Tuesday 6 November 2012

Jom Masak....

Baru semalam projek membuat muffin berjalan.
Sehari sebelumnya, berkecah satu dapur gara-gara eksperimen membuat pizza bersama Wawa dan Nada.
Hari ini pula, ada lagi agendanya di dapur.
“Mama, hari ni Angah nak try buat muffin lagi, boleh?”, tak semena-mena Angah muncul di belakang , sedang saya asyik menyediakan bahan tumisan kuah kacang, nasi dagang dan mee kuah untuk menu sempena Hari Raya esoknya.
Along pula sedang menolong  membuat biskut kegemarannya dan adik-adik. 
Saya memandang wajahnya yang penuh mengharap. Tanpa sedar, saya mengeluh perlahan.
“Mama tengah sibuk la Angah. Macam-macam lagi Mama nak kena buat ni. Nanti kelam kabut pula.”
Suram wajahnya serta merta, tiba-tiba muncul rasa bersalah di hati saya.
“Hmm… kalau nak buat juga, nanti kena selesaikan , boleh?” Saya mengubah kata.
Melompat kegirangan Angah mendengar kata-kata saya, “ Ok, Tq Ma…I love you.. heee”.





Faham maksud kata-kata saya, setiap pekerjaan yang dilakukan, mesti diselesaikan hingga ke penghujung, jangan dibiar separuh jalan dan suka meminta pertolongan orang lain untuk menyelesaikannya. Pendek kata, dapur mesti berada dalam keadaan seperti sediakala.
Memang kecenderungan mencuba di dapur terserlah pada anak kedua saya ini. Setiap petang, sentiasa ada menu baru yang ingin dicubanya. Menggeleng kepala sambil ketawa kecil saya dibuatnya dengan ragam anak yang satu ini.
Seboleh-bolehnya, saya cuba meraikan apa yang anak-anak suka lakukan, terutamanya sesuatu yang membina kreativiti dan mencabar minda. Cuma kadang-kadang, permintaan yang tidak sesuai dengan masa dan keadaan menyebabkan sedikit menguji kesabaran.
Manakala segala peralatan elektronik samada televisyen, komputer, games, telefon bimbit  atau apa sahaja gajet yang mengasyikkan saya cuba hadkan penggunaannya.
“Takkan tak boleh bagi anak-anak tengok televisyen,” komen seorang rakan setugas saya dahulu ketika bertanya rutin menonton televisyen anak-anak saya.
“Bukan tak boleh, cuma hadkan pada tempoh dan waktu yang sesuai saja. kelonggaran di hujung minggu, sesekali di waktu petang dan tidak sama sekali di hari persekolahan.” jawab saya tersenyum.
Kecenderungan dan minat
Mengenali dan meraikan kecenderungan dan minat anak-anak merupakan perkara yang sangat mencabar  bagi ibubapa di zaman ini.
Keterikatan anak-anak dengan dunia persekolahan yang begitu sarat dengan pengisiannya berbanding usia, menyebabkan ruang untuk mengenali apa yang mereka suka menjadi semakin sempit.
Yang perlu diselesaikan adalah urusan persekolahan yang tidak putus.
Ruang mengenalpasti dan membangun potensi diri dipandang sepi. Yang mesti dicapai ialah deretan A di dalam peperiksaan
Oleh itu, menjadi keperluan kita sebagai ibubapa, seupaya mungkin meringankan bebanan fikiran anak-anak dengan meraikan mereka dalam apa jua perkara yang menjadi minat mereka.
Berpada-padalah meletakkan harapan bimbang ianya menjadi bebanan yang tidak tertanggung oleh mereka.
Cukup-cukuplah menyenaraikan susunan pengharapan kita yang tinggi menggunung yang kononnya untuk kebaikan mereka di masa hadapan.
Sesekali, bertanyalah minat mereka, biarpun tidak berkaitan dengan pelajaran.
Sesekali, belikanlah peralatan yang mereka sukai untuk mengembangkan potensi diri.
Mungkin buku origami, buku lukisan, buku cerita dan permainan tidak memberi makna kepada kita, namun ianya sangat membahagiakan mereka.
Biarpun nampak seolah tiada ‘market’ untuk masa depan, yang penting, rasa puas kerana minat mereka dihargai, suara hati mereka didengari.
Siapa lagi yang mereka harapkan untuk itu, andai bukan kita.
Hanya Allah matlamat hati ini.
Ummu Balqis.