Tuesday 27 March 2012

Seharum Kasihmu

“Mama, yang ni nak baca macamana?” suara Wawa memecah lamunan.

Allah.... Astaghfirullah...tersentak saya seketika. Tiba-tiba fikiran melayang mengingati insan yang tidak terucap kasih, jasa dan pengorbanannya di dalam hidup ini.

Perhatian saya kepada bacaan Al-Quran Wawa terlayang jauh apabila sampai kepada ayat ke 15 daripada surah Al-Ahqaaf:

Firman Allah swt yang mengetuk rasa sayu, bermaksud:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan bersusah payah, dan melahirkannya dengan bersusah payah. Masa mengandung dan menyusukannya selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia (si anak) telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa; “Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri ni’matMu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai; dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku termasuk golongan muslimin.”

Ralit saya menghayati ayat tersebut beserta maknanya, mengundang sebak tiba-tiba.

Masih terbayang lagi senyum tawa bonda yang tidak banyak cakapnya. Sentiasa melayani kehendak anak-anak dan menyantuni kesemuanya dengan penuh kasih, namun ketegasannya tetap ada.

Tanpa sebarang rungutan dan keluh kesah.

Oh.. Esok rupanya sudah 3 tahun bonda pergi menemui Ilahi.

Seakan baru semalam bersama Bonda, adik beradik serta ahli keluarga yang lain menyantuni Bonda yang uzur di pembaringan.

Kasih Bonda dan cita-cita

“An nak pergi ke Mesir?” Tanya Bonda apabila melihat saya mengelamun di birai katil sambil memegang surat tawaran ke UKM selepas habis pengajian di KUSZA.

Saya diam membisu.

Hati berbelah bahagi antara keinginan dan cita-cita yang telah lama tersimpan, dengan situasi yang ada ketika itu.

Cita-cita yang tidak pernah padam ingin menjejakkan kaki dan mencari hikmah di bumi anbiya’.

Ketika yang sama, ayahanda baru diuji dengan serangan jantung buat pertama kali. Masih dalam rawatan berkala dari semasa ke semasa.

Walaupun tidak kritikal, tetapi cukup mengejutkan kami sekeluarga.

Dada saya berat memikirkannya.

Pendaftaran ke UKM dalam tempoh dua bulan, manakala permohonan ke Mesir akan dibuka selepas 3 bulan.

Salah satu akan dilepaskan.

Rupanya, Ayahanda dan Bonda tahu, borang permohonan masuk ke universiti tempatan yang diisi hanyalah untuk menggembirakan hati mereka, bagi menebus sikap saya yang sedikit mengecewakan mereka apabila tidak berbuat demikian selepas SPM dahulu.

Ayahanda dan Bonda tahu, hati saya tidak di situ.

“Pergilah... Insya Allah Abah tak apa-apa.” Sambung Bonda seakan tahu apa yang berada di kotak fikiran saya.

Ada nada sayu yang sukar digambarkan. Sayu melepaskan anak di rantau orang.

Cuma saya waktu itu, tak mampu menyelami jauh rasa hati seorang ibu.

Saya memandang Bonda dengan genangan air mata.

Hanya redha keduanya yang saya harapkan.

Sungguh... keduanya sangat memahami desakan hati saya. Tiada keinginan yang lain selain mencari sekelumit ilmu. Walaupun dikenali dengan sifat tegas, namun dalam urusan kehidupan anak-anak, mereka sentiasa memberi dorongan dan sokongan.

Walaupun tidak pernah saya luahkan keinginan yang satu ini, mereka sedia mampu membacanya sejak di zaman persekolahan lagi.

Keputusan nekad saya buat, melepaskan tawaran ke universiti tempatan. Pada masa yang sama berdoa kesembuhan untuk ayahanda. Andai kesihatannya semakin baik, tawaran ke Timur Tengah saya sambut, jika tidak, mungkin hanya di sini rezeki saya.

Saya redha dengan apa jua yang mendatang.

Ya... Penyusunan Allah swt mengatasi sangkaan manusia.

Alhamdulillah, selang beberapa bulan, Ayahanda kembali sihat. Tawaran ke bumi Anbiya' akhirnya saya sambut dengan penuh syukur. Pada masa yang sama, walaupun berat, hati saya sedikit tenang meninggalkan mereka.

“An jaga diri baik-baik, sampai nanti jangan lupa telefon ya.” Pesan Bonda. Saya mengangguk sambil memeluk dan mencium keduanya.

Kasih yang tidak ternilai

Merenung kasih dan pengorbanan Bonda, menyebabkan saya merenung ke dalam diri sendiri.

Merenung diri yang kini juga memikul tanggungjawab sebagai ibu. Masih teringat kata-kata bonda:

“Perasaan menjadi ibu tidak mampu dicerita dengan kata-kata, kalau ada panjang umur, ada jodoh dan ada rezeki, Che doakan semua anak-anak akan menjadi seorang ibu.”

Sesungguhnya diri ini teramat merinduimu.

Ya Allah.. padaMu kupohon keampunan buat insan mulia ini atas segala kekurangan dan kekhilafannya.

Semoga redha Allah sentiasa mengiringi perjalanan Bonda dan Ayanda di alam barzakh.

Semoga Bonda dan Ayahanda dikumpulkan bersama para solihin.


Kasih Ibu

Engkau yang aku rindu

Engkau bertakhta dihatiku

Segalanya hanya tinggal kenangan

Pergi seorang insan yang amat ku sayang

Limpahan kasih sayangmu selautan rinduku

Yang pasti kau takkan kembali

Ya Tuhanku tabahkanlah menghadapi dugaanMu

Rahmatilah oh ibu

Seharum semerbak kasturi sedingin air di kali

Curahan kasih suci yang kau beri

Selamatlah ibu di SANA mengadap Allah Yang Esa

Doaku agar engkau bahagia

Engkau lah permata hati mendidik mengasuh mendidik kami

Bertarung nyawa demi kasih suci

Sungguh murni hati ibu menempuh onak berliku

Peritmu tiada siapa yang tahu

Oleh: Far East




Hanya Allah matlamat hati ini

Ummu Balqis

No comments:

Post a Comment