Monday 16 April 2012

Mutiara kasih Ayahanda...

Masa terus beredar. Namun titisan mutiara kasih yang ayahanda tinggalkan tetap basah segar menyirami hati ini. Menjadi penyuluh dalam meneruskan sisa masa yang masih dipinjamkan oleh Ilahi.

Termenung saya di dalam kereta mengingati abah yang telah pergi, genap tujuh tahun hari ini, 17 April 2012.

Terkenang apabila berkumpul bersama adik beradik yang menjadi rutin sekurang-kurangnya sebulan sekali. Bersama-sama menyubur kasih tika masih hayat bonda, mengingati ayahanda dan menghadiahkan doa, memohon rahmat dan kasih Allah yang Maha Pengampun untuknya.

Rindu tidak terucap dengan kata ketika menziarahi pusara ayahanda dan bonda kali terakhir sebelum bermusafir di sini. Walau pusara keduanya jarang sekali mampu saya ziarahi, iringan doa tidak akan putus buat penerang keduanya di alam sana.

Menjelajah setiap ruang di dalam rumah peninggalan keduanya, mengundang sebak yang tidak berpenghujung.

Ruang atas yang membangkit nostalgia.

Di sudut kiri ruang membaca ayahanda yang masih sedia tersusun rapi senaskhah al-Quran yang sentiasa dibacanya, juga fail-fail peribadi pelbagai urusan. Di dalam laci mejanya, masih tersimpan baik cenderahati berupa ‘key chain’, pen dan macam-macam lagi. Kenangan daripada anak-anak dari pelbagai tempat pengajian.

Manakala di sudut kanannya pula ruang tempat bonda sentiasa menunaikan solat dhuha dan membaca al-Quran. Di tepi dinding, ada almari kecil yang tersusun di dalamnya majalah dan album yang sentiasa menjadi tatapan bonda usai solat dan membaca al-Quran.

Ayahanda yang teliti

“Lain kali, kalau tulis surat, tarikh mesti ada. Jangan lupa tu.” Pesan Ayahanda ketika saya balik bercuti akhir tahun daripada Kolej Islam Kelang, Selangor

Saya mengangguk tanpa kata. Tak sangka itu pesanan Ayahanda. Cuba mengingat apa yang saya tulis sebelumnya.

Ayahanda sangat teliti orangnya.

Menjadi rutinnya menulis surat kepada setiap anak pada tahun-tahun tersebut,1987-1990 Ketika anak-anaknya bertebaran , seorang di utara, seorang di selatan dan seorang lagi tengah tanahair.

Surat Ayahanda ditulis dengan tulisan jawi yang sangat unik dan cantik.

Dan lagi, Ayahanda menulis dengan format surat rasmi kepada anak-anaknya.

Latihan membaca tidak formal untuk kami. Oleh kerana jurusan pengajian yang tidak sama, bersusah payah juga abang dan kakak saya untuk membacanya. walaubagaimanapun, jawapan ditulis dengan tulisan rumi.

Alhamdulillah, saya membalasnya dengan tulisan yang sama, cuma selalu kurang peka dengan format. Tidak seperti Ayahanda.

*****************

“Berapa kilometer jarak tempat An tinggal dengan kejadian gempa bumi tu?” Soal Ayahanda setelah saya berjaya menghubungi keluarga selepas 2 minggu tiba di bumi Kaherah.

3 hari selepas saya tiba di Mesir, berlaku gempa bumi yang sangat dahsyat, meruntuhkan banyak bangunan dengan bilangan korban yang sangat tinggi.

Tak sangka itu soalan Ayahanda.

“Ehm... lebih kurang 20 minit naik kereta, Abah.” Jawab saya tersekat-sekat.

Kurang peka lagi.

*******************

Banyak peristiwa yang mengingatkan saya tentang tegas dan telitinya Ayahanda.

Tegasnya Ayahanda, setiap pertanyaan daripadanya, seboleh mungkin tidak akan dibalas dengan jawapan yang negatif.

“Ada sesiapa alihkan kunci kereta Abah kat sini tadi?”

“Kat mana fail Abah letak atas meja semalam?”

Bukan saya sahaja, malah semua adik beradik, walaupun tidak tahu, tidak ada yang akan memberi jawapan...

“Tak tahu”. “Tak nampak pun”. “Entahlah..”

Walaupun sangat jarang marah, pandangan mata Ayahanda sudah cukup memberitahu.. jangan ada jawapan sebegitu...

Meraikan

Pun begitu, disebalik tegasnya ayahanda, ada kelebihan yang mengendurkan kegerunan anak-anak kepadanya.

Dengan bilangan anak seramai 9 orang, Ayahanda pandai meraikan setiap anak mengikut kecenderungan dan minat masing-masing.

Yang suka membaca, Ayahanda pun bercerita tentang buku.

Yang suka menonton tv, Ayahanda bercerita tentang tv.

Yang suka merantau, Ayahanda bercerita tentang tempat-tempat yang telah dilawatinya.

Yang pasti. Ayahanda memang pandai bercerita dan menarik minat kami untuk mendengar.

Cerita yang terlekat kuat di ingatan setiap kami hingga kini.

Arwah Bonda adalah pendengar dan penggemar setia Ayahanda.

Susuk peribadi Ayahanda yang tiada ganti. Didikannya yang tersurat dan yang tersirat sentiasa kemas di dalam diri ini.

Ya Allah... moga rahmatMu sentiasa memayungi perjalanan Ayahanda di alam sana.

Kurniakanlah tempat terbaik untuknya, bersama para syuhada’ dan solihin.


Hanya Allah matlamat hati ini.

Ummu Balqis

No comments:

Post a Comment