi yang lalu, segelintir peserta yang pada mulanya agak sinis, mula bersikap lebih adil dan terbuka. Keyakinan diri saya pun ada sedikit peningkatan berbanding sesi yang lalu.

I don’t care…

Dalam satu perbincangan, satu topik yang agak kontroversi diutarakan oleh Mr Cutler, iaitu:

“Should gay couples be able to marry?”

Subhanallah….. Memang betul-betul kontroversi isu ni.

Namun saya tidak boleh cepat melatah. Mendengar pandangan orang lain dengan tenang memberi ruang untuk saya melihat sejauh mana pandangan kehidupan beragama di kalangan masyarakat di sini.

“ I don’t agree because it is a sin to God” kata Grace, rakan berbangsa Korea beragama Kristian yang mana suaminya adalah penceramah di gereja.

“I don’t care, as long as they don’t do anything in front of public or my children. They have freedom to do anything” kata Barbara, rakan dari Hungary dengan santainya.

Bukan saya saja terkejut. Grace pun sama. Tergamam.

“Are you Christian?” Tanya Grace kehairanan.

“Yes, but I haven’t practicing it and never go to church since I was 14th years old” Tambah Barbara.

Oh… pandangan Barbara mewakili sebahagian besar masyarakat Kristian hari ini, walaupun ada segelintir yang menentang arus perjalanan masyarakat semasa. Betapa rosaknya dunia… Selagi mana musibah tidak menyapa diri dan keluarga, apa yang berlaku di sekeliling bukanlah perkara yang perlu diambil kira.

“What about you, Zarihan? I know your opinion is different.” Tanya Mr Cutler dengan penuh minat.

Dengan kemampuan yang sangat terhad, saya cuba menyusun kata-kata yang mudah disebut dan juga mudah difahami. Bermula dengan menyatakan pendapat bahawa perbuatan tersebut adalah di luar sifat tabi’ei manusia, sedangkan makhluk lain pun boleh membezakan jenis pasangan mereka, inikan pula manusia yang mempunyai akal fikiran. Mr Cutler dan beberapa orang rakan kelihatan mengangguk setuju.

Kemudian, barulah saya memberi sedikit penjelasan berdasarkan Islam. Oleh kerana asas pegangan hidup saya adalah beragama, dan Islam melarang sama sekali perbuatan yang boleh merosakkan, bukan hanya kepada diri sendiri, malah merangkumi keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

Grace tersenyum. Mungkin ada nilai yang sama dikongsi agaknya.

Indahnya JalanMU…..

Tanpa membawa hujjah al-Quran dan Hadithpun, pendapat saya mudah diterima akal mereka. Masing-masing kelihatan cuba menganalisa apa yang cuba saya utarakan. Sememangnya Islam selari dengan fitrah kejadian manusia.

Setinggi kesyukuran dipanjatkan Ya Allah.. kerana dikurniakan hati yang dapat melihat kebenaranMu, lidah yang mengakui keEsaanMu dan anggota badan yang melaksanakan tuntutan pengabdian kepadaMu…. Moga ini menjadi jalan yang akan aku lalui hingga ke akhir hayat ini…

Hanya Allah Matlamat Hati Ini.
Ummu Balqis.

Tuesday 4 January 2011

Izinkan dirimu dilamar…

Dia tersenyum malu.. apabila ditanya oeh si ibu.. tunduk tanpa kata, namun hatinya berbunga.. dalam masa yang sama, ada debaran dirasa, sudah bersediakah dengan ilmu didada…Akhirnya lamaran diterima, dengan azam dan tekad, untuk melaksanakan tanggungjawab..

Itulah lamaran ke alam perkahwinan.. alam yang terbayang manisnya , walau gelodak di dalamnya banyak tak terduga…Bersedia si teruna dan dara mengharunginya…

Namun begitu..

Sanggupkah kita menerima lamaran yang lebih hebat ini...Bukan hanya untuk si teruna dan dara…

Bahkan untuk seluruh umat manusia…

Lamaran dari Allah SWT secara fitrah… mengajak seluruh hambaNya ke arah mentaatiNya…

Lamaran yang menjanjikan kemanisan yang tidak berpenghujung..

Firman Allah SWT:
“Apa yang ada disisimu akan lenyap dan apa yang ada disisi Allah akan kekal. Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (an-Nahl:96)

Lamaran menuju Firdausi melalui jalan mendidik diri…


Kita Makhluk Hebat.

Ya..kita makhluk terhebat yang dijadikan oleh Allah SWT. Oleh itu, disediakan juga untuk kita dengan tanggungjawab yang sangat hebat.. yang tidak terpikul oleh makhluk yang lain.

Firman Allah SWT:
“ Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan- perumpamaan itu Kami berikan untuk manusia supaya mereka berfikir” (al-Hasyr:21)

Oeh itu.. mana mungkin seorang insan yang diberi anugerah sehebat itu hanya mampu melalui kehidupan dalam kotak dengan rutin seharian yang hanya memikirkan ruang lingkup persekitaran yang sangat sempit.

Kerja … Belajar… Rumahtangga… Anak-anak … dan.. Rehat …

Oh..Tidak..Seorang muslim yang hebat pasti mengakui.. kita dicipta oleh Yang Maha Hebat bukan hanya untuk itu. Bahkan, bersama-sama kita tersedia tanggungjawab yang melangkaui kehidupan di dalam kotak semata-mata.

Izinkan dirimu dilamar…

Oleh itu.. persiapan diri yang tersedia perlu diasah… akal yang dikurniakan oleh Allah perlu dipertajamkan.. ilmu yang melata yang dibekalkan oleh Allah perlu digali dan diterokai… kekuatan dalaman yang tersembunyi dalam diri perlu kita kenali…

Semua itu… pastinya sukar dengan bersendiri…

Lantaran anasir yang mendatang.. tak mampu untuk kita halang…

Dari semua arah… dalaman dan luaran… tanpa sempadan.. tanpa isyarat.. .. semuanya merosakkan..

Kitalah hamba… kitalah khalifah…Dua tanggungjawab berangkai yang tak mungkin diurai…

Didiklah diri berjiwa hamba.. tunduk mengakui kehebatan Yang Maha Pencipta…
Didiklah diri berjiwa khalifah.. memandu sesama insan ke arah kesejahteraan ummah…

Berilah hak kepada diri untuk menerima didikan daripada Ilahi, melalui apa yang diajar oleh lisan Baginda ar-Rasul yang dikasihi, dan penerus perjuangan Baginda SAW. Izinkan diri untuk menerima titisan-titisan ilmu yang akan membuahkan kesenangan untuk diri kita sendiri, pada hari yang tiada perlindungan melainkan orang yang mengorbankan sedikit kenikmatan hidupnya didunia demi mencari kasih dan redha Ilahi.

Hanya Allah Matlamat Hati Ini.
Ummu Balqis