Friday 9 December 2011

Matangkan Mereka Dengan Perkongsian



Sungguh... Bukan senang melenturkan sedikit rasa ego seorang ibu atau bapa terhadap anak yang dikasihi. Secara fitrahnya, ibubapa memiliki rasa ingin menguasai dengan sebab yang murni, membimbing dan menyalurkan anak-anak ke jalan yang memberi manafaat untuk mereka di kemudian hari.

Bercampur emosi yang tinggi dengan keletihan tahap maksimum si ayah dan ibu melaksanakan tanggungjawab seharian.

Sehinggakan kadang-kadang penggunaan kalimah tidak tercapai tahap pemikiran akal si anak yang masih terkapai-kapai minta dibantu.

Sehinggakan terlupa untuk mengukir senyum untuk si anak. Juga pelukan yang mampu mencairkan keletah ‘nakal’ anak-anak yang sedang meningkat remaja. Apatah lagi bergurau senda dan bercerita.

Mengharapkan anak-anak memahami keletihan ibu.

Mengharapkan anak-anak peka kesusahan ayah.

Namun sayang, di hati anak-anak, bukan itu yang mereka fikirkan.

Semakin hari, jiwa semakin memberontak.

Semakin lama, semakin tebal rasa yang terbuku.

“Semua mesti ikut cakap, bosan betul la..”

“Asyik tak betul je apa yang kita buat...”

Keluh si anak tiada siapa yang tahu.

Sesekali, berilah peluang untuk mereka bersuara, memberi pendapat dan membuat keputusan.

Pada masa yang sama, memberi faham atas setiap keinginan yang mereka tuntut untuk difahami dan diikuti.

Menyuntik iman dan kesedaran bahawa di sana ada batas dan sempadan yang perlukan garis panduan.

Izin bersyarat

“Minggu ni Mama tak izinkan semua anak-anak hadir aktiviti “5:60”. Saya membuat pengumuman mengejut.

Aktiviti selepas waktu sekolah setiap hari selama sejam yang diikuti oleh para pelajar seperti trampoleining, climbing, basketball, football dan berbagai permainan lagi. Hampir dua bulan anak-anak saya mengikuti aktiviti ini. Sangat menyeronokkan mereka. Banyak kemahiran yang mereka dapat melalui aktiviti ini.

Semua wajah sedikit masam, tanpa suara.

“Cuba ingat balik, apa janji anak-anak sebelum join aktiviti ni?” Soal saya agak tegas.

Tempoh dua bulan yang menggembirakan, rupanya menjadikan anak-anak agak terbabas daripada amalan seharian yang perlu menjadi keutamaan walaupun ingatan sentiasa diberi.

“Tak boleh lupa amalan setiap malam, tilawah al-Quran dan baca ma’thurat..” suara Wardah memecah sunyi setelah berdiam agak lama.

Amalan yang cuba kami serapkan agar sebati menjadi benteng diri. Lebih-lebih lagi berada di perantauan yang serba terbuka dengan segala macam dugaan berupa keseronokan. Selain pengisian berkala yang menjadi rutin mingguan.

“Hmm.... Mama izinkan anak-anak ikuti semua aktiviti tu untuk sihatkan badan, jadi mukmin yang cergas, sebab Allah suka mukmin yang sihat dan cergas akal dan badannya. Tapi sihat dan cergas saja tak cukup untuk nak jadi orang yang Allah sayang.” Setiap wajah mereka saya pandang satu persatu.

“Cergas badan, pada masa yang sama, al-Quran ada di hati, baru betul-betul Allah sayang. Kalau tak boleh buat kedua-duanya, tinggalkan satu. Lepas seminggu ni, anak-anak buat keputusan sendiri nak yang macamana. Minggu ni, kita off semua aktiviti tu.” Saya mengakhiri kata-kata beserta keputusan muktamad.

Semua diam, namun terpaksa akur. Minggu akan datang kita buat akujanji baru.

Duit tabung

“Mama, Along nak join ‘Fencing Club’ boleh tak?” Soal Along sebaik saja masuk kereta pulang dari sekolah.

“Apa? Dancing?”Terkejut saya dengan permintaan Along.

Semua ketawa melihat saya yang terkejut bercampur hairan.

“Tak la Mama ni.. ‘Fencing Club’ tu, belajar cara main macam pedang tu. Yurannya £4.00 untuk 1 sesion. Ada lima session dan setiap session tu satu jam setengah.” Along ketawa lagi sambil menjelaskan panjang lebar kepada saya.

“Oo.. Boleh, boleh,tapi bersyarat. Oleh kerana aktiviti tu bukan anjuran sekolah, yuran tu, kena la guna duit tabung sendiri, ok?”

“Boleh? Ok Mama. Along guna duit tabung..” Jawab Along cepat. Seakan tidak percaya saya izinkan untuk dia menyertai kelab tersebut.

Sedikit kejutan untuknya, keizinan menyertai ‘Fencing Club’ tapi terpaksa mengeluarkan duit tabung. Saya tahu hatinya berat tapi kemahuan mengatasi segalanya. Sekadar menguji sejauh mana kesungguhan Along kali ini.

“Err.. Baba bagi ke Along join ni Mama?” tiba-tiba ada sedikit gusar di wajahnya.

“Tak pa..... Keputusan Baba sama macam Mama, Insya Allah. Baba dah izinkan Mama buat keputusan apa-apa berkaitan anak-anak di sekolah. Yuran tu, jangan risau, nanti Mama bagi tau Baba." Jawapan saya melegakan hati Along.

Membahagiakan dan memberi didikan

Setiap inci kehidupan ini adalah ruang yang Allah sediakan untuk kita mendidik anak-anak. Setiap hari yang dilalui sentiasa ada pengalaman baru yang tercipta. Tiada siapa yang sempurna sebagai ibu dan bapa. Setiap detik waktu, kita sentiasa belajar dan terus belajar. Belajar melalui pengalaman dan belajar daripada kesilapan.

Menyemai kasih dan rasa tanggungjawab sebagai persediaan untuk mereka meniti dewasa.

Menyalur rasa yakin diri sebagai mukmin yang hebat dan mampu memberi manafaat kepada orang lain.

Mendidik anak-anak bukan bermaksud memberi syarahan dan pengajaran tentang akademik semata-mata.

Membahagiakan mereka bukan sekadar menyempurnakan keperluan material mereka sepenuhnya.

Mendidik dalam erti kata mereka mampu berhadapan dengan realiti hidup yang jauh lebih besar daripada mengumpul deretan ‘A’ di dalam peperiksaan.

Membahagiakan dalam erti kata memahamkan mereka dengan tanggungjawab sebagai mukmin yang mengumpul kekuatan untuk bekalan berhadapan dengan Yang Maha Penyayang.

Menyerapkan al-Quran di dalam hati agar lahir dalam tindakan.

Sekali sekala, gembirakan mereka dengan memenuhi keinginan yang bergolak di dada, selagi tidak lari daripada landasanNya.

Sekali sekala juga, jentikkan hati dengan rasa tanggungjawab dalam setiap tindakan mereka.

Memberi ruang mereka berfikir, meluahkan dan memandu mereka ketika membuat keputusan. Walaupun mungkin ianya tidak menggembirakan hati kita, cukuplah panduan untuk mereka bahawa pilihan yang dibuat tidak memudharatkan mereka di kemudian hari.

Mendidik mereka menghargai kepercayaan yang diberi dalam membuat keputusan untuk diri sendiri. Juga mendidik rasa tanggungjawab dan belas kasihan dengan mengeluarkan sebahagian hak simpanan untuk diri sendiri dan orang lain.

Meyakinkan anak-anak bahawa, matlamat akhir dalam semua tindakan yang dipilih sepanjang kehidupan ini akan membawa kesan di alam yang kekal selamanya.

Semuanya bermula daripada keyakinan kita sebagai hamba Allah yang sentiasa berterusan mencari redhaNya demi mencapai bahagia yang hakiki di alam abadi.

Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis.

2 comments:

  1. Thanks for sharing An. Excellent blog sbg panduan dalam mendidik anak2. Keep it up..

    ReplyDelete