Saturday 24 July 2010

Puteri Mama Sudah Besar




Selamat ulang tahun kelahiran buat puteri mama, Nik Nada Safiyah binti Abdul Aziz. Hari ini, genap Nada 3 tahun. Cepatnya masa berlalu. Terasa seolah baru semalam mama ke Hospital An-Nur, Bandar Baru Bangi untuk melahirkanmu.

Bermakna juga, usia mama dan baba pun makin bertambah.

Masih mama ingat, Disember 2006, ketika di kota Makkah, sehari sebelum berangkat untuk wukuf di Arafah, baru mama dapat pengesahan berita Nada sudah berada dua bulan di dalam kandungan mama. Itupun kerana mama batuk-batuk, kemudian kakak-kakak sebilik menasihatkan mama berjumpa doktor sebelum mengambil ubat. Alhamdulillah… gembira mama dan baba dengan anugerah ke lima ini.. Mama bawa Nada bersama ketika wukuf.. seribu doa dipanjatkan ditempat yang penuh barakah itu.. Kemudian mengutip batu di Muzdalifah, sebelum berangkat ke Mina. Esoknya selepas melontar, kita pulang ke Makkah untuk menyempurnakan tawaf, saie dan bercukur… Menjelang waktu Asar, semuanya selesai dilaksanakan. Selepas berehat dan menunggu solat Maghrib, mama, baba dan kawan-kawan bergerak pulang ke Mina untuk menyempurnakan ibadah yang lain. Alhamdulillah. Walaupun berjalan kaki hampir 3 jam hari itu, semangat mama cukup kuat. Sehinggalah selesai melontar ke tiga-tiga Jamrah, kita berangkat pulang ke Makkah, mama demam seminggu, tak mampu bangun dan ke masjid. Apapun, syukur, dan semoga amal diterima oleh Allah SWT.

Sepanjang Nada di dalam kandungan, dua kali mama diuji dengan sakit belakang yang amat sangat.. Masya Allah, sukar sekali mama mengalirkan air mata, walau ketika sakit melahirkan kakak-kakak yang terdahulu, tapi sakit yang ini, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui… Tak mampu mama menahan kesakitan, hingga terpaksa menghubungi baba yang ketika itu ada urusan kerja di luar daerah.. Kelam kabut juga baba dibuatnya.

Namun begitu, setinggi kesyukuran, Allah mudahkan laluan untuk mama melahirkan dan membesarkan Nada hingga ke saat ini.

Insya Allah, September nanti, Nada akan mula bersekolah bersama kakak-kakak. Seronoklah nanti, Nada akan dapat guru dan kawan-kawan baru. Meneroka berbagai perkara baru yang pasti memberi seribu satu pengajaran dan kenangan di masa akan datang.

Moga hari-hari yang mendatang, anak mama ini akan sentiasa di dalam rahmat dan kasih Allah SWT, membesar sebagai anak yang solehah, penyejuk hati mama dan baba.

Salam sayang,
Mama

1 comment: