Monday 19 September 2011

Ukhuwah yang terbina itu....


Kepala terasa berdenyut-denyut. Angin sepoi-sepoi ternyata tidak mampu mengurangkan tekanan haba yang menyerap kepanasan cuaca pada petang itu.

Balik dari kuliah berjalan kaki selama 20 minit tidaklah memenatkan sebenarnya.

Cuma hari itu, sampai di rumah sewa,tingkat 8 Imarah Masakin Uthman, saya terus ‘tumbang`.

Ah.. esok ada 2 maddah (subjek) lagi yang belum selesai. 2 rakan sebilik saya begitu tekun menelaah, persediaan terakhir untuk esok.

********************

“Kak Chik kena pergi ke klinik sekarang, ada temujanji dengan doktor petang ni.” Sayup-sayup telinga saya menangkap suara Kak Chik dari arah pintu bilik. Suaranya agak tergesa-gesa.

Berharap ada sesiapa yang sudi menemankannya ke sana.

Denyutan di kepala masih belum berkurang, mata juga belum mampu menahan silau cahaya yang menembusi tingkap bilik.

Diam. Tiada sebarang respon.

“Er... kami belum habis ulangkaji lagi.. Esok ada dua maddah lagi Kak Chik.” Ujar seorang sahabat saya lambat-lambat. Ada rasa bersalah dalam nada suaranya itu.

Sahabat yang seorang lagi diam tanpa kata.

Saya pula, di awang-awangan, tak mampu membuka mata, apatah lagi bersuara.

Kak Chik, kakak yang agak senior di antara kami. Seorang yang sangat gigih, sedang menyelesaikan pengajian peringkat sarjananya di Universiti al-Azhar.

Saya tahu waktu itu, Kak Chik sangat memerlukan teman untuk ke klinik.

Seboleh-bolehnya perjalanan secara berseorangan cuba dielakkan. Walaupun jaraknya tidaklah jauh.

“Tak apalah... Kak Chik pergi dulu”. Kata Kak Chik. Rendah nada suaranya.

Tiada lagi sebarang perbualan. Sepi.

Samada meneruskan ulangkaji atau berfikir perkara tadi.

Saya pula terus hanyut melayan kesakitan hingga tertidur lagi.

***********************

Keesokan malamnya, rumah kami dikunjungi oleh Kak Mie, seorang kakak yang telah berumahtangga, bersama anaknya.

“Nak ziarah adik-adik.” Katanya sambil menunggu suaminya yang pergi solat di masjid yang berdekatan .

Sambil minum dan bertanya itu dan ini, topik perbualan bertukar.

“Walaupun sibuk dengan urusan sendiri, hak ukhuwah jangan diketepi.” Nasihat Kak Mie kepada kami.

Perbualan rancak tiba-tiba menjadi terhenti. Semuanya membisu. Saya tertunduk.

Aduh.. ini mesti berkait dengan peristiwa semalam.

Malunya!

“Nilai dan tahap ukhuwah akan sentiasa di uji. Inilah salah satu ujiannya yang Allah swt sediakan. Sedikit pengertian dan pengorbanan seorang ukhti di kala sangat-sangat memerlukan.” kata Kak Mie dengan nada yang lembut.

“Kena jelas, berjaya atau sebaliknya dalam setiap urusan, kita dibalas bukan kerana usaha semata, tapi rahmat dan kasih Allah swt. Nilaian dan ganjaran Allah swt juga tiba pada perkara yang tidak disangka-sangka.” Tambah Kak Mie satu persatu.

Halus bahasanya. Meresap hingga ke tangkai jantung saya.

Tarbiyah ini...

Sudah 20 tahun cebisan peristiwa ini berlalu. Sungguh.. tidak pernah saya lupa.

Melekat kemas di lipatan ingatan saya.

Sangat menusuk ke dalam hati ini.

Halusnya tarbiyah yang Allah swt sediakan untuk mendidik hati saya. Supaya sentiasa peka dengan perkara dan suasana yang berlaku di sekeliling.

Menimbang sedalam mana yang dimengerti, dan setulus mana nilai ukhuwah yang telah diserap dalam diri.

Merasai nikmat tarbiyah dalam kehidupan. Bukan sekadar kata-kata yang diungkap dalam setiap pertemuan.

Bukan sekadar halwa telinga atau menjadi dendangan di majlis keraian.

Ukhuwwah fillah tidakkan musnah
Walaupun hujan walau badai mendesah
Tautan erat tak mungkin musnah
Dengan ismullah kita berbai’ah

Belajar mengenali diri melalui setiap langkah yang diatur dalam setiap hembusan nafas anugerah Allah swt.

Sudah lama ianya berlalu, tetapi nilai itu akan sentiasa saya suburkan dalam diri saya dan juga menjadi kayu ukur dalam kehidupan dan juga mendidik anak-anak.

Juga dalam mendidik anak-anak didik yang dikasihi.

Bahawa ukhuwah yang terbina itu...

Perlu sentiasa disemat dalam diri...

Bahawa nilai dalam berukhuwah kerana Allah akan sentiasa diuji.

Dengan hati dan perasaan. Jiwa dan jasad. Masa dan harta.

Memerlukan pengorbanan.

Sematlah di hati dalam-dalam...

Bahawa setiap langkah yang mendekatkan diri kepadaNya, pasti tidak akan rugi.

Walau nampak di mata seolah-olah kita terkorban jiwa dan rasa, kesuntukan masa atau kehilangan harta.

Fahamkanlah pada diri dan orang yang kita sayangi.

Dalam memahami konsep ukhuwah, nilai yang paling rendah ialah berlapang dada dengan kelemahannya.

Kerana kita juga lemah dan banyak kurangnya.

Setinggi-tinggi nilai dalam berukhuwah kerana Allah, itulah “ithar”, memberi keutamaan kepadanya melebihi keperluan diri sendiri.

Gali khazanah yang ditinggalkan oleh Kekasih Allah, Rasulullah saw dalam memahamkan maksud hebat ini.

Perasaan yang sangat mahal... hanya dapat dicapai oleh jiwa yang menuju redhaNya yang abadi.

Ingatlah sabda Rasulullah saw tentang tujuh golongan yang mendapat naungan Allah, di hari tiada naungan selain daripada naunganNya salah satunya iaitu:

“Dua orang pemuda yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu keranaNya, dan berpisah keranaNya.”
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim )

Hanya Allah matlamat hati ini.
Ummu Balqis.

No comments:

Post a Comment